RSS

Wednesday, December 7, 2011

Perjalanan terakhir…


Tiada kata sebenarnya yang mampu mengungkap perasaan kehilangan ayahanda yang sangat dikasihi, memang sangat tak disangka. Namun, segalanya telah tersurat.

Ayahanda saya memang mengalami masalah kencing manis dan jantung. Namun keadaanya terkawal. Hinggalah dua minggu sebelum pemergiannya, dia kurang berselera makan dan mengalami demam.

Pada subuh 19 November, ayah terbangun dari tidur, muntah-muntah, sakit perut, menggigil dan sakit dada. Lalu kakak kedua yang tinggal bersama ayah terus membawanya ke hospital.

Setelah dilakukan pemeriksaan, ayah disyaki mengalami masalah apendiks. Lalu ayah dimasukkan ke wad. Pada hari ketiga, menurut kakak sulung saya, ayah mengalami sakit perut yang serius. Setelah dijalankan pemeriksaan teliti, doktor mendapati apendiks ayah telah pecah.

Memang sukar untuk dijalankan pembedahan membuang apendiks tersebut, disebabkan masalah jantung dan kencing manisnya. Lalu doktor membuat keputusan untuk melakukan rawatan secara konservatif iaitu melalui suntikan antibiotik dan berharap lemak-lemak akan menutup apendiks yang pecah itu.

Alhamdulillah, dari 19 hingga 28 November, kesihatan ayah semakin positif. Ubat antibiotik yang diberikan membantunya. Saya sempat balik menjaga arwah pada 24 November hingga 27 November, menggantikan kakak dan abang yang telah menjaga ayah sebelum ini.

Ayah sudah boleh makan makanan lembut dan minum susu. Setiap setengah jam, ayah akan minta minum air. Memang sukar juga, sebab ayah cuma boleh minum satu liter sehari. Terpaksa juga mencatu minuman untuknya walaupun kasihan melihat dia kehausan. Untuk mengurangkan rasa haus, ayah minta ditambah ais dalam minumannya, alhamdulillah dengan itu dapatlah mengikut apa saranan doktor.

Pada hari ketiga menjaga ayah, sewaktu membantu menukar lampin pakai buangnya, hati saya tersentuh melihat najisnya yang kehitaman. Terdetik rasa tidak sedap hati, tapi saya pendam rasa itu. Tambahan pula ayah kelihatan semakin sihat, wajahnya juga tampak kemerahan berbanding kali pertama saya menjengahnya - pucat dan sangat uzur.

Hari Ahad, saya terpaksa kembali semula ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan tugas. Lalu pada ayah saya katakan saya terpaksa balik dahulu dan kembali menjaganya semula Jumaat nanti (2 Dis ’11). Dan ternyata kesihatan ayah semakin baik malah diberitahu akan dibenarkan pulang sehari dua lagi. Namun ternyata perancangan Allah mendahului perancangan manusia.

Selepas solat Subuh pagi Khamis 1 Disember, suami saya mengajak balik ke kampung menjenguk ayah. Katanya, dia balik sekejap dan tinggalkan saya terus sehingga Ahad. Kebetulan dia juga tidak sempat lagi menjenguk ayah disebabkan urusan kerja dan mengalami demam.

Sewaktu jam menunjukkan angka 9 pagi, tiba-tiba kakak keempat saya menelefon memberitahu keadaan ayah yang semakin tenat. Saya yang waktu itu sedang bersiap-siap untuk ke pejabat benar-benar terkejut dan tak terkata apa-apa. Setengah jam kemudian kakak kedua menelefon memberitahu ayah nazak dan tepat jam 10.30 dia menelefon lagi memberitahu ayah sudah kembali ke rahmatullah.

Gelap terasa dunia sekejap. Dalam tempoh tak sampai dua jam segalanya terjadi ibarat sekelip mata. Terasa umpama mimpi… tak percaya dan sedih yang sukar digambarkan. Ya, saya kehilangan seorang ayah yang sangat saya kasihi…

Bergegas saya pulang ke kampung dan setibanya di rumah jenazah ayah masih belum tiba dari hospital. Ayah siap dimandikan dan dikafankan di hospital dan selepas zohor sekitar jam 2.30 barulah jenazah ayah tiba di rumah…

Demi dibuka kain kafan yang menutupi wajah ayah tercinta, berderai air mata saya. Tampak tenang seraut wajah tua ayah. Umpama dalam tidur. Jenazah ayah saya kucup perlahan..sejuk umpama ais..ye benar ayah saya sudah tiada.. pergi yang takkan kembali lagi….

Alhamdullillah tepat jam 4 petang jenazah ayah selamat dikebumikan dan sebagai anak saya sempat melakukan sumbangan terakhir menyolati jenazahnya.

Sungguh saya berasa separuh semangat saya terbang…saya kehilangan seorang insan yang sentiasa menjadi pendengar setia cerita-cerita saya. Tiada lagi kelihatan seorang tua yang duduk di kerusi rehat tepi pintu berehat sementara menunggu masuk waktu solat atau setia mendengar celotehan anak cucunya.

Terlalu banyak kenangan bersama ayah..paling tak dilupakan kesungguhannya membantu saya menghafaz surah Sajadah. Malah terngiang katanya, “ulang baca 40 kali, insyaAllah boleh ingat.” Dan pasti saja air mata terus berderai tatkala menghadap al-Quran, sebab teringat tegurannya kalau bacaan yang dibaca kurang sempurna.

Moga Allah mengurniakan maghfirah, rahmat dan menjadikan tempat rehat ayah sebagai taman syurga.



Tuesday, November 8, 2011

Tahu, Mahu dan Mampu…

Kita baru sahaja selesai menjalani hari raya korban dan masih berbaki sehari lagi bagi yang ingin menunaikan ibadah korban.

Bagi yang berkemampuan, sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah tersebut. Bagi yang kurang berkemampuan, berdoalah moga dimurahkan rezeki dan diberi kesempatan untuk melaksanakannya di tahun mendatang, insyaAllah.

Bercerita tentang pengorbanan, teringat tazkirah dalam rancangan Semanis Kurma tentang pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail. Betapa kalau dilihat pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu, terpaksa berkorban perasaan apabila dicemburui madunya. Kemudian ditinggalkan bersama anak yang masih kecil di padang pasir gersang dan terakhirnya terpaksa berkorban lagi kerana anak kesayangan akan disembelih.

Memang segala pengorbanan tersebut sudah tersurat menatijah sesuatu yang baik untuk seluruh umat manusia, namun dilihat dari sudut pandangan seorang wanita, ia bukan suatu yang mudah dilaksanakan seandainya tidak diiringi dengan keimanan yang kental.

Bak kata Ustaz Dato’ Zawawi, erti kasih sayang atau pengorbanan itu ialah sentiasa menjadi orang yang memberi dan bukan hanya mengharap untuk menerima. Bagaimana boleh bersabar menjadi orang yang sentiasa memberi? Sebab mereka melihat ganjaran yang telah disediakan Allah di akhirat nanti. Dengan kata lain mata mereka cuma nampak dan fokus akhirat. Sebagaimana kata Prof. Dr. Muhaya Muhammad – pencen kubur (mencari redha Allah dan bukannya mencari redha manusia).

Memang bukan mudah bagi kita insan yang biasa ini untuk menjadi orang yang sentiasa memberi tanpa mengharap balasan, tanpa mujahadah. Paling tidak kita tetap mengharap sebaris ucapan terima kasih. Tidak salah sebenarnya mengharapkan penghargaan kerana penghargaan meninggikan esteem kendiri.

Namun jangan sampai jika tidak mendapat penghargaan kita hilang keikhlasan, hilang motivasi dan terus ‘putus angin’ untuk berbuat kebaikan.

Jadikan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah di ‘sana’ nanti sebagai motivasi untuk terus memberi. Kalau kita percaya janji manusia, mengapa kita ragu-ragu dengan janji Allah – Tuhan yang Mencipta manusia?

Memang sebagai manusia, kita TAHU dan kita MAHU kebaikan..tapi kita seringkali TIDAK MAMPU, disebabkan nafsu yang mencengkam. Memang benar, TAHU, MAHU dan MAMPU, tiga perkara yang berbeza..tapi boleh disatukan dengan mujahadah – peperangan antara iman, nafsu dan akal dengan bersungguh-sungguh agar nafsu yang sering mengajak ke arah kejahatan itu kalah.

Sewajarnya pesanan Saidina Ali kita pegang – iaitu meletakkan dunia di bawah dagu dan akhirat di depan kita. Dunia kalau kita kejar ia semakin menjauh tapi kalau kita meletakkan di sisi ia akan ‘datang’ kepada kita.

Moga kita mampu menjadi insan yang sentiasa memberi dan berasa bahagia apabila dapat memberi. Memang sukar tapi tidak mustahil ditambah jika kita meletakkan akhirat sebagai fokus kita. Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan yang mendapat redha dan rahmat Allah selalu.

Tuesday, October 25, 2011

Tullis..jangan tak tulis!

Dunia penulisan, apatah lagi dunia penulisan kreatif, sangat menarik sebenarnya. Ia adalah dunia yang tersendiri. Di situ, segala macam watak boleh diisi. Pendek kata penulislah yang menentukan nasib dan 'takdir' watak. Suka duka, bahagia derita dan hidup mati watak, penulislah penentunya. Penulis boleh masuk ke dalam watak untuk menghidupkannya atau menjadikan watak kering tanpa perasaan.

Ya dunia penulisan sangat unik. Jika kena gayanya ia boleh menjadikan si penulis kaya raya dengan hasil tulisannya. Sebut sahaja nama penulis, pasti sudah tersohor dan karyanya laris umpama pisang goreng panas. Justeru, tidak hairanlah jika ramai yang begitu ghairah mahu menjadi penulis sebab mereka merasakan ia kerja mudah untuk mendapat imbuhan.

Tapi ada juga yang tak kaya-kaya biarpun puluhan tahun menghambakan diri kepada bidang penulisan. Lebih malang lagi tulisannya ibarat syok sendiri sahaja.

Sebenarnya saya bukan nak sentuh tentang laku atau tidak novel yang dihasilkan. Saya sendiri pun bukanlah seorang penulis kreatif. Tapi saya sangat berminat membaca novel. Dan kebetulan saya mempunyai sedikit ilmu tentang proses editing.

Ramai yang bertanya saya bagaimana nak menulis novel. Sekali lagi saya tegaskan saya bukanlah seorang penulis kreatif. Ada tak ada, saya pernah menulis sebuah cerpen dan satu manuskrip yang terbengkalai di bab 8. Dah hampir 2 tahun diperam.

Cuma sebagai penulis (di majalah) saya selalu memegang prinsip tulislah sesuatu yang bermanfaat untuk dibaca dan diamalkan. Walaupun bukan untuk orang lain baca dan amalkan, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.

Menulis ini ada amanahnya. Setiap apa yang ditulis itu akan dipertanggungjawab di akhirat kelak. Jadi biarlah tulisan kita itu ada 'pengisian'. Pengisian yang boleh meningkatkan iman dan amal. Kalau tidak pun, ada informasi dan dapat dijadikan iktibar.

Saya kadang kala keliru juga, mengapa perlu ada pengkelasan karya Islami dan bukan Islami. Bukankan sebagai seorang yang mengaku Islam kita kena 'masuk ke dalam Islam secara keseluruhan'. (Firman Allah dalam Surah al Baqarah ayat 208 "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang musuh kamu yang nyata.")

Justeru, karya yang dihasilkan juga seharusnya mempunyai batas-batas syarak sebagaimana dalam kehidupan. Kalau di luar karya, kita dilarang bergaul bebas, perlu menutup aurat dan sebagainya, maka di dalam karya juga seharusnya begitu. Saya faham ada kalanya kita perlu memasukkan realiti di luar ke dalam novel. Lakukanlah, tapi mesti dikontra dengan 'nilai-nilai baik' (seharusnya beracuankan nilai Islam). Sebab kita pasti mahukan karya kita ada nilai baik.

Apapun yang paling penting, penulis sewajarnya menggunakan penulisan sebagai media untuk berdakwah. Berdakwah mengikut kemampuan diri. Berdakwah menyeru kepada perkara yang baik. Dan biarlah kebaikan itu berterusan..bukan tenggelam timbul mengikut selera pembaca!

Penulis sebenarnya sangat beruntung sebab pembaca memberikan perhatian 100% kepada apa yang ditulis tatkala mereka menatap karya penulis kesayangan mereka. Lalu mengapa tumpuan sebegitu tidak dimanipulasi dengan semaksimum mungkin untuk berdakwah. Anda tak perlu keluar ke kelas-kelas pengajian berpenat menyampaikan perkara baik sebagaimana yang dilakukan oleh segolongan ustaz/usatazah.

Sangat rugi bukan kalau peluang menjadi seorang daie/daiyyah dilepaskan begitu sahaja? Bertambah rugi jika sekadar membuai perasaan pembaca sehingga membuatkan mereka gila bayang dengan watak ciptaan anda. Takutlah dengan ancaman Allah, takut kita terjebak menjadi golongan as-syuara yang dilaknat kerana menjauhkan orang daripada mengingati Allah.

Sedikit renungan daripada novelis Norhayati Berahim dalam novel Menunggu Kereta Api. (maaf lebih kurang ye..kalau nak tahu baca!)
"Kau percaya dengan janji Allah?"
"Sudah tentu aku percaya. Kalau kita percaya janji manusia, sepatutnya kita lebih percaya janji Allah. Sebab Allah mencipta manusia."

Monday, October 24, 2011

Bertemu Ayu

Petang Jumaat lepas saya sempat menerima SMS daripada adik saya Ayu (pemilik blog love.life.hope). Katanya dia berada di Shah Alam dan berhajat untuk berjumpa dengan saya pada hari Sabtu. Kebetulan suami terpaksa masuk ofis hari Sabtu jadi saya menjemput Ayu ke rumah.

Sebenarnya terasa sangat bersalah menyuruh Ayu ke rumah. Keadaan Ayu semakin uzur sebenarnya berbanding kali terakhir saya berjumpa dengannya. Ayu merupakan penghidap penyakit Multiple Sclerosis (MS).

Sebelum Ramadan yang lalu, keadaan Ayu agak kurang baik dan kini penyakit tersebut menyebabkan penglihatan Ayu terjejas. Sewaktu Ayu menelefon saya bulan lalu memberitahu keadaan dirinya, suaranya kedengaran sangat perlahan dan lemah. Saya turut merasa sebak. Tak terluah rasanya untuk menyuruh dia bersabar, sebab saya dapat rasakan penderitaannya.

Namun saya sangat kagum dengan kesabaran yang ditunjukkannya. Begitu juga dengan suaminya Najib, yang tidak pernah jemu membawa Ayu berubat ke mana sahaja.

Pagi Sabtu Ayu menghantar SMS, katanya pagi tersebut dia kurang sihat..Insya-Allah sebelah petang kalau keadaannya baik, dia akan ke rumah saya. Saya sempat bertanya bila dia akan balik ke Perlis, takdirnya Ayu tidak dapat sampai ke rumah saya, saya bercadang untuk ke rumah mertuanya di Shah Alam.

Jam 4.30 petang, Ayu menelefon mengatakan dia dalam perjalanan ke rumah saya. Sedih sungguh rasanya kerana Ayu yang sakit pula bersusah payah menjenguk saya yang sihat. Lalu saya pun segera ke dapur menyiapkan apa yang patut. Alhamdulillah dalam sejam setengah saya sempat membuat laksam.

Ayu sampai di rumah saya jam 6.30 petang, bersama suaminya dan anak bujang comelnya Afif serta bibik. Terharu rasanya dapat berjumpa Ayu, cuma sedih mendengar bicara Ayu. "Dapat dengar suara je kak..tapi Ayu tak nampak akak". Bergenang air mata saya.
Begitu juga apabila anak-anak bersalaman dengannya.

Ayu tak dapat berlama di rumah saya, kebetulan kakak dan abang Najib ramai yang ingin berziarah melihat Ayu. Selepas azan Maghrib berkumandang, Ayu meminta diri untuk balik.

Saya kagum melihat layanan Najib pada Ayu, lemah lembut menyuap Ayu makan dan minum. Moga Allah terus menitipkan kesabaran buat mereka sekeluarga, juga kasih sayang buat Afif.

Gambar ni semasa saya berjumpa Ayu di Sg. Petani. Tak sempat nak bergambar dan tak sampai hati sebenarnya.