RSS

Sunday, January 24, 2010

Thank you Allah!

Pagi Ahad, ‘golek-golek anjing’ (ada ke istilah tu hehehe) dengan anak-anak. Si Efa sebelah kiri, Iman sebelah kanan.

Effa: “Wangilah ummi”

Iman: “Aah..”

Iman: “Adik teka.. ummi ni Allah pinjamkan untuk kita tak?”

Efa: “Tak..”

Iman: “Iyelah..Allah pinjamkan ummi untuk kita lah..kan ummi?”

Saya hanya mengiyakannya. Kemudian Iman sambung lagi.

“Anak-anakpun Allah pinjamkan pada ummi dan abah kan?”

Saya mengiyakan sekali lagi.

“Memang Allah pinjamkan ummi pada adik, kaklong dan Efa. Sebab tulah kena say thank you to Allah. Caranya kita solat, buat baik jangan buat jahat. Allah bagi banyak benda. Tapi nak solat pun malas. Macam mana tu?”

Saya sebenarnya menunggu peluang untuk ‘mencuci’ Iman yang agak liat untuk bersolat. Apa lagi, tersengihlah si Iman, apabila terasa dirinya ‘dikenen’.

“Tak boleh ke just say ‘Thank you Allah’?” tanya si Iman

“Kita ada cara tersendiri untuk say thank you. Kena ikutlah cara yang Islam ajar.”

Memang benar, manusia masuk syurga bukan kerana amalannya. Tapi kerana rahmat Allah. Bagaimana nak dapat rahmat Allah kalau duk buat perkara yang Allah marah?
Kalau kita nak orang sayang kita pun, kita kena buat baik malah ada sanggup membodek, maka dengan Allah sama juga malah terlebih lagi sepatutnya. Sebab Allah beri macam-macam pada kita, sama ada kita minta atau tidak.

Tengok anggota badan saja cukuplah. Bayangkanlah kalau takde ibu jari tangan, susah nak suap nasi. Lubang hidung kalau tercangak ke atas, ada yang kena buat ‘atap’ supaya air tak masuk hidung dan melemaskan tuan tubuh. Dan macam-macam lagi.

Tapi kenapa kita masih liat nak solat? Kalau solat pun buat yang wajib je. Sunat tu, bak kata P. Ramlee, kadang-kadang atau jarang-jarang. Solat pun kadang kala dah semput waktu, dilalaikan dengan urusan dunia. Lemahnya kita sebagai manusia. Moga kita diberi masa untuk sentiasa berubah ke arah kebaikan setiap hari.

Monday, January 18, 2010

Sehari Bagai Setahun!

Kebiasaannya, hujung minggu menjadi waktu yang amat sibuk bagi wanita yang bekerjaya, biarpun kesibukannya berbeza.

Hujung minggu beginilah, masanya untuk mengemas rumah supaya lebih teratur (setiap hari mengemas juga tapi ala kadar supaya jangan ketara bersepah), menyapu, mengemop, ke pasar dan memasak. Kebiasaannya masakan di hujung minggu lebih ‘istimewa’ berbanding hari-hari biasa. Lebih istimewa, kerana biasanya selera ahli keluarga akan dilayan!

Sabtu yang baru lalu, lebih terasa kesibukannya. Kebetulan pula anak kedua saya si Iman, perlu menghadiri program larian hijrah yang dianjurkan oleh sekolahnya. Program sedemikian sememangnya diadakan setiap tahun untuk pelajar tahap 2 (tahun 4,5 & 6). Antara pengisiannya ialah kursus pemantapan solat (amali solat), qiamullail, bacaan Quran dan ma’thurat serta acara larian merentas desa.

Pengalaman pertama sudah pasti menimbulkan perasaan teruja di hati anak kedua saya itu. Sejak dari awal minggu lagi dia sudah mewar-warkan kepada kami sekeluarga.

“Umi nanti adik (dia memang bahasakan dirinya ‘adik’ kalau bercakap dengan saya dan abahnya walaupun dia ada adik) kena tidur kat sekolah. Ada larian hijrah. Tidur dengan kawan-kawan. Kena bayar 10 ringgit. Umi izinkan tak? Nanti kena bawak toto, kena bawak pakaian. Makanan cikgu sediakan. Adik nak pegi..bolehkan? Umi..bla..blaa.”

Memang bingit telinga mendengar ocehan Iman sepanjang minggu itu. Adakala terbit juga perasaan untuk mengusiknya. Lalu saya katakan padanya tak payah ikutlah, umi tak setuju. Berubah juga air mukanya.

Hari Khamis, tiba-tiba sahaja dia menyerahkan borang kepada saya. Disuruh (paksa) tanda tangan dan meminta duit sebanyak 10 ringgit. Tak terkata saya dibuatnya.

Maka bermulalah lagi ‘kesibukan’ si Iman. Hari Jumaat sudah sibuk bertanya tentang barang-barang yang perlu dibawa. Bertambah sibuk apabila petang Jumaat itu, cikgunya telah memberikan senarai barang-barang yang perlu dibawa. Semua mahu diangkutnya. Toto, bantal, selimut.. naik pening kami dibuatnya.

Saya katakan padanya, tunggulah nanti pagi Sabtu saya siapkan. Lagipun cuma mahu tidur semalam sahaja di sekolah. Kalutnya macam nak pergi seminggu!

Awal pagi Sabtu dia sudah bangun, ikut saya ke pasar. Semangat sungguh. Siap menolong mengangkat barang. Lepas tu, ikut pula kami ke pejabat pos, uruskan penghantaran barang-barang abahnya. Kemudian saya membawanya ke Giant. Tujuannya mencari sleeping bag. Daripada dia duk mengangkut toto busuknya, biarlah dibelikan sleeping bag. Kebetulan nanti kaklongnya pun akan sibuk dengan pelbagai kursus motivasi PMRnya tahun ini.

Menjelang tengahari, siap sudah satu beg sandang besar untuk Iman. Itupun berapa kali keluar masuk barang-barang. Sampaikan kaklongnya bising, “engkau nak duduk kat sekolah terus ke?”. Memang lucu sungguh.

Sebaik siap Iman bersolat Zohor, kami terus menghantarnya ke sekolah. Tinggalkan dia di situ menguruskan sendiri pendaftaran dan sebagainya. Biarkan dia berdikari.

Keesokannya, jam 10.30 pagi dia menelefon abahnya, menyuruh mengambilnya di sekolah. Katanya program sudah tamat (memang tamat jam 10 pagi). Saya tidak ikut mengambilnya, cuma adiknya si Efa sahaja yang pergi bersama abahnya (setelah bising tak ada kawan bermain semalaman. Kalau ada asyik bergaduh, bila tak ada macam ayam kena gigit dek tungau!)

Sebaik sahaja sampai di rumah, terdengar tapak kaki si Iman berlari ke pintu gril. Tanpa salam, terus terdengar dia memanggil Umi. Saya waktu itu sedang berbaring di sofa. Sebaik sahaja gril dibuka abahnya, terus dia masuk mencampakkan begnya dan membuka tudungnya. Kemudian, datang ke sofa saya sedang berbaring dan terus menerpa memeluk saya. Hahaha..

Dalam ‘brutal’ dan sifat ‘tomboy’ anak dara saya ini, tetap ada manjanya. Semalaman di sekolah, dia rupa-rupanya rindukan saya uminya. Hai, macam manalah saya nak masukkan dia ke asrama!

Tuesday, January 12, 2010

Iktibar Peristiwa Semalam.

Sudah dua hari tak bermotor. Terasa jugalah kehilangan. Tapi sudah tersurat, ‘jodoh’ motor tersebut hanya empat bulan sahaja dengan kami. Mula-mula Efa menangis jugaklah kerana motor kesayangannya hilang. Tambahan pula abahnya tiada di rumah.

Semalam sewaktu nak tidur, dia menangis. Katanya, kita dah tak ada motor. Adik takut, abah tak ada. Agaknya sudah bercampur dengan perasaan rindu teringatkan abahnya. Malam tadi kami tidur dengan perasaan kurang tenteram. Iyelah terasa macam trauma juga.

Tapi bangun pagi ini dia sudah agak ceria. Katanya, biarlah umi orang jahat tu ambil motor kita. Dia berdosa nanti masuk neraka. Biarkan dia! Kata si Iman pula, “hmm..nanti mesti dapat balasan!”

Rupa-rupanya menurut Adi, jiran di atas rumah saya, malam kejadian dia bangun menjenguk ke bawah tiga kali. Katanya bunyi anjing jiran menyalak membuatkan dia juga bimbangkan motornya. Dia menjenguk ke bawah pukul 12 sebelum tidur, pukul 3 pagi dan akhir sekali pukul 5 pagi. Tapi apakan daya, jam 5.15 si pencuri membawa lari motorsikal saya!

Sebenarnya apabila berlaku kejadian semalam, perasaan ralat itu ada. Memanglah terasa macam ‘patah kaki’. Tapi sebaik sahaja selesai solat Subuh pagi itu, entah mengapa tidak terlintas untuk mendoakan perkara yang tidak baik kepada si pencuri. Sebaliknya, doa yang terlafaz di bibir saya, “ya Allah, kau berikan hidayah pada orang yang mengambil motorsikal kami. Bukakan hatinya untuk bertaubat.” Itulah yang saya ucapkan.

Dan sewaktu sesi bersoal jawab dengan Sarjan Baharuddin, pegawai penyiasat di balai polis Gombak, masuk seorang wanita berbangsa Cina ingin berjumpa dengan Sarjan Kumar untuk menghantar dokumen.

Bagaimanapun Sarjan Kumar tiada, lalu wanita Cina itu pun bersembang sebentar dengan Sarjan Baharuddin. Daripada ceritanya saya dapat tahu rupa-rupanya tujuan dia datang ialah untuk menghantar dokumen menggugurkan tuduhan terhadap orang kena tuduh.

Kisahnya, wanita ini kecurian wang 20 ribu ringgit (dia ada kilang membuat barangan kecantikan). Duit tersebut sepatutnya dimasukkan ke bank, tetapi telah dilarikan oleh seorang budak Melayu. Kebetulan, wanita Cina ini kenal dengan ayah budak tersebut. Setelah dibuat report polis, si ayah tadi berjumpa dengan wanita Cina ini dan memulangkan kembali 10 ribu daripada duit yang diambil oleh anaknya dan merayu supaya kes tersebut tidak dipanjangkan.

Wanita Cina ini kemudian menarik balik tuduhan dan berpesan kepada pegawai penyiasat supaya jangan diambil tindakan terhadap anak muda tersebut. 10 ribu yang diambil? Kata wanita Cina itu, “bapak budak itu kata dia mau bayar pada wa.. tapi kalau tak bayar tak apalah, wa halalkan. Duit tu bukan boleh bawak masuk kubur. Wa pun selalu sedekah sama orang. Wa tak kira apa bangsa. Sekolah agama pun selalu mintak duit derma sama wa. Dia orang suka mintak, sebab wa tak pernah tak kasi sama dorang.”

Sarjan Baharuddin yang ada bersama saya waktu itu terus berkata, mana ada orang yang sebaik dia lagi sekarang.

Kata wanita Cina, “kita semayang sebab mau minta Tuhan bagi kita sabar, tenang. Duit ke harta ka, bukan boleh bawak masuk kubur. Wa mau baik dengan semua orang. Biarlah orang buat jahat. Orang selalu marah bila wa sebut tuhan Alah..mana tau satu hari wa mau masuk Islam. Wa tau, kalau orang betul-betul ikut Islam dia baik!”

Tiba-tiba dia memandang kepada saya, “you kenapa? Motor hilang ka? Aiyaa..maafkan sajalah..”

Saya cuma tersenyum dan membalas katanya, “saya kena buat report untuk claim insurans. Biarlah motor tu, mungkin bukan rezeki saya”.

Tetapi mendengar bicara wanita Cina itu, membuatkan saya berasa malu dan kagum. Kagum, betapa dia sebenarnya pandai bersyukur, duitnya yang dicuri dianggap bukan rezekinya. Malahan dia rajin ‘bersedekah’ dengan lebihan rezeki yang ada! Malu kerana dia yang bukan beragama Islam, tetapi kefahamannya lebih Islam daripada orang Islam yang sudah tidak takutkan balasan Allah dan menyusahkan orang lain!

Justeru, apalah sangat doa saya agar si pencuri diberikan hidayah dan bertaubatkan?

Monday, January 11, 2010

Kalau dah bukan rezeki…

Jam sudah pukul 5.15 pagi. Sudah tersedar dari tidur. Kaklong sudah pun ke bilik air untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Terdengar bunyi pagar dibuka, tapi apa pasal bunyinya kuat sangat? Lepas tu terdengar pula bunyi tongkat motorsikal ditarik..kenapa macam bunyinya dekat depan pintu je??.. Dengar bunyi motor berlalu, tergesa-gesa. Agaknya budak sebelah rumah yang memang selalu keluar pagi-pagi.

Tapi kenapa rasa hati tak sedap je? Pukul 5.35, kaklong dah siap baca ma’thurat dan bersiap pakai tudung. Kaklong buka pintu gril. Saya pun capai kunci motor, nak hantar dia ke pehentian bas.

“Eh, umi! Mana motor kita?”

Masya-Allah, rupa-rupanya bunyi bising yang saya dengar tadi datang dari depan pintu rumah saya. Motorsikal saya kena curi!!!

Terpaksa kejutkan Iman untuk temankan saya menghantar kaklong ke perhentian bas. Efa saya tinggalkan dengan maklangnya. Sewaktu hendak membuka pagar, terkejut saya apabila pintu pagar tumbang. Tidak terlekat pada engselnya. Si pencuri mengangkat pagar rupanya untuk membolehkan dia membawa keluar motorsikal. Allah-Allah.

Terpaksalah saya dan Iman menapak menghantar kaklong ke perhentian bas. Mujurlah tak jauh. Dan pagi tadi, sewaktu van sekolah mengambil Iman dan Efa, saya terpaksa meminta tolong daripada Fadil, pemandu van, untuk memasang kembali pagar.

Hmm..dalam hati berkata juga, kalaulah saya jenguk sewaktu dengar bunyi bising pagi tadi tentu motorsikal tu tak hilang. Kalaulah lampu depan rumah tu diganti, tentulah pencuri tak berani masuk sebab terang. Patutlah hati saya tak senang sejak semalam, apabila suami nak outstation. Dan macam-macam kalau dan patut lagi yang terlintas..

Tapi hakikatnya, saya sedar kalau dah bukan rezeki dan dah ditakdirkan ia hilang, tak ada apa yang boleh kita buat. Dah dikunci tapi masih dicuri. Dah takde rezeki. Dan takdirnya kalau saya jenguk sekalipun, apa yang boleh saya buat?? Dibuatnya saya yang disergah kembali, tak ke haru? Apapun syukur pada Allah, saya dan anak-anak selamat! Semoga Allah terus memberi kami perlindungan!.

ps: jenuhnya nak berurusan dengan pihak polis pulak...

Monday, January 4, 2010

Bila dosa jadi biasa...

Apabila disebut dosa dan pahala, pasti kita semua maklum mengenainya. Sifirnya mudah; buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa. Namun ada juga yang begitu skeptikal dengan dosa dan pahala, maklumlah perkara yang tidak nampak. Atau tidak terasa apa-apa dengan dosa dan pahala disebabkan dek terlindungnya urusan tersebut dari pandangan mata manusia. Perkara sam’iyyat lah katakan. Alasan mudah, dosa dan pahala bukan manusia yang tentukan!

Memang benar, dosa pahala yang natijahnya sama ada neraka atau syurga, bukan manusia penentunya. Manusia masuk syurga bukan kerana amalannya, tetapi kerana rahmat Allah. Benar sekali.

Walau bagaimanapun, dalam kehidupan pasti ada keseimbangannya. Malam ada siangnya, hidup ada matinya, syurga ada lawannya iaitu neraka. Begitulah juga ada perkara baik dan buruk yang menatijahkan pahala atau dosa.

Contoh yang mudah; api sebagaimana yang kita tahu, sifatnya adalah panas dan membakar. Namun ada pengecualiannya, seperti dalam kisah Nabi Ibrahim yang terselamat sewaktu dibakar oleh Raja Namrud. Sifat api yang panas dan membakar itu, tidak terjadi lantaran diarahkan oleh Allah SWT agar ia menjadi sejuk, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 69, yang bermaksud, “Perintah kami (Tuhan) “Wahai api, sejuklah kamu dan selamatkan ke atas Ibrahim”. Apapun, fitrah api itu masih kekal panas dan membakar sehinggalah ke hari qiamat.

Begitulah juga dengan dosa dan pahala. Ia perkara yang jelas. Melakukan perkara yang haram dan dibenci Allah itu akan menatijahkan dosa. Melakukan perkara yang disukai Allah pula akan dihadiahi dengan pahala. Pahala membawa ke syurga, dosa membawa ke neraka. Namun ada pengecualiannya, sebab kita milik Allah dan walaupun berdosa, Allah memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat selagi nyawa belum sampai di halkum.

Sesungguhnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak akan dapat lari daripada dua perkara tersebut. Segala tindak tanduk kita di dunia ini akan memanifestasikan sama ada pahala atau dosa, sesuai dengan tujuan manusia itu dihidupkan iaitu untuk beribadah kepada Pencipta-Nya. “Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” (Az-Zaariyat: 56)

Namun demikian, kehidupan di akhir zaman ini menyaksikan nilai dosa dan pahala seolah-olah menjadi perkara yang dikesampingkan. Perkara dosa dilakukan secara berleluasa tanpa timbul perasaan takut di hati. Sebagai contoh, perbuatan mengumpat telah dimaklumi sebagai satu dosa namun, ia menjadi perkara lumrah. Begitu juga dengan fitnah, zina, rasuah dan bermacam-macam lagi.

Tidak terkecuali, pergaulan bebas lelaki wanita. Setiap kali tiba tahun baru, anak-anak muda akan bebas keluar berpasang-pasangan (bukan mahram pastinya) meraikan sambutan malam tahun baru. Berpesta dari tengah malam hingga ke pagi. Berkumpul seawal sebelum Maghrib dan pulang selepas matahari terbit. Solat entah ke mana. Malah menurut pekerja-pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan lepak anak-anak muda ini, kondom-kondom yang telah digunakan bersepah-sepah ditemui mereka sewaktu melakukan kerja pembersihan. Botol-botol minuman keras tidak ketinggalan ditemui. Yang nyata, mereka yang terlibat adalah anak-anak muda Islam.

Teringat suatu hari, saya menerima panggilan daripada seorang sahabat. Sambil menangis sahabat saya ini meluahkan perasaan kecewa dan serba salahnya. Katanya, “kak, saya seorang yang sangat menjaga pergaulan. Sebelum berkahwin saya tidak pernah keluar dengan mana-mana lelaki. Malah perkenalan dengan suami pun diaturkan. Alhamdulillah saya yakin dengan jodoh yang Allah tetapkan. Dan saya juga sering mengingatkan adik-adik serta sahabat yang lain agar menjaga pergaulan. Tapi sukarnya kak, apabila Allah uji saya dengan apa yang saya pertahankan selama ini. Kalau orang lain, saya boleh tegur tetapi apabila terjadi kepada adik ipar sendiri, susahnya untuk saya buat. Cuba akak bayangkan, adik saya ini keluar dengan teman lelaki berdua-duaan. Dan balik ke rumah setelah jam mencecah ke pukul dua pagi. Bagaimanalah saya ingin menegurnya sedangkan ibu dan ayah mengambil sikap berdiam diri. Terlalu menjaga hatikah atau takut untuk menegur, saya pun tidak faham sebenarnya. Tidak takutkah apa-apa terjadi kepada adik dengan bahaya yang menanti itu. Buntu saya.” Demikian luahnya.

Mengapa perkara dosa, begitu senang diterima? Adakah sebab ia menjadi perkara lazim yang berlaku dalam masyarakat dan seolah-olah diterima pakai, maka ia tidak lagi dianggap sebagai dosa? Atau kita sudah lagi tidak kenal yang mana dikatakan dosa dan pahala?

Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Nawwas bin Sam’an, “Kebaikan adalah peribadi yang terpuji, dosa adalah apa yang bergelut dalam hati sedangkan saudara tidak mahu orang lain mengetahuinya.”

Manakala Wabisah bin Ma'bad pula menyatakan, “Saya pernah datang bertemu dengan Rasulullah. Kemudian Baginda bertanya kepada saya, “Saudara datang ini, hendak bertanya tentang kebaikankah?” Saya menjawab, 'Benar'. Lantas Baginda berkata, “Tanyalah hati saudara. Sebenarnya kebaikan itu adalah perkara yang apabila saudara melakukannya, jiwa dan hati saudara akan berasa tenang. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan perkara yang saudara rasakan itu. Manakala kejahatan dan dosa itu pula adalah perkara yang apabila saudara lakukan, jiwa saudara tidak tenang dan saudara berasa teragak-agak dan risau di dalam hati. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan apa yang saudara rasakan itu.”

Amatlah malang, kalau kita tidak dapat lagi merasakan getaran kerisauan dalam hati sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda s.a.w kerana ia adalah petanda bahawa jiwa kita sebenarnya sudah mati. Titik-titik hitam telah menguasai hati sehingga ia tidak lagi berfungsi dengan baik. Justeru bagaimanakah empunya diri mahu bertanya kepada hati yang menjadi penggerak sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan, jika hati sudah tidak lagi boleh memberi penilaian kudusnya?