RSS

Thursday, February 14, 2013

Dekat tapi jauh....

Hubungan sesama manusia sangat unik. Kalau disingkap kisah para sahabat, pasti terlihat betapa unik, rapat dan mesra hubungan silaturrahim yang terjalin antara mereka dengan Rasulullah dan sesama mereka. Mereka bukan bersaudara dalam ertikata punya pertalian darah. Tetapi persaudaraan yang terikat atas ukhuwah Islamiyah membuatkan mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi sebuah silaturrahim.

Bukan perkara pelik kalau kita baca kisah seorang sahabat yang setiap pagi mesti singgah di hadapan rumah Rasulullah saw semata-mata untuk melihat kelibat Baginda sebelum keluar bekerja dan apabila pulang akan singgah lagi di hadapan rumah Baginda atas tujuan yang sama. Sehinggalah beliau ditanya oleh Baginda mengapa setiap hari tingkahnya begitu. Lalu dijawabnya, beliau sangat merindui Baginda dan takut kalau-kalau tidak dapat lagi melihat Baginda satu hari nanti. Kepada sahabat ini, Baginda saw memberi khabar gembira, kerana kecintaannya beliau akan dapat melihat Baginda di akhirat kelak..subhanallah. 

Demikianlah satu contoh, biarpun tiada pertalian darah namun disebabkan ukhuwah yang terjalin, yang jauh terasa dekat. Bukan sahaja hubungan antara pesuruh Allah dan umatnya malah banyak kisah antara sahabat yang sanggup menggalang ganti diri mereka demi sahabat seakidah.

Namun suasana kehidupan manusia hari ini, sangat berbeza. Ikatan ukhuwah kian longgar. Usahkan yang tiada pertalian darah, yang lahir seperut ibu yang sama pun bertelagah. Masing-masing nafsu-nafsi. Material dijadikan ukuran. Kalau ada yang mengambil berat, dituduh menjaga tepi kain atau mahu menumpang senang.

Dan sahabat yang suatu masa berkongsi segalanya juga akhirnya seperti sudah hilang rasa. Tidak lagi berkongsi bahasa yang sama, terasa seperti ada jurang yang sangat dalam. Lalu yang dekat terasa jauh, yang mesra terasa asing. Di manakah salahnya..adakah kerana kesibukan, urusan kerja, keluarga atau perbezaan taraf hidup akhirnya membuatkan ukhuwah juga terlerai? Lalu bagaimanakah mahu mengaplikasi hadis Junjungan Besar saw.."Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"? Oh..dunia sudah semakin tua dan semakin tiba ke penghujungnya!


0 comments: