gambar dari fb kak Ami
(sumber internet: blog fazlisyam.com)
Pernah dengar tak buah kriang dot? Kalau di Pantai Timur dipanggil jambu arang. Ada juga yang memanggilnya buah muyu. Sudah lama tak berjumpa dengan buah ni. Buah jambu arang warnanya unggu kehitaman.
Buah hutan yang rasanya masam-masam manis sedap dicicah dengan kicap bercampur gula dan garam. Letak belacan sikit dan picit cili api. Memang meleleh air liur dibuatnya. Lepas makan gigi pun nampak unggu. Ngeee!
Saya terlihat gambar buah jambu arang atau kriang dot ini dalam fb sahabat saya Dr. Aminah Hashim, beberapa bulan lepas. Bila ditanya, kata kak Ami gambar tersebut diambil sewaktu beliau ke Kedah. Tak lama kemudian saya terlihat pula dalam blog fazlisyam.com (segalanya tentang tumbuhan), di bawah kategori buah-buahan nadir.
Teringat waktu kecil, kalau balik ke kampung arwah mak di Terengganu, selalu sangat kami merayau di atas pulau milik arwah datuk saudara saya. Macam-macam buah-buahan hutan yang kami pungut. Buah sentul (setoi/setia), jambu arang, kemunting, nipah, leletup dan macam-macam lagi.
Yang seronoknya, saya akan ikut bapa saudara sepupu berjalan keliling pulau tersebut. Kemudian paksu saya itu akan panjat pokok dan kami akan tunggu di bawah.. kemudian buah-buah letaklah di dalam kendung baju. Habislah segala getah melekat di baju.
Anak-anak hari ini sudah tidak kenal lagi buah-buah hutan sebegini. Jangan kata mereka, yang seusia dengan sayapun mungkin juga tidak kenal. Bukan sahaja namanya asing di pendengaran mereka, tetapi nak lihat pokok dan buahnya pun sudah sukar. Saya sendiri pun kalau terjumpa hari ini, belum tentu boleh mengecamnya. Maklumlah sudah lama tidak melihatnya. Hanya bayangan di waktu kecil. (Tapi saya masih lagi berjumpa dengan buah kemunting sewaktu ke rumah bapa saudara saya di Pasir Mas. Dia sengaja menanamnya untuk dilihat oleh anak cucunya. Pokok kemunting ini ada iras senduduk tetapi buahnya besar sedikit dan rasanya manis)
Begitulah masa beredar.. bak kata iklan, dunia semakin maju zaman dah berubah. Entah tertelan lagi atau tidak kalau berjumpa buah tersebut hari ini. Maklumlah selera kita juga turut berbeza. Kalau waktu kecil segala benda yang boleh dimakan habis dibedal. Tak pernah terfikir sedap atau tidak, segalanya ingin dicuba. Itu sebab agaknya kita menjadi lasak dan tak mudah sakit!
Apapun zaman kanak-kanak tetap meninggalkan kenangan manis dan menjadi nostalgia hingga ke hari ini.
Istighasah, boleh ke tak?
2 days ago
4 comments:
Nikkkk...kita super ler..akak pun hantu buah gheyang ni, kalau yang besaq2, kami pangge buah Mokyu...sedappp. La ni tak penah jumpa dah. Ini buah asasi tu, mana nak jumpa buah epal, anggur masa tu. Yang tau buah ni, buah cenderai, buah lembah, buah gajus, buah jambu...heee, tapi nostalgia larr...
kak packy..mmg nostalgia..payah dah kan nak jumpa buah2 mcm ni...
Salam. Saya pernah tanam pokok muyu (remuyu) atau keriang dot di depan rumah saya tidak berapa lama dulu. BRebuah tidak berhenti. Kalau pagi riuh bunyi burung cak perling datang berebut makan buah. Tapi sayangnya pokok ni terpaksa di tebang kerana buah yang gugur atas kereta akan meninggalkan kesan tompokan yang tidak menarik pada cat kereta.
Teringat balik masa kecik dlu buah muyu aum² sedap
Post a Comment