RSS

Wednesday, February 13, 2013

KISAH PENGORBANAN YANG INDAH

Saya terbaca kisah ini di wall Datuk Dr. Maznah Hamid...memang benar kehidupan ini akan jadi indah jika kita berkongsi. Moga ia menjadi motivasi untuk diri yang sentiasa lupa ini. Ya Allah.. jadikanlah diri ini hamba yang sentiasa memberi dalam melalui kehidupan yang sementara ini.

Telah dua bulan musim hujan berlalu,  pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

"Apa khabar daun hijau," katanya.

Tersentak, daun hijau menoleh ke arah suara yang datang

"Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau.

"Aku hampir tidak mendapat dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.

"Tentu.. tentu.. dekatlah ke mari." Daun hijau berfikir, "Jika aku memberikan sedikit daripada tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Cuma aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah."

"Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah makan dengan kenyang, ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini, namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang, ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.

Apakah moral kisah di atas?

Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri untuk orang lain memang tidak mudah, tetapi indah. Namun ketika berkorban diri menjadi seperti daun hijau yang berlubang, ia sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, kita akan tetap hijau, Tuhan akan tetap memberkati dan memelihara kita.

Bagi "daun hijau", berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat yang lain dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai "daun hijau". Suatu hari ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Justeru, isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.

*** Berkorbanlah ketika 'ada' dan masih punya waktu untuk melakukannya. Hidup lebih indah jika memberi.***

Sunday, January 20, 2013

Second chance

~ Second chance..peluang kedua ~
Everybody deserves  a second chance. Semua orang berhak untuk mendapat peluang kedua. Benar. Malah apabila kita melakukan kesalahan atau dosa, kita masih diberi ruang untuk bertaubat.

Disebabkan ada peluang kedua ini, kita akan dapat memperbetul kembali kesilapan yang telah dilakukan. Mendapatkan kembali kasih sayang yang telah kita persiakan atau membina kembali kepercayaan yang telah dikhianati.

Namun mungkin tak semua juga yang layak atau berkeistimewaan untuk mendapat peluang kedua ini. Atau tidak daripada orang yang pernah dilukai, disakiti dan dikhianati. Kerana itulah harga yang perlu dibayar.

Benar...Allah menerima taubat hambaNya TAPI BERSYARAT:
~ meninggalkan
~ menyesali
~ mengganti

Rome was not build in one day. So is trust, what more on a second chance. Belajarlah menghargai dan mensyukuri.



Friday, January 18, 2013

Apa mahumu?

Manusia ini seleranya besar, mahunya banyak. Nafsunya berganda saiznya daripada jasadnya. Tapi Allah itu Maha Pemurah, Maha Pemberi. Malah manusia disuruh supaya meminta.

"Serulah (mintalah) Aku, nescaya Aku akan menyahut seruanmu (perkenankan)."

Pernahkah terfikir, apakah sebenarnya kemahuan kita? Kadang kala kita merintih memohon agar Allah mengurniakan apa yang kita hajati. Berdoa tanpa jemu dan menagih belas ihsan dari Allah. Malah ada ketika umpama mendesak agar diberikan apa yang kita hajati.

Namun..tanpa kita sedar kemahuan dan keperluan adalah dua perkara yang berbeza. Kadang kala kemahuan kita Allah tidak beri. Meskipun kita sangat-sangat menginginkannya. Kenapa? Sebab Dia yang menjadikan kita. Dia yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Belum tentu apa yang kita mahu kalau Dia memberinya kita mampu mengendalikannya.  Tapi Dia berikan apa yang kita perlukan. Dia tahu apa keperluan kita, bukannya kemahuan kita.

"..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui" ~ al-Baqarah.




Thursday, January 17, 2013

Tarbiyah

Hidup itu ujian..
Ujian adalah tarbiyah ..mampukah kita tangani atau terkandas?
Sukarnya mencari hikmah di sebalik musibah
Payahnya memujuk diri tatkala diuji
Ujian datang dan pergi..
Dan kita tetap berdiri selagi masih berdenyut nadi.

Ya Allah jadikanlah kami hamba yang tegar dilambung ujian. Cukuplah tangis hamba di hamparan sejadah. Tunduk mengakui dengan pasrah bahawa kami hambaMu yang teramat lemah..