RSS

Tuesday, August 11, 2009

Dunia Tanpa Sempadan...

Pasti ramai di kalangan para sahabat tahu mengenai Facebook. Saya sebenarnya tidak begitu mahir sangat dengan pelbagai kemudahan IT ini. Teringat di awal pembabitan dalam penulisan blog. Setelah digesa oleh rakan-rakan penulis, barulah saya ‘terhegeh-hegeh’ membuat blog.

Sebagaimana yang pernah saya beritahu dulu, saya rasa tidak begitu memerlukan blog kerana saya sudah ada ‘media’ saya sendiri. Namun akhirnya lahir juga blog Kembara Seorang Penulis ini, dengan pertolongan adik saya Dayah. Dan yang manisnya, menerusi blog ini saya dapat bertemu dengan saudara saya Ibu Junes.

Sewaktu ‘dijemput’ untuk memasuki facebook oleh Farrah Adeeba Mohd. Asyraf, saya agak keberatan juga. Pertamanya, saya tidak begitu mahir IT dan kedua saya sudah cukup selesa dengan blog saya. Tapi ajakan tersebut saya sambut juga meskipun jarang-jarang benar saya membukanya. Namun tanpa saya sangka, sekali lagi kemudahan IT works its miracle.

Siapa sangka saya akan bertemu semula dengan kawan-kawan sewaktu persekolahan dahulu. Saya agak terkejut apabila pertama kali disapa oleh sahabat baik saya sewaktu di Asrama Felda Kuala Lumpur (AFKL) dan di MGS KL, Liz Mashod. Ia membawa kembali kenangan sewaktu kami sama di tingkatan satu. Menitis air mata saya mengingatkan kembali saat tersebut. Siapa sangka sahabat saya itu kini telah pun bermastautin di Connecticut sudah 14 tahun lamanya!

Dari situ juga saya bertemu dengan senior-senior saya sewaktu di AFKL Lumpur. Kak Aminah Hashim yang pernah sebilik dengan saya, kini bergelar seorang doktor. Kak Noorhashimah Ismail, cikgu Kimia yang pekat lagi loghat ‘Nogorinya’ walaupun mengajar di Perak. Kak Norana Maulud a.k.a Kak Yus, yang juga pernah sebilik dengan saya, kini mengajar di Felda Penggeli Timur. Saya sempat berbual menerusi telefon dengan Kak Yus minggu lepas. Kak Yus masih lagi kelakar orangnya dan suka membuat lawak spontan tetapi dia maintain selamba!

Begitu juga Norlaila yang mengajar di Sekolah Islam Adni dan Salbiah yang bekerja di bank. Pendek kata, ramai lagi kawan-kawan lama yang muncul di facebook saya.

Dan pagi ini, saya telah disapa oleh seorang lagi rakan sekelas sewaktu di MGS. Wong Pooi Yee, seorang rakan berbangsa Cina yang sangat peramah dan baik hati. Teringat saya, beliau pernah berlatih nasyid bersama kami untuk pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Islam MGS. Kini beliau telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki (berdasarkan gambar beliau…tapi saya sudahpun mengirim emel bertanya lanjut tentang dirinya).

Benarlah kemajuan teknologi hari ini, telah ‘menyempitkan’ ruang lingkup perhubungan. Dunia kini sudah tiada sempadan lagi!

Thursday, August 6, 2009

Di Mana Keprihatinan Kita?

Dalam minggu ini sahaja, kita digemparkan dengan dua berita kematian bayi; satunya dijumpai di dalam mangkuk tandas (tandas guru) di sebuah sekolah agama di Gurun Kedah. Manakala satu kes lagi, lebih menyayat hati, mayat bayi yang telah dibaham biawak di Sg Peramu Kuantan.

Bayi pertama disyaki dilahirkan oleh pengawal keselamatan, manakala bayi kedua pula tidak diketahui jantina atau keturunan. Sebenarnya, sudah terlalu banyak kes kematian bayi (yang dibuang kerana status tak sah taraf atau dengan kata lain, anak zina) dilahirkan oleh wanita Islam.

Itu baru kes pembuangan bayi, belum lagi kes-kes gejala sosial lain yang melibatkan orang Melayu yang beragama Islam. Pasti sahabat semua masih ingat kes dua beradik yang mati kemalangan selepas melakukan kes ragut. Alangkah malangnya 'menempah' kematian sebegitu rupa!.

Justeru, tidak hairanlah jika ramai di kalangan orang bukan Islam memandang serong kepada umat Islam hari ini. Teringat sewaktu mengedit artikel untuk ruangan hidayah, bulan lepas, seorang saudara baru menyatakan, Islamnya dia kerana hidayah Allah. Kalaulah dilihat kepada perlakuan dan sikap umat Islam yang ada, maka tidak pernah teringin dia untuk memeluk Islam.

Hal yang sama juga pernah disuarakan oleh isteri kepada seorang tokoh politik tanah air. Beliau memeluk Islam sewaktu menuntut di UK. Teringat lagi dalam temubual kami pada tahun 1993, katanya, kalaulah beliau berada di Malaysia, beliau tidak akan memeluk Islam. Namun ternyata, Allah memberinya hidayah setelah melihat Islam di bumi UK.

Saya tidak menyalahkan mereka andainya begitu pendapat mereka. Betapa ramai umat Islam hari ini yang mengambil mudah dengan ajaran agama. Kita juga semakin hilang perasaan kasih sayang sesama kita. Jika tidak mengapa masih ramai di kalangan umat Islam di negara kita yang hidup menderita dan disaluti kedhaifan.

Dan terbaru, saya menerima emel dari adik saya Sham. Emel yang cukup mengejutkan. Mungkin ada di kalangan sahabat yang telahpun mendapat emel tersebut. Kisah pesakit Aids/HIV positif yang dijaga oleh gereja. Bayangkan apa jadi kesudahan hidup mereka dihadap oleh paderi? Memang mereka ini dari kalangan penagih dadah, namun sebagai saudara seagama (kita meyakini bahawa umat Islam bersaudara) di manakah tanggungjawab kita?

Isu ini memerlukan keprihatinan semua..dan kami di Muslimah sedang dalam usaha untuk menjejaki mereka. Doakan kami berjaya!

Monday, August 3, 2009

Singkat...Tapi Mengujakan!

sawah padi..sayup mata memandang, ada yang sudah boleh dituai, ada yang sedang memberat dan ada yang baru berbunga.

Gunung Jerai nampak berbalam.

Cantik tak gambar pemandangan ni? Ni gambar-gambar sewaktu saya balik ke kampung suami di Kedah. Memang sudah lama saya tidak ke sana. Kali terakhir setahun yang lalu. Anak-anak saya suruh mereka ponteng dua hari. Tak mengapa, kerana mereka memperolehi ilmu yang tidak boleh ditimba di sekolah.

Kami sekeluarga bertolak pada hari Sabtu, 1 Ogos, jam 1 tengahari. Sebelum ke rumah abang ipar di Taman Gurun Jaya (di kaki Gunung Jerai), kami singgah di rumah nenek saudara suami di Pondok Pokok Sena, Kepala Batas, Penang. Ini sebenarnya kali pertama saya dan suami mengunjunginya setelah kami berkahwin. Teringat pesanan arwah mak mertua yang menyuruh kami menziarah bapa saudara yang memeliharanya sewaktu umurnya 7 tahun sehinggalah arwah mak berkahwin.

Bapa saudara arwah mak bernama Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussin al-Banjari. Arwah bersama ayahnya yang mengasaskan Pondok Pokok Sena ini. Dan arwah juga merupakan ahli parlimen PAS pertama (Kerian) pada tahun 1955. Isterinya yang kami ziarahi bernama Hajah Sofiah Hj. Idris (kami panggil toksu). Umurnya sudah menjangkau 101 tahun. Alhamdulillah, ingatannya masih kuat, matanya juga terang. Masih boleh membaca Quran tanpa memakai kaca mata. Cuma dia tidak lagi boleh berjalan kerana lututnya sudah tidak kuat dan pendengaran juga sudah kurang. Mungkin amalannya yang selau mengaji (beliau merupakan guru Quran) membuatkan ingatannya masih kuat.

inilah toksu Hjh. Safiah Hj Idris..masih maniskan walau usia sudah 101 tahun

Beliau sibuk menyuruh kami makan malam di rumahnya. Menurut anaknya, Hjh. Zainab yang kami panggil panggil Mak Anjang, toksu akan meluahkan rasa terkilan kepada anak-anak kalau tetamu tidak makan di rumahnya.

Kami tiba di rumah abang ipar jam 11 malam setelah lebih 2 jam di Penang. Hari Ahad, bermulalah aktiviti berjalan-jalan. Kami membawa anak-anak ke kampung kakak ipar di Kangkung selepas aktiviti makan laksa di Teluk Kechai (Jalan Alor Setar-Kuala Kedah). Menariknya laksa di Teluk Kechai ialah kuahnya ada sambal kelapa (kata kakak ipar saya, sambal tersebut campuran kelapa parut, udang kering dan cili kering digiling). Kuahnya laksa menjadi lebih lemak dan sedap.

laksa Teluk Kechai yang menyelerakan.. kami pergi sepuluh orang order laksa 11 pinggan..hehehe

hmm.. kenduri laksa! 11 pinggan laksa, 10 gelas air teh o ais, 3 pinggan pulut inti (10 biji setiap pinggan) dan 10 biji telur rebus...baru RM51.50, murahkan??

Sampai di Kg Kangkung, anak-anak bukan main seronok kerana mereka mendapat pengalaman melihat sawah padi dan memancing. Langsung tidak kisah matahari terik di atas kepala. Terjerit-jerit sewaktu dapat ikan haruan dan lampan (dua ekor je setelah berjam-jam di tepi tali air belakang rumah Tokwan Ahmad heheh). Ada sesi minum air kelapa muda. Anak sulung abang ipar, Khairi Laila Suhaida yang jadi tekong.. Ala bekerja di Mayban Tasek Gelugor, Penang. Kebetulan cuti hujung minggu memang dia selalu balik ke Gurun. Kami turut mengheret dia ikut serta!

halaman rumah Tokwan Ahmad..rumah tepi sawah..memang best.

gambar pokok padi yang diambil oleh kaklong.

kelapa ini agak unik..Tokwan Ahmad kata namanya nyiur kelubi, ada rupa tandan kelubi kan?

kaklong, Iman dan sepupunya Abg Am yang mencuba nasib memancing. Tak dapat pun. Yang dapat ikan Kakcik Nurul Wahida.

Setelah itu pergi pula ke air terjun Perigi.. sesi mandi manda pun bermula! Sempat dua jam mereka berendam. Saya dan kakak ipar cuma jadi pemerhati. Hmmm percutian singkat yang mengujaka!

air terjun Perigi..memang tinggi sungguh

Thursday, July 30, 2009

Buta ke Romantik?

www.coolchaser.com/themes/

Saya tergelak apabila membaca entry bertajuk ‘pegang tangan itu romantik?’( bak kata suami saya yang suka melawak; romantik takdak romantaik ada!) sewaktu bertandang ke ‘rumah’ Rose Harissa @ che rose,.

Membaca celoteh beliau mengingatkan saya tentang fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Kata orang, orang Melayu susah untuk menunjukkan affection. Memang susah untuk melihat pasangan veteran Melayu berjalan berdua berpegangan tangan. Malah, kalau kedapatan, ramai pula yang memandangnya ‘semacam’.

Namun di kalangan pasangan yang sedang bercinta, adegan pegang memegang ini suatu yang lumrah. Sebab itu banyak perkara yang diperkatakan mengenai fenomena sebelum dan selepas kawin. Kalau sebelum kawin berjalan berpimpin tangan, lepas kawin sorang di depan sorang di belakang.

Teringat saya kepada kisah sewaktu di kolej dahulu. Lecturer yang mengajar subjek Bahasa Melayu namanya Encik Ismail Rajab (sewaktu itu, tak tahulah kalau sekarang sudah ada title prof atau dr. dsb). Katanya.. “memang betullah agaknya bila remaja sekarang kata cinta itu buta…sebab tu saya tengok mereka yang bercinta ni jadi buta. Berjalan kena berpimpin tangan, nak melintas jalan kena berpimpin tangan. Biasanya orang buta sahaja yang berpimpin-pimpin. Tapi bila dah kawin ramai yang celik yer!” Hmm.. logik juga lawak yang dicetuskan beliau hahaha…

Begitu juga dengan komunikasi selepas perkahwinan, khasnya bentuk panggilan. Sebelum kawin bersayang-sayang, selepas kawin maknya dan paknya sahaja jadi panggilan (tentang panggilan ni..pada saya terpulanglah kepada keselesaan masing-masing tanpa mengabaikan rasa hormat dan disenangi pasangan, sesuai dengan ajaran Islam iaitu memanggil seseorang dengan nama yang disukainya).

Perkara ini juga mengingatkan saya kepada pensyarah saya tadi, sewaktu memberi penerangan mengenai variasi. Contoh yang diberikan sangat lucu tetapi bernas. Mengenai pasangan bercinta. Katanya mesti ada penyesuaian dan saling memahami. Begitu juga dalam berkomunikasi perlu ada keserasian, pemahaman atau disebut variasi. Bentuk komunikasi, ada yang verbal atau non-verbal. Sentuhan dan bahasa badan juga menjadi satu bentuk komunikasi.

Yang menariknya, analogi yang diberikan itu membuatkan kami ketawa tak kering gusi.
“Kamu bayangkan sepasang kekasih sedang bercinta memadu kasih di tepi kolam. Si jejaka dari fakulti sastera, si gadis dari fakulti sains.. berkata si jejaka..sayang cuba lihat air tasik tu tenang dan mendamaikan..jawab si gadis, mana ada air itu tenang, molekul-molekulnya sentiasa bergerak berlanggar sesama sendiri!” Hheheh.. begitulah jadinya kalau tiada persamaan atau variasi dalam komunikasi!

Apapun semoga hubungan suami isteri yang terjalin kekal mewangi, saling memahami dan kekal bervariasi!