Telah lama saya tidak mendengar khabar daripada dia. Dia yang saya kenali sewaktu sesi temubual lebih sepuluh tahun yang lepas. Seorang personaliti tv waktu itu. Saya berasa kagum kerana walaupun dari kalangan bangsawan, namun ternyata beliau sangat menjaga pekertinya dan menjaga auratnya.
Waktu itu beliau sudahpun mendirikan rumah tangga selama lebih dua tahun, namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Sesi temubual dibuat di rumah ibu bapanya di sebuah kawasan perumahan elit dan beliau memang tinggal bersama ibu bapanya.
Setelah setahun berlalu dari tarikh temubual tersebut, saya masih lagi berhubung dengan beliau, walaupun saya telah berpindah ke Kota Bharu. Kadangkala beliau menghubungi saya bertanya khabar atau sekadar memberitahu yang dia sekeluarga akan bercuti di luar negara. Ia bukanlah perkara yang pelik kerana beliau sendiri menghabiskan usia persekolahannya di luar negara, setelah menamatkan pendidikan awal di sebuah sekolah antarabangsa di ibu kota. Begitulah rutin kehidupan beliau sekeluarga.
Setelah saya kembali semula ke ibu kota, saya tetap menghubunginya. Daripada stesen tv, saya diberitahu beliau telah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa.
Seringkali juga apabila berkesempatan berbual, beliau menyatakan kesedihannya kerana dirinya didiskriminasi lantaran bertudung. Walaupun pentadbir sekolah tersebut seorang Melayu beragama Islam, beliau tidak terlepas daripada ‘ditegur’ dan dikutuk hanya kerana beliau bertudung dalam usia yang dianggap muda oleh pentadbir tersebut.
Saya yang mendengar cuma mampu beristighfar dan menasihatinya agar bersabar dengan kerenah manusia yang sebegitu. Di samping meniup kata-kata semangat, saya juga menggalakkan beliau mencari kerja lain kalau benar-benar tidak lagi suka dengan situasi di situ, memandangkan beliau berkelulusan dalam bidang perniagaan (kalau tak silap saya).
Setelah itu agak lama kami terputus hubungan, hinggalah suatu hari terlintas untuk kembali menghubunginya. Banyak perkara yang mengejutkan berlaku. Beliau telah bertukar kerja dan yang agak menyedihkan saya diberitahu rumah tangga yang dibina sekian lama telah menemui keruntuhan. Seperti diduga, alasan anak menjadi punca penceraian. Apalah yang mampu saya katakan selain daripada meluahkan perasaan simpati di samping doa agar dia terus tabah.
Hubungan kami akhir terus terputus. Ada juga saya cuba menghubunginya, namun beliau sempat membalas dengan mengatakan yang beliau sedang sibuk dan meminta berbanyak maaaf kerana tidak dapat berbual dengan saya. Lalu terputuslah hubungan kami…
Namun, kelmarin saya berasa sangat terkejut sewaktu menonton tv sementara menunggu waktu berbuka. Rancangan yang memaparkan bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur sedang bersiaran. Dan tiba-tiba, mata saya terpaku pada sesusuk tubuh yang ditemubual pengacara… Benarkah itu dia??? Kalau dilihat dari nama yang terpapar memang dia. Malah nada suara dan iras wajah ternyata dia. Namun benarkah dia yang saya kenal selama ini?? Mengapa tiada lagi sehelai kain yang menutupi rambutnya yang diwarnakan perang?? Tersentap sungguh hati saya melihat dia! Andai benar itu dia (dan saya yakin memang itu dia), apakah yang telah terjadi selama ini??
Alangkah sedihnya hati saya sebagai seorang sahabat dan kakak melihat adik yang saya kagumi dan sayangi sebagai saudara seagama berubah sedemikian rupa. Sememangnya hati yang berbolak-balik itu milik Allah jua. Semoga dia akan kembali diberikan hidayah oleh-Nya..
“Ya muqallibal quluub, thabbit qalbi ‘ala diinik”
‘Wahai Tuhan membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu’
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago