Diam tak diam, sudah lima bulan lebih saya berblog. Pada peringkat awal, saya kurang berminat untuk membuka blog sendiri kerana saya merasakan saya sudah mempunyai ‘media’ untuk berkongsi ilmu. Tambahan pula ‘mengerjakan’ majalah memerlukan komitmen yang bukan sedikit. Malah kalau hendak bercuti sekalipun, terpaksa mengambil kira jadual penerbitan majalah sehinggakan kami sering saling mengusik, majalah ini anak sulung kami!
Ramai yang bertanya mengapa saya tidak memiliki blog sendiri sedangkan saya masuk dalam kategori penulis...! Hmm selain sudah ada ‘media’ sendiri, satu perkara lagi ialah saya merasakan saya mungkin tak ada ‘modal’ untuk menulis blog! Heheh.
Walau bagaimanapun setelah mengikuti beberapa blog dan apabila ‘disuruh’ oleh penulis idola saya (Kak Yati Berahim), akhirnya lahirlah blog Kembara Seorang Penulis (nama yang diberikan oleh adik office-mate saya Dayah, yang juga mengajar saya membuat blog).
Alhamdulillah, sepanjang berblog, saya bukan sahaja berupaya menulis perkara-perkara yang agak personal, malah dapat juga menulis isu-isu serta mencurah pengalaman untuk dikongsi bersama pengunjung blog.
Di samping ‘memberi’, saya juga dapat menimba ilmu daripada rakan-rakan blogg yang lain, terutamanya rakan-rakan blogg masakan. Banyak resipi yang dikongsi mereka dan secara tak langsung bertambah jugalah ilmu masakan saya!
Selain itu saya kenalan juga semakin bertambah. Malah ada di antaranya pernah pula bersua muka. Terasa jalinan ukhuwah semakin erat.
Namun saya sebenarnya tidak menyangka, blog ini juga menjadi ruang menjejak kasih! Antaranya, menerusi blog ini saya terjumpa kembali dengan bekas pensyarah saya, Dr. Abdul Wahab Arbain yang pernah menjadi lecturer saya sewaktu di pra-diploma mass communications di ITM Melaka.
Selain itu, saya juga dikunjungi oleh sahabat sewaktu bersekolah di MGS, KL dan pernah seasrama dengannya. Siap lagi kalau bukan Mazwan Baba, yang kini rupa-rupanya berada di Negara Banjir Dulu Baru Hujan (Bahrain ahaks!).
Begitu juga secara tidak sengaja, berkenalan pula dengan sepupu ipar arwah abang ipar saya. Dalam satu entry, saya menceritakan perihal anak buah saya dan menyebut nama arwah abang ipar. Terkejut juga apabila disapa oleh beliau yang menanyakan tentang arwah.
Namun apa yang lebih mengharukan saya, menerusi blog ini juga saya ditakdirkan bertemu semula dengan saudara dari sebelah arwah ibu saya. Dia antara blogger yang rajin berkunjung ke blog saya dan saya juga sering berkunjung ke blognya. Memang mengejutkan kerana moyang kami adik beradik.
Semuanya bermula apabila saya menceritakan perihal masa kecil saya di sebuah pulau persendirian di Terengganu. Rupa-rupanya pulau yang sama pernah juga dikunjungi oleh beliau. Lebih mengejutkan beliau mengenali orang yang saya kenali dan boleh menyebutnya satu persatu sehinggalah dia menyebut nama ibu saudara, bapa saudara dan arwah ibu saya sendiri. Malah arwah moyangnya pernah tinggal di hadapan rumah di mana saya dilahirkan.
Menitis air mata saya sewaktu berchatting dengannya. Sedih mengenangkan betapa hubungan keluarga itu sudah jauh terpisah. Malah yang lebih mengharukan, saya telahpun bertemu dengannya sewaktu pesta buku tetapi waktu itu kami tidak tahu yang kami sebenarnya bersaudara! Cuma sewaktu dia memberitahu akan ke Kuala Lumpur dan berhajat berjumpa dengan saya sebagai rakan blognya, saya cuba sedaya upaya menghadirkan diri di pesta buku pada hari Sabtu walaupun biasanya Sabtu adalah hari saya khususkan untuk keluarga. Alhamdulillah dapat juga berjumpa.
Dan semalam, saya terasa begitu teruja kerana saya dapat bercakap dengan ibunya, yang dipanggil Maklong. Biarpun tidak dapat bertentang mata, sekadar mendengar suara mengembalikan nostalgia lama. Walaupun di minda saya tiada langsung bayangan wajah Maklong, sekurang-kurangnya saya masih dapat memanjangkan silaturrahim arwah ibu saya.
Kepada JUNAIDAH a.k.a IBUJUNES, alhamdulillah, Allah pertemukan juga kita akhirnya dalam satu hubungan yang cukup manis!
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago