gambar dari www.flickr.com/.../discuss/72157602324294211/Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang penuh dengan keseronokan. Saya pasti generasi yang sebaya dengan saya pasti bersetuju, zaman kecil kita penuh dengan kebebasan dan
adventure.
Kalau disebut mengenai permainan, macam-macam benda menjadi bahan mainan kita. Rasanya anak-anak di zaman kita lebih kreatif. Bermain congkak umpamanya, tak perlu papan berukir dan guli. Cukup dengan mengorek tanah untuk dijadikan rumah dan buah getah atau anak batu sebagai anaknya.
Begitu juga kalau ingin bermain senapang, biasanya kita akan mencari papan reja. Kemudian lukis gambar pistol dengan arang dan gergaji atau takik saja dengan parang. Jadilah senapang atau pistol. Pelurunya pula terung pipit. Main perang-perang dalam semak. Sambil-sambil tu sempat lagi kutip buah kemunting atau leletup sebagai ‘jajan’.
Kalau bermain masak-masak pula, memang betul-betul punya masak. Sempat lagi ‘cilok’ beras dan sardin ke belakang rumah. Kutip kayu api, guna batu-bata sebagai tungku dan masak dalam tin susu pekat manis yang sudah dibasuh bersih. Biasanya saya akan ajak abang dan kakak
join sekali!
Balik mengaji mesti melencong, pergi cari buah hutan untuk dimakan. Jambu batu, jambu arang, buah sentul, buah gajus, tebu dan bermacam lagi menjadi habuan. Bukannya kelaparan pun tetapi menjadi tabiat agaknya.
Teringat pula sewaktu tinggal bersama nenek, ada waktu saya akan turun ke sawah (sawah orang) untuk tangkap anak ikan. Bila tiba musim menuai padi, saya dan sepupu saya sibuk mengacau pakcik-pakcik memukul padi. Tapi petani yang baik itu memberi peluang kami mencuba.
Pernah satu petang, saya dan sepupu mandi dalam tali air. Dalam seronok mandi, tiba-tiba sepupu saya menjerit sambil menangis. Rupa-rupanya dia digigit lintah kerbau sebesar ibu kaki. Esoknya terus demam.
Waktu kecil, saya boleh tahan juga lasaknya. Saya pernah bertumbuk dengan anak jiran. Walaupun kalah (dia lelaki) saya puas, biarpun balik rumah kena hentam lagi dengan arwah mak.
Teringat zaman kecil kita, rasanya ramai yang terkopak kepala lutut, belajar basikal. Zaman kita mana ada basikal kecil dengan tayar pengampu. Yang ada cuma basikal besar atau basikal palang. Siap bergayut sebelah pada palang. Berbeza anak-anak kita hari ini, umur 4-5 tahun sudah boleh mengayuh basikal. Siap buat
wheely lagi, tapi takdelah berparut lutut.
Mandi hujan dan mandi perigi aktiviti wajib. Teringat saya kalau sesekali balik ke rumah nenek saudara saya. Arwah membeli sebuah pulau berhampiran muara sungai. Memang luas pulaunya. Ada dusun kelapa dan hutan. Pulau itu didiami oleh mereka sekeluarga dan juga adik arwah mak. Kiranya ada dua buah rumah sahaja. Tapi kami cukup seronok kalau berpeluang ke situ. Apa tidaknya, ada can mandi sungai walaupun selalu kena gempak dengan arwah datuk saudara (bukan apa.. bimbang lemas).
Di pulau itu, ada orang mengambil upah menyadap nira kelapa. Buat cuka dan gula melaka atau manisan. Cukup seronok menunggu orang membuat manisan, apa tidaknya di tangan sudah siap upih menunggu baki yang dimasuk dalam kerek daun kelapa. Lemak manis..kiranya macam makan coklatlah..
Ada masa kami makan kelapa muda, lepas itu mumbang (tempurung yang belum keras) dicicah dengan cuka (cuka campur belacan, garam, gula dan cilia api). Apa yang sedapnya pun tak tahu…tapi memang menjadi aje.
Memang indah kenangan masa kecil. Ibu bapa tak pernah risau kalau anak-anak berkeliaran di segenap ceruk kampung. Sebab tak ada orang jahat yang akan ambil kesempatan.
Anak-anak kita hari ini terpaksa dikurung dalam rumah. Permainan mereka sama ada video games atau komputer. Sesekali bermain bola atau basikal di taman. Tapi kena ada yang memantau dan menunggu. Nak buat macam mana. Zaman dah berubah, dunia dah maju. Anak kita pun hilang kebebasan. Itulah agaknya harga yang perlu kita bayar!
Aahh...rindunya kenangan lalu!!!