RSS

Friday, July 20, 2012

Sahabat






Sabda Rasulullah....'Sahabatku umpama bintang di langit'...
Betapa seorang sahabat itu mewarnai dan mengindahkan kehidupan..ibarat bintang-bintang menghiasi kegelapan malam. Menerangi dan mencantikkan panorama alam. Juga menjadi penunjuk arah...yang takkan membiarkan diri kesesatan.


Sahabat bukan sahaja ikatannya di dunia... tapi hingga ke akhirat. Pasti kita tidak mahu di sana nanti sahabat menjadi seteru dan saling menyalahkan serta menyesali kerana pernah bersahabat di dunia.


Pesan Imam Al-Ghazali pilihlah sahabat yang baik akhlak, soleh, tidak tamak dunia dan benar. 
Kata Saidina Abu Bakar  sahabat itu ialah orang yang sanggup mengambil kesusahan sahabatnya untuk merasa sendiri peritnya dan sanggup berkorban demi sahabatnya. 


Dan dalam bersahabat elakkan berbantah dengan sahabat, sentiasa melebihkan sahabat dari segi material, menjaga rahsia dan aibnya, menegah orang mencela sahabatnya, memberi nasihat, memaafkan dan mendoakannya...


Sahabat...ada kategorinya; umpama makanan yang tidak dapat tidak kita memerlukannya setiap waktu. Adakalanya ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat. Dan yang ketiganya umpama penyakit yang tidak diperlukan bahkan perlu dijauhi. 


Ya Allah jadikanlah diriku seorang sahabat yang memahami, baik budi pekerti, berakhlak mulia dan penuh sifat pengasih.
Ya Allah jadikanlah aku sahabat yang baik yang apabila ada disukai, apabila tiada diingati dan ditangisi. 
Ya Allah jadikan aku sahabat yang umpama makanan, yang diperlukan setiap waktu dan menyubur jiwa orang lain.


Maafkan segala kelemahan diri ini, maafkan andai selama ini aku tidak menjadi sahabat yang baik....Doaku mudah-mudahan aku telah menjadi sahabatmu yang baik...

Monday, July 16, 2012

Buat seorang Kak G…




Meninjau laman FB.. tiba-tiba saya terpandang status seorang sahabat lama – seorang kakak, naqibah usrah@ bulatan gembira saya sewaktu di kolej dulu..Kak Ruziah Hamsan yang saya panggil Kak G. Ingatan saya kembali terheret ke zaman bergelar pelajar.  Zaman kenakalan saya.  Nakal tapi terkawal.

Teringat sesosok peribadi bernama Ruziah.  Hitam manis orangnya, lembut peribadinya dan bersifat keibuan.  Saya cukup suka melihat dia yang selalu berjubah hitam berniqob.  Tapi yang saya sangat kagumi sifatnya yang penyayang dan  mengambil berat. Dia selalu sudi ‘memberikan telinganya’ untuk mendengar segala permasalahan dan selalu memberikan nasihat yang berguna.

Dia juga sangat berani, katanya yang perlu ditakutkan hanya Allah sahaja. Justeru, saya tak pelik, apabila dapat tahu dia sekarang ini menjadi seorang bilal memandikan jenazah.   Membaca di wall fb nya, saya tahu dia banyak menyimpan pengajaran daripada usaha fardu kifayahnya. Dan saya berasa rindu untuk mendengar kisah-kisah teladan seperti yang pernah dikongsikan dulu-dulu.

Di kalangan anak-anak usrahnya,  sayalah yang paling manja dan suka ke hulu ke hilir dengannya.  Biliknya selalu menjadi tempat lepak saya. Kalau terasa nak bangun qiam, sudah pasti biliknya jadi tempat tidur saya. Sebab pasti jam 3.30 pagi dia akan bangun dan kejutkan saya untuk bangun bersamanya.

Waktu senggang antara Magrib dan Isyak atau kadang-kala melarut hingga jam 10 malam sebelum mula mentelaah, akan diisi dengan pelbagai cerita teladan.  Mini usrah kami. 

Satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan, satu perkara kecil tapi menyentuh hati.  Lengan baju kurung saya waktu dulu tidak bercekak. Dan waktu dulu masih belum ada sarung tangan seperti yang dapat dibeli pada hari ini. Kalau ada pun cuma arm guard untuk pemain badminton, memang tak sesuai dipakai. Teringat waktu tu… kak G dengan selamba menjahit butang ketip pada hujung lengan baju kurung saya dan mengetipkannya.  Small gesture tapi ingatan tersebut  tak pudar dari ingatan saya.

Begitu juga, satu masa kaki saya pernah terseliuh ditimpa cermin pecah (mujur tak luka). Kak G lah yang mengurutnya sehingga baik…dan yang lucunya kaki saya diurut dengan margerin sebab waktu tu tak ada minyak panas.

Saya sangat bersyukur sebenarnya kerana pernah  ditakdirkan menjadi anak usrah kak G… Melaluinya dengan izin Allah banyak yang saya dapat pelajari. Dan yang paling utama, melaluinya saya banyak bermuhasabah diri khususnya dalam bab akhlak.

Biarpun kami terpisah apabila kak G mendirikan rumah tangga  sewaktu bergelar pelajar, ingatan saya terhadapnya tak pernah putus. Dan alhamdulillah silaturrahim yang terputus puluhan tahun, akhirnya kembali tersimpul apabila kami bertemu semula di laman FB.

Terharu saya apabila Kak G masih lagi seperti yang saya kenali dulu…penuh dengan sifat memahami, pengasih, mengambil berat dan yang pasti…dia masih mengenali dan memahami diri saya. Tak perlu saya ungkapkan..dia sudah tahu gelojak perasaan saya. Dan ayat yang menyentuh jiwa saya…bila dia katakan, “Kak G kenal perangai adik manja kak G neh…”

Sungguh… saya terharu dan kagum dengan kekuasaan Allah yang menautkan hati kami. Tak perlu saya ceritakan apa masalah saya. Sebab dalam bercerita secara tak langsung, dia sudah menjawab persoalan yang menghantui diri saya. Dan bila saya akhirnya membuka kisah, seperti biasa nasihat yg amat berguna saya perolehi…Macam dulu-dulu.  Mudah-mudahan Allah menautkan ukhuwah kami hingga ke jannah.

Tuesday, June 19, 2012

Harapan


Harapan...besar perkataan tu sebenarnya. Bernilai infiniti.. Menggambarkan rasa seseorang..kehendaknya. Yang tak pernah ada satu titik masa. Selagi boleh bertahan dia akan bersabar dengan harapannya. Harapan...mungkin kesampaian atau mungkin tidak? Ia berkait dengan takdir.


Teringat lagu Aiman - Cinta Terakhir.
Mungkinkan terputus di tengah jalan, 
Mungkinkan terlerai tanpa ikatan,
Segalanya ketentuan Tuhan....


Dalam hidup, harapan ibarat satu jalur sinar waktu kita dalam kegelapan. Ibarat satu kekuatan saat kita rasa ingin rebah. Something soothing when we feel restless. Sebab itu jangan pernah berhenti berharap, kerana harapan menjadikan kita kuat, sabar dan tidak mengenal erti putus asa. Harapan akan menjadikan kita tak henti berdoa dan meminta daripada Pemilik Segalanya.


Doa dengan yakin pasrah dan tabah...dan pastinya dengan sabar. Yakin seperti firman-NYA.."AKU ADALAH APA YG HAMBAKU SANGKAKAN"  ~ mengajar kita untuk bersangka baik yg DIA TAKKAN SIA-SIAKAN DOA DAN HARAPAN KITA.


Mampukah kita? Mahukah kita...?


Benar! Tak semudah itu untuk kita bertahan dengan harapan yang ada...kerana sebarang kemungkinan pasti akan terjadi...hanya dengan mengamalkan KESEDERHANAAN dan KESABARAN, baru lah kita tidak akan kenal erti putus asa dan kecewa. 


Bersederhana dalam menjalani kehidupan. Bersederhana dalam menyukai atau mengasihi, bersederhana dalam membenci.  Ya SEDERHANA..kerana barulahkita akan mudah redha dengan segala apa yang terjadi. Dan tak kecewa.


Mahal sungguh sebuah pengajaran yang terpaksa dilalui ... tapi sangat-sangat bererti.

Thursday, June 7, 2012

Perkongsian..





"Apa itu TITIAN SIRAT ?"

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam); (yang demikian) adalah satu perkara Yang mesti (berlaku) Yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. (Maryam : 71)

Dalil: Tidak akan menyeberangi titian Sirat melainkan orang Mukmin.

Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi s.a.w : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari hadith Abi Hurairah dan Huzaifah r.a : “…berjalan bersama mereka amalan mereka dan nabi kamu berada di atas titian sirat dalam keadaan berkata: “Ya Tuhan, selamatkan! Selamatkan!”, sehingga lemahnya amalan hamba-hamba dan sehingga datang seorang lelaki yang tidak mampu berjalan melainkan merangkak” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” Riwayat Bukhari

|Fudhal bin iyadh brkata prjalanan di sirat memakn mase 15000 tahun. 5000 tahun menaik,5000 tahun mndatar dn 5000 tahun manaik,ada makhluk yg melitasinya sprt kilat,sprti ANGIN, menunggang binatang korban dn brjaln kaki. ade yg tdk dpt memelpsinya dsebabkn api nrka sntiase mnrik kaki mrka, lalu mrka JATUH ke dlmnya|

Orang pertama melalui sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang mengepalai umat lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dan direntangkan sirat di antara dua jurang neraka jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya bersama umatku yang lulus.”

Tahap kelajuan seseorang mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, kian laju menuju titian itu. Perjalanan semua manusia di atas Sirat Mustaqim adalah berbagai diantaranya ialah :

Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas kilat.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti tiupan angin.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti burung terbang.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti kelajuan kuda lumba.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas lelaki perkasa.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas binatang peliharaan.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat dalam tempoh sehari semalam.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama satu bulan.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama bertahun-tahun.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama 25 ribu tahun.
semua kiraan masa adalah mengikut kiraan masa dunia.

Diantara tips untuk melepasi Titian Sirat Mustaqim

Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud

“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu : ‘Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” Para sahabat menjawab, “pernah, wahai Rasulullah.”

Baginda melanjutkan : “Sesungguhnya pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya ALLAH yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”
Suasana pada saat itu pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang siap menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,

“Ya ALLAH, Selamatkan, Selamatkan.”

Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada perkara ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini,

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya : “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.”

(Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)

Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah s.a.w. menyifatkan bahawa sifat titian itu adalah lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan ALLAH, sambil berpegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan ALLAH ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.

Rasulullah s.a.w. pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang melintas di atas sirat. Antaranya adalah :

~Banyakkan bersedekah
~Melazimkan diri hadir ke masjid

Beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat:

1. Membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin.
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka ALLAH akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka ALLAH akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”

*Termasuk membuat tuduhan dusta ialah menyokong tuduhan tersebut dan menyebarkannya dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baik atau reputasi orang yang dituduh. Justeru, berhati-hatilah dalam menapis tiap berita dan cerita yang kita terima. Lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan dosa seperti zina dan liwat. Kita memohon agar ALLAH membersihkan umat kita daripada sikap-sikap yang tidak sihat ini.