RSS

Monday, April 28, 2014

Perjalanan yang masih panjang...

Tersangat lama saya tidak menulis di blog ini. Ini merupakan enty pertama bagi tahun 2014 yang sudahpun melepasi suku pertamanya.

Sabtu 26 April, kami sekeluarga ke Sekolah Agama Menengah, Jeram, sempena majlis graduasi anak sulung saya Nurul Huda yang telah menamatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Sememangnya pelajar-pelajar STAM di semua sekolah agama Selangor diraikan dengan majlis graduasi, sementelah sijil tersebut setaraf dengan diploma.

Peperiksaan yang berlandaskan sistem al-Azhar itu, memang sangat perit bagi pelajar yang mendudukinya. Dengan 10 mata pelajaran yang kesemuanya dalam bahasa Arab dan sistem satu subjek gagal akan gagal keseluruhan peperiksaan,  memang sangat mencabar calon. Ditambah tempoh pengajian yang singkat iaitu 10 bulan sahaja,sememangnya peperiksaan STAM menyaksikan drama air mata calon. Dan bagi yang lulus peperiksaan ini, 10 bulan yang getir itu sangat berbaloi dirasakan (bukan sekadar menjawab peperiksaan malah dengan hafazan 4 surah dan 33 hadis).

Sebagai ibu, saya sangat bersyukur anakanda saya ditakdirkan lulus peperiksaan tersebut. Anakanda saya bukanlah seorang yang genius, namun berkat tunjuk ajar guru dan doa yang tak putus dipanjatkan, alhamdulillah kejayaan berpihak kepadanya. Dengan result keseluruhan Jayyid Jiddan (3 subjek lulus dengan pangkat mumtaz, 5 jayyid jiddan dan 2 jayyid), memang besar harapan anakanda agar dirinya terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pula nanti, insya-Allah.

Sememangnya tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan harapan seorang ibu untuk melihat anak berjaya di dalam pelajaran. Namun dari perspektif saya sebagai seorang ibu, saya sering mengingatkan anak-anak tentang tujuan menuntut ilmu itu sendiri. Sedari kecil, saya telah terapkan kepada Along bahawa menuntut ilmu itu bukan untuk mendapat kerja yang bagus. Menuntut ilmu adalah kerana ia fardhu kepada mereka yang bergelar muslim. Kerja yang baik dan jawatan yang baik yang dipegang selepas tamat belajar itu adalah bonus daripada kesungguhan menuntut ilmu.

Sebab itulah juga saya selalu berpesan kepada anak-anak agar sentiasa menghormati murabbi mereka, kerana keberkatan ilmu itu terletak kepada redha guru. Walau sekalipun kita tidak suka dengan cara pengajaran mereka, jangan dicerca pada guru yang mengajar. Itulah adab belajar di samping rajin bangun untuk beribadat di malam hari memohon dipermudahkan urusan pembelajaran.

Teringat bicara anakanda saya, katanya umi, apa yang Along dapat ini, bukanlah sebab usaha along, tapi pertolongan Allah. Kalau nak diikutkan usaha rasanya memang tak akan dapat seperti yang tertera ini. Terima kasih sebab doakan along.

Ramai juga yang bertanya mengapa saya menghantar anak ke sekolah agama (dan sekolah tahfiz: menghafaz al-Quran semata-mata). Adakah sebab anak saya minat? Sebagai ibu, seperti ibu-ibu lain, saya inginkan yang terbaik untuk anak-anak saya. Dan pendidikan agamalah pendidikan yang terbaik kerana hanya dengannya manusia akan kenal Penciptanya dan tahu akan tujuan mereka dijadikan di bumi ini.  Ditambah zaman yang semakin mencabar, hanya agama yang dapat menjadi benteng daripada terjebak dengan perkara yang tidak diingini.

Memang benar, tidak semua pelajar sekolah agama itu baik-baik dan terjamin daripada terjebak dengan gejala tidak sihat. Memang benar ada pelajar agama lebih teruk perangainya daripada pelajar 'sekolah biasa'. Namun bagi saya dan suami, kami cuba memberikan yang terbaik, di rumah dan di sekolah. Selebihnya kami serahkan kepada Allah SWT supaya melindungi anak-anak. Juga berdoa agar tidak berikan ujian yang tidak mampu kami tanggung dengan kerenah anak-anak.  Semoga usaha kami ini dipandang oleh Allah sebagai amal soleh.

Buat anak-anak, semoga ilmu yang kalian miliki bukan hanya tercatat di atas sekeping sijil. Ia adalah amanah yang perlu kalian laksanakan kerana pastinya ilmu itu akan ditanya di mana kalian manfaatkan. Doa umi dan abah sentiasa mengiringi hidup kalian.








Thursday, October 31, 2013

Hidung vs belalai??

Kuliah tafsir  bersama Dr Fatma Zahrah surah al-Qalam ayat 1-17

Dalam mukaddimahnya ustazah menyebut bahawa al-Quran adalah untuk umat seluruh alam. Al-Quran menjadi sumber rujukan bagi orang yang isitiqamah melakukan kebaikan dan inginkan balasan syurga. Allah memberi teguran kepada orang Islam dalam surah al-Hujurat, "jangan kamu guna sumber maklumat selain daripada al-Quran".


Awal surah Al-Qallam ini merupakan pujian Allah terhadap Nabi Muhammad saw. Ia juga sebagai menjawab tuduhan daripada kaum Quraisy bahawa Nabi seorang gila, memfitnah, jahat, buruk perangai dan sebagainya. Allah memuji Nabi dengan mengatakan "bahawa kamu Muhammad mempunyai budi pekerti/akhlak yang agung."

Asbab turun ayat ini juga sebenarnya ialah untuk menjawab tuduhan daripada seorang musyrikin Al-Walid bin Mughirah yang sering memfitnah Nabi dengan mengatakan Nabi ini suka mengadakan cerita.

Dalam ayat 8-16 ini, Allah menempelak kepada Al-Walid bahawa dia seorang yang melampaui batas, suka bersumpah hina, suka mencela, banyak dosa, berperangai kasar dan terkenal dengan kejahatannya dan telah diberitahu kepada Nabi oleh Allah Al-Walid yang ramai anak ini adalah anak zina. (Dia ni ada 10 anak lelaki dan budaya Arab ni ramai anak lelaki orang puji dan mudah dapat pengikut)

Apabila dia mendengar Rasulullah mengatakan dia anak zina, dia berasa pelik. Kalau Muhammad kata jahat, memang dia mengaku dia jahat, memang dia suka bersumpah, suka mencela tapi bagaimana Muhammad tahu yang dia anak zina?

Lalu dia bertemu dengan ibunya sambil bawa pedang dan ugut supaya ibunya bercerita. Lalu ibunya mengakui bahawa benar dia anak hasil hubungan ibunya dengan tukang kebun ayah dia.

Satu lagi sifat al-Walid bin Mughirah (dan musyrikin Quraisy yg lain) apabila dengar ayat Quran, mereka akan berkata ini adalah dongengan org dulu kala. Lalu dalam ayat 16 Allah memberitahu Allah akan beri petanda di 'belalai'nya.

Istilah belalai ini sebenarnya merujuk kepada hidung. Tapi Allah tak guna perkataan 'anfun' (hidung) tetapi Allah guna 'Khurthum' (belalai) untuk menghina.  Kisahnya..budaya orang Arab ni bangga dengan hidung mereka yang besar tinggi mancung tu. Kalau tgk hidung org pesek ni tak main lah! (hehe). Lalu dalam perang Badar, hidung si al-Walid ni telah dipotong oleh tentera Islam..Menjadi kehinaanlah bagi dia..

Friday, February 15, 2013

Rindu

Maha suci Allah yang mengurniakan perasaan kepada manusia. Setiap perasaan itu, ada kegunaannya buat manusia walau sesekali mungkin kita akan bertanya perlukah ada perasaan sebegitu.

Sebagai contoh, perasaan marah; walaupun ada hadis Nabi saw yang mewasiatkan seorang lelaki yang ingin menjaga kesejahteraan hatinya dengan pesanan "Laa Taghdab" atau "Jangan kamu marah"..Memang perasaan marah ini tidak disukai agama. Apatah lagi kalau diiringi dengan sifat panas baran. Tapi ada masa ia perlu kerana dengan adanya perasaan marah dan benci ini, barulah nahi mungkar dapat dilaksanakan (dengan cara yang berhikmah semestinya).

Begitu juga perasaan benci, iri hati dan sebagainya..walaupun kedengaran negatif tetapi dalam situasi yang tertentu ia diperlukan demi melahirkan sesuatu yang positif.

Rindu juga perasaan unik yang dianugerahkan Allah SWT untuk insan. Adanya rasa rindu makhluk yang taat akan berusaha bersungguh-sungguh beribadat kerana ingin bertemu dengan Khaliknya. Adanya rasa rindu kepada Nabi saw maka umat akan bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah baginda agar di sana nanti mendapat syafaat dan bersama-sama baginda di jannah.

Dan sebagai manusia biasa, kita juga akan dilanda perasaan rindu apabila berpisah dengan orang yang kita sayang. Tidak kira perpisahan abadi atau perpisahan sementara. Dan sebagai manusia alangkah indahnya jika masa yang berlalu dapat diputar semula walaupun mustahil kerana kita ingin kembali melalui saat-saat yang dirasakan indah dalam hidup. Bagi yang sudah merasai kehilangan pasti kalau boleh ingin kembali ke masa lalu kan???

Rindunya saya pada arwah mak, arwah ayah dan sahabat saya Ayu...Allahumaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fuanhum. Dan rindu juga pada seorang kakak yang telah lama tak bersua..kita dekat tapi jauh, moga doa sentiasa mengikat hati kita.

Thursday, February 14, 2013

Dekat tapi jauh....

Hubungan sesama manusia sangat unik. Kalau disingkap kisah para sahabat, pasti terlihat betapa unik, rapat dan mesra hubungan silaturrahim yang terjalin antara mereka dengan Rasulullah dan sesama mereka. Mereka bukan bersaudara dalam ertikata punya pertalian darah. Tetapi persaudaraan yang terikat atas ukhuwah Islamiyah membuatkan mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi sebuah silaturrahim.

Bukan perkara pelik kalau kita baca kisah seorang sahabat yang setiap pagi mesti singgah di hadapan rumah Rasulullah saw semata-mata untuk melihat kelibat Baginda sebelum keluar bekerja dan apabila pulang akan singgah lagi di hadapan rumah Baginda atas tujuan yang sama. Sehinggalah beliau ditanya oleh Baginda mengapa setiap hari tingkahnya begitu. Lalu dijawabnya, beliau sangat merindui Baginda dan takut kalau-kalau tidak dapat lagi melihat Baginda satu hari nanti. Kepada sahabat ini, Baginda saw memberi khabar gembira, kerana kecintaannya beliau akan dapat melihat Baginda di akhirat kelak..subhanallah. 

Demikianlah satu contoh, biarpun tiada pertalian darah namun disebabkan ukhuwah yang terjalin, yang jauh terasa dekat. Bukan sahaja hubungan antara pesuruh Allah dan umatnya malah banyak kisah antara sahabat yang sanggup menggalang ganti diri mereka demi sahabat seakidah.

Namun suasana kehidupan manusia hari ini, sangat berbeza. Ikatan ukhuwah kian longgar. Usahkan yang tiada pertalian darah, yang lahir seperut ibu yang sama pun bertelagah. Masing-masing nafsu-nafsi. Material dijadikan ukuran. Kalau ada yang mengambil berat, dituduh menjaga tepi kain atau mahu menumpang senang.

Dan sahabat yang suatu masa berkongsi segalanya juga akhirnya seperti sudah hilang rasa. Tidak lagi berkongsi bahasa yang sama, terasa seperti ada jurang yang sangat dalam. Lalu yang dekat terasa jauh, yang mesra terasa asing. Di manakah salahnya..adakah kerana kesibukan, urusan kerja, keluarga atau perbezaan taraf hidup akhirnya membuatkan ukhuwah juga terlerai? Lalu bagaimanakah mahu mengaplikasi hadis Junjungan Besar saw.."Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"? Oh..dunia sudah semakin tua dan semakin tiba ke penghujungnya!


Wednesday, February 13, 2013

KISAH PENGORBANAN YANG INDAH

Saya terbaca kisah ini di wall Datuk Dr. Maznah Hamid...memang benar kehidupan ini akan jadi indah jika kita berkongsi. Moga ia menjadi motivasi untuk diri yang sentiasa lupa ini. Ya Allah.. jadikanlah diri ini hamba yang sentiasa memberi dalam melalui kehidupan yang sementara ini.

Telah dua bulan musim hujan berlalu,  pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

"Apa khabar daun hijau," katanya.

Tersentak, daun hijau menoleh ke arah suara yang datang

"Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau.

"Aku hampir tidak mendapat dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.

"Tentu.. tentu.. dekatlah ke mari." Daun hijau berfikir, "Jika aku memberikan sedikit daripada tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Cuma aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah."

"Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah makan dengan kenyang, ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini, namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang, ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.

Apakah moral kisah di atas?

Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri untuk orang lain memang tidak mudah, tetapi indah. Namun ketika berkorban diri menjadi seperti daun hijau yang berlubang, ia sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, kita akan tetap hijau, Tuhan akan tetap memberkati dan memelihara kita.

Bagi "daun hijau", berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat yang lain dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai "daun hijau". Suatu hari ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Justeru, isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.

*** Berkorbanlah ketika 'ada' dan masih punya waktu untuk melakukannya. Hidup lebih indah jika memberi.***

Sunday, January 20, 2013

Second chance

~ Second chance..peluang kedua ~
Everybody deserves  a second chance. Semua orang berhak untuk mendapat peluang kedua. Benar. Malah apabila kita melakukan kesalahan atau dosa, kita masih diberi ruang untuk bertaubat.

Disebabkan ada peluang kedua ini, kita akan dapat memperbetul kembali kesilapan yang telah dilakukan. Mendapatkan kembali kasih sayang yang telah kita persiakan atau membina kembali kepercayaan yang telah dikhianati.

Namun mungkin tak semua juga yang layak atau berkeistimewaan untuk mendapat peluang kedua ini. Atau tidak daripada orang yang pernah dilukai, disakiti dan dikhianati. Kerana itulah harga yang perlu dibayar.

Benar...Allah menerima taubat hambaNya TAPI BERSYARAT:
~ meninggalkan
~ menyesali
~ mengganti

Rome was not build in one day. So is trust, what more on a second chance. Belajarlah menghargai dan mensyukuri.



Friday, January 18, 2013

Apa mahumu?

Manusia ini seleranya besar, mahunya banyak. Nafsunya berganda saiznya daripada jasadnya. Tapi Allah itu Maha Pemurah, Maha Pemberi. Malah manusia disuruh supaya meminta.

"Serulah (mintalah) Aku, nescaya Aku akan menyahut seruanmu (perkenankan)."

Pernahkah terfikir, apakah sebenarnya kemahuan kita? Kadang kala kita merintih memohon agar Allah mengurniakan apa yang kita hajati. Berdoa tanpa jemu dan menagih belas ihsan dari Allah. Malah ada ketika umpama mendesak agar diberikan apa yang kita hajati.

Namun..tanpa kita sedar kemahuan dan keperluan adalah dua perkara yang berbeza. Kadang kala kemahuan kita Allah tidak beri. Meskipun kita sangat-sangat menginginkannya. Kenapa? Sebab Dia yang menjadikan kita. Dia yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Belum tentu apa yang kita mahu kalau Dia memberinya kita mampu mengendalikannya.  Tapi Dia berikan apa yang kita perlukan. Dia tahu apa keperluan kita, bukannya kemahuan kita.

"..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui" ~ al-Baqarah.




Thursday, January 17, 2013

Tarbiyah

Hidup itu ujian..
Ujian adalah tarbiyah ..mampukah kita tangani atau terkandas?
Sukarnya mencari hikmah di sebalik musibah
Payahnya memujuk diri tatkala diuji
Ujian datang dan pergi..
Dan kita tetap berdiri selagi masih berdenyut nadi.

Ya Allah jadikanlah kami hamba yang tegar dilambung ujian. Cukuplah tangis hamba di hamparan sejadah. Tunduk mengakui dengan pasrah bahawa kami hambaMu yang teramat lemah..

Wednesday, January 16, 2013

Istikharahlah....!

Ya Allah, andai dalam pengetahuanMu perkara ini baik bagiku, agamaku, masa depanku sekarang dan akan datang, maka kau dekatkanlah ia padaku dan dekatkanlah aku padanya. Tapi jika dalam pengetahuanMu ia buruk bagiku, agamaku, masa depanku sekarang dan akan datang, maka kau jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkan aku daripadanya. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak tahu. 

Itu adalah antara intipati doa istikharah. Apabila disebut istikharah maka, biasanya akan tergambarlah situasi membuat pilihan apabila sampai jodoh. Sama ada mencari jodoh, memilih calon yang sesuai daripada calon-calon yang ada dan segala yang bersangkutan dengan jodoh.

Sebenarnya fungsi istikharah ini bukan sahaja apabila hendak berkahwin. Ia sebenarnya lebih luas kontaksnya, iaitu apabila kita berdepan dengan kebuntuan untuk memilih atau membuat keputusan. Malah bagi orang yang teliti mencari keredhaan Allah, istikharah seringkali menjadi amalan. Sebagai penguat dan juga meminta restu dari Allah.

Kita manusia memang sangat terbatas pengetahuan apatah lagi melibatkan masa depan. Justeru dengan beristikharah, kita akan beroleh keyakinan. Jika gagal sekalipun selepas istikharah maka ia lebih memudahkan kita menerima takdir ketentuan Tuhan bahawa yang berlaku itu memang suratan untuk kita. Lalu tiada rasa penyesalan. Memang bukan mudah untuk mencari hikmah di sebalik musibah.Namun akhirnya kita akan sedar bahawa apa yang Allah kurniakan itu, adalah yang sebenarnya kita perlukan dan sesuai dengan diri kita, bukan kemahuan kita.

Ramai yang bertanya, apakah firasat yang biasa diperolehi daripada istikharah ini? Selalunya dikaitkan dengan mimpi. Sebenarnya petunjuk datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang beroleh mimpi, ada yang dapat merasai ketenangan hati, dipermudahkan laluan yang dipilih atau sebagainya yang boleh dirasai sendiri oleh yang melakukannya.

Mungkin tidak cukup dengan sekali melakukan solat, lebih baik diulang sekurang-kurangnya 3 malam berturut-turut. Afdhal dilakukan sebelum tidur. Kemudian setelah solat terus sahaja tidur dalam keadaan berwuduk dan tidak lagi bercakap-cakap.

Bagi mereka yang bertanya saya apa yang patut dibuat apabila perlu membuat keputusan atau memilih..inilah nasihat saya: Istikharahlah... minta 'pendapat' pemilik dan pencipta kita kerana DIA maha mengetahui. You'll never know the power of doa!

Friday, October 12, 2012

Ada dompet takde duit!




Saya masih ingat sewaktu kecil dulu. Untuk membeli sesuatu yang diingini, kena menabung terlebih dahulu. Paling tidak, mesti sudah ada sedikit duit, selebihnya barulah minta mak tambahkan. Tapi apabila tinggal dengan nenek (sebab ayah saya satu ketika tinggal di kawasan baru yang tiada sekolah), kalau teringin sesuatu memang kena berjimat. Tak mahu susahkan nenek, tapi dalam masa yang sama tak sabar tunggu cuti sekolah.

Ada satu ketika, teringin untuk membeli dompet duit. Lalu berjimatlah. Waktu itu dompet jenis berbulu yang comel berwarna-warni menjadi kegilaan. Harganya kalau tak silap dalam 60 sen. Akhirnya setelah berhempas pulas menyimpan, cukuplah duit untuk membelinya. Lalu pergilah ke kedai tersebut untuk membelinya. Yang lucunya, setelah beli baru lah sedar, saya sudah tak ada duit untuk disimpan dalam dompet comel itu. Ringkasnya, beli dompet takde duit, sedangkan tujuan beli dompet untuk letak duit di dalamnya.

Kisah "beli dompet takde duit" ini turut dikongsi oleh kakak saya. Malah saya rasa sebilangan besar daripada kita pernah mengalaminya. Dan bila bercerita kembali, ia terasa lucu dan jadi bahan ketawa. Tapi ia menjadi pengalaman yang cukup berharga betapa kita pernah mengalami zaman tiada!

Perisitwa tersebut sebenarnya turut membentuk sikap saya hari ini, saya tidak pandai untuk berbelanja terutama membeli handbag atau purse yang mahal. Takut pengalaman ada dompet takde duit itu berulang lagi. 

Justeru apabila melihat iklan beg tangan atau dompet mahal yang dimuat naik di fb atau daripada syarikat-syarikat tertentu, selalu juga ingatan lalu ini menerjah minda dan membuahkan pertanyaan nakal, "beli bag mahal-mahal ada duit ke nak letak dalamnya???" hehehe..

Tuesday, October 9, 2012

Ngomel petang hari

Diam tak diam kita dah menghampiri ke penghujung tahun. Dah bulan 10 rupanya. Sekejapnya masa berlalu. Bersawang sudah blog saya nih. Kesibukan berganda (alasan standard) ditambah tak tahu apa yang nak ditulis dan dikongsi. Dengan akaun FB jugak membuatkan keghairahan nak menulis tu macam berkurangan.

Hhmm...pernah tak terfikir, terutama yang dah masuk umur 4 siri...kalaulah Allah ambil nyawa kita jam-jam nih, bagaimana reaksi kita agaknya? Ngeri! Gerun! Takut! Sudah pasti....

Memang kalau  kita renung, kita tafakur, terasa betapa singkatnya kehidupan kita. Jam-jam tu jugak rasa insaf datang kan? Kalau boleh setiap inci kehidupan ini nak diisi dengan segala kebaikan. Dengan segala yang mendapatkan pahala. Pendek kata takmo dah buat dosa..!

Tapi..(ada tapinya!), bila saat iman kita menurun grafnya...saat hati seronok bersuka ria, hilang segala rasa bimbang andai nyawa tercabut! Itulah kita yang bernama manusia. Sebab itu hadis Nabi ada menyebut "cukuplah mati itu sebagai nasihat"...manusianya ini bila disebutkan mati baru dia sentap. Kalau tidak hampeh!

Apapun, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah mematikan kita dalam keadaan beriman, mati dengan husnul khatimah. 

Ps: sekadar coretan di petang hari waktu bergelut dengan deadline majalah yang tak pernah henti...kecuali tuan empunya dirinya dead..atau pencen. 

Friday, July 20, 2012

Sahabat






Sabda Rasulullah....'Sahabatku umpama bintang di langit'...
Betapa seorang sahabat itu mewarnai dan mengindahkan kehidupan..ibarat bintang-bintang menghiasi kegelapan malam. Menerangi dan mencantikkan panorama alam. Juga menjadi penunjuk arah...yang takkan membiarkan diri kesesatan.


Sahabat bukan sahaja ikatannya di dunia... tapi hingga ke akhirat. Pasti kita tidak mahu di sana nanti sahabat menjadi seteru dan saling menyalahkan serta menyesali kerana pernah bersahabat di dunia.


Pesan Imam Al-Ghazali pilihlah sahabat yang baik akhlak, soleh, tidak tamak dunia dan benar. 
Kata Saidina Abu Bakar  sahabat itu ialah orang yang sanggup mengambil kesusahan sahabatnya untuk merasa sendiri peritnya dan sanggup berkorban demi sahabatnya. 


Dan dalam bersahabat elakkan berbantah dengan sahabat, sentiasa melebihkan sahabat dari segi material, menjaga rahsia dan aibnya, menegah orang mencela sahabatnya, memberi nasihat, memaafkan dan mendoakannya...


Sahabat...ada kategorinya; umpama makanan yang tidak dapat tidak kita memerlukannya setiap waktu. Adakalanya ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat. Dan yang ketiganya umpama penyakit yang tidak diperlukan bahkan perlu dijauhi. 


Ya Allah jadikanlah diriku seorang sahabat yang memahami, baik budi pekerti, berakhlak mulia dan penuh sifat pengasih.
Ya Allah jadikanlah aku sahabat yang baik yang apabila ada disukai, apabila tiada diingati dan ditangisi. 
Ya Allah jadikan aku sahabat yang umpama makanan, yang diperlukan setiap waktu dan menyubur jiwa orang lain.


Maafkan segala kelemahan diri ini, maafkan andai selama ini aku tidak menjadi sahabat yang baik....Doaku mudah-mudahan aku telah menjadi sahabatmu yang baik...

Monday, July 16, 2012

Buat seorang Kak G…




Meninjau laman FB.. tiba-tiba saya terpandang status seorang sahabat lama – seorang kakak, naqibah usrah@ bulatan gembira saya sewaktu di kolej dulu..Kak Ruziah Hamsan yang saya panggil Kak G. Ingatan saya kembali terheret ke zaman bergelar pelajar.  Zaman kenakalan saya.  Nakal tapi terkawal.

Teringat sesosok peribadi bernama Ruziah.  Hitam manis orangnya, lembut peribadinya dan bersifat keibuan.  Saya cukup suka melihat dia yang selalu berjubah hitam berniqob.  Tapi yang saya sangat kagumi sifatnya yang penyayang dan  mengambil berat. Dia selalu sudi ‘memberikan telinganya’ untuk mendengar segala permasalahan dan selalu memberikan nasihat yang berguna.

Dia juga sangat berani, katanya yang perlu ditakutkan hanya Allah sahaja. Justeru, saya tak pelik, apabila dapat tahu dia sekarang ini menjadi seorang bilal memandikan jenazah.   Membaca di wall fb nya, saya tahu dia banyak menyimpan pengajaran daripada usaha fardu kifayahnya. Dan saya berasa rindu untuk mendengar kisah-kisah teladan seperti yang pernah dikongsikan dulu-dulu.

Di kalangan anak-anak usrahnya,  sayalah yang paling manja dan suka ke hulu ke hilir dengannya.  Biliknya selalu menjadi tempat lepak saya. Kalau terasa nak bangun qiam, sudah pasti biliknya jadi tempat tidur saya. Sebab pasti jam 3.30 pagi dia akan bangun dan kejutkan saya untuk bangun bersamanya.

Waktu senggang antara Magrib dan Isyak atau kadang-kala melarut hingga jam 10 malam sebelum mula mentelaah, akan diisi dengan pelbagai cerita teladan.  Mini usrah kami. 

Satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan, satu perkara kecil tapi menyentuh hati.  Lengan baju kurung saya waktu dulu tidak bercekak. Dan waktu dulu masih belum ada sarung tangan seperti yang dapat dibeli pada hari ini. Kalau ada pun cuma arm guard untuk pemain badminton, memang tak sesuai dipakai. Teringat waktu tu… kak G dengan selamba menjahit butang ketip pada hujung lengan baju kurung saya dan mengetipkannya.  Small gesture tapi ingatan tersebut  tak pudar dari ingatan saya.

Begitu juga, satu masa kaki saya pernah terseliuh ditimpa cermin pecah (mujur tak luka). Kak G lah yang mengurutnya sehingga baik…dan yang lucunya kaki saya diurut dengan margerin sebab waktu tu tak ada minyak panas.

Saya sangat bersyukur sebenarnya kerana pernah  ditakdirkan menjadi anak usrah kak G… Melaluinya dengan izin Allah banyak yang saya dapat pelajari. Dan yang paling utama, melaluinya saya banyak bermuhasabah diri khususnya dalam bab akhlak.

Biarpun kami terpisah apabila kak G mendirikan rumah tangga  sewaktu bergelar pelajar, ingatan saya terhadapnya tak pernah putus. Dan alhamdulillah silaturrahim yang terputus puluhan tahun, akhirnya kembali tersimpul apabila kami bertemu semula di laman FB.

Terharu saya apabila Kak G masih lagi seperti yang saya kenali dulu…penuh dengan sifat memahami, pengasih, mengambil berat dan yang pasti…dia masih mengenali dan memahami diri saya. Tak perlu saya ungkapkan..dia sudah tahu gelojak perasaan saya. Dan ayat yang menyentuh jiwa saya…bila dia katakan, “Kak G kenal perangai adik manja kak G neh…”

Sungguh… saya terharu dan kagum dengan kekuasaan Allah yang menautkan hati kami. Tak perlu saya ceritakan apa masalah saya. Sebab dalam bercerita secara tak langsung, dia sudah menjawab persoalan yang menghantui diri saya. Dan bila saya akhirnya membuka kisah, seperti biasa nasihat yg amat berguna saya perolehi…Macam dulu-dulu.  Mudah-mudahan Allah menautkan ukhuwah kami hingga ke jannah.

Tuesday, June 19, 2012

Harapan


Harapan...besar perkataan tu sebenarnya. Bernilai infiniti.. Menggambarkan rasa seseorang..kehendaknya. Yang tak pernah ada satu titik masa. Selagi boleh bertahan dia akan bersabar dengan harapannya. Harapan...mungkin kesampaian atau mungkin tidak? Ia berkait dengan takdir.


Teringat lagu Aiman - Cinta Terakhir.
Mungkinkan terputus di tengah jalan, 
Mungkinkan terlerai tanpa ikatan,
Segalanya ketentuan Tuhan....


Dalam hidup, harapan ibarat satu jalur sinar waktu kita dalam kegelapan. Ibarat satu kekuatan saat kita rasa ingin rebah. Something soothing when we feel restless. Sebab itu jangan pernah berhenti berharap, kerana harapan menjadikan kita kuat, sabar dan tidak mengenal erti putus asa. Harapan akan menjadikan kita tak henti berdoa dan meminta daripada Pemilik Segalanya.


Doa dengan yakin pasrah dan tabah...dan pastinya dengan sabar. Yakin seperti firman-NYA.."AKU ADALAH APA YG HAMBAKU SANGKAKAN"  ~ mengajar kita untuk bersangka baik yg DIA TAKKAN SIA-SIAKAN DOA DAN HARAPAN KITA.


Mampukah kita? Mahukah kita...?


Benar! Tak semudah itu untuk kita bertahan dengan harapan yang ada...kerana sebarang kemungkinan pasti akan terjadi...hanya dengan mengamalkan KESEDERHANAAN dan KESABARAN, baru lah kita tidak akan kenal erti putus asa dan kecewa. 


Bersederhana dalam menjalani kehidupan. Bersederhana dalam menyukai atau mengasihi, bersederhana dalam membenci.  Ya SEDERHANA..kerana barulahkita akan mudah redha dengan segala apa yang terjadi. Dan tak kecewa.


Mahal sungguh sebuah pengajaran yang terpaksa dilalui ... tapi sangat-sangat bererti.

Thursday, June 7, 2012

Perkongsian..





"Apa itu TITIAN SIRAT ?"

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam); (yang demikian) adalah satu perkara Yang mesti (berlaku) Yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. (Maryam : 71)

Dalil: Tidak akan menyeberangi titian Sirat melainkan orang Mukmin.

Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi s.a.w : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari hadith Abi Hurairah dan Huzaifah r.a : “…berjalan bersama mereka amalan mereka dan nabi kamu berada di atas titian sirat dalam keadaan berkata: “Ya Tuhan, selamatkan! Selamatkan!”, sehingga lemahnya amalan hamba-hamba dan sehingga datang seorang lelaki yang tidak mampu berjalan melainkan merangkak” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” Riwayat Bukhari

|Fudhal bin iyadh brkata prjalanan di sirat memakn mase 15000 tahun. 5000 tahun menaik,5000 tahun mndatar dn 5000 tahun manaik,ada makhluk yg melitasinya sprt kilat,sprti ANGIN, menunggang binatang korban dn brjaln kaki. ade yg tdk dpt memelpsinya dsebabkn api nrka sntiase mnrik kaki mrka, lalu mrka JATUH ke dlmnya|

Orang pertama melalui sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang mengepalai umat lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dan direntangkan sirat di antara dua jurang neraka jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya bersama umatku yang lulus.”

Tahap kelajuan seseorang mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, kian laju menuju titian itu. Perjalanan semua manusia di atas Sirat Mustaqim adalah berbagai diantaranya ialah :

Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas kilat.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti tiupan angin.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti burung terbang.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti kelajuan kuda lumba.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas lelaki perkasa.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas binatang peliharaan.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat dalam tempoh sehari semalam.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama satu bulan.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama bertahun-tahun.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama 25 ribu tahun.
semua kiraan masa adalah mengikut kiraan masa dunia.

Diantara tips untuk melepasi Titian Sirat Mustaqim

Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud

“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu : ‘Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” Para sahabat menjawab, “pernah, wahai Rasulullah.”

Baginda melanjutkan : “Sesungguhnya pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya ALLAH yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”
Suasana pada saat itu pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang siap menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,

“Ya ALLAH, Selamatkan, Selamatkan.”

Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada perkara ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini,

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya : “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.”

(Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)

Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah s.a.w. menyifatkan bahawa sifat titian itu adalah lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan ALLAH, sambil berpegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan ALLAH ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.

Rasulullah s.a.w. pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang melintas di atas sirat. Antaranya adalah :

~Banyakkan bersedekah
~Melazimkan diri hadir ke masjid

Beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat:

1. Membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin.
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka ALLAH akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka ALLAH akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”

*Termasuk membuat tuduhan dusta ialah menyokong tuduhan tersebut dan menyebarkannya dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baik atau reputasi orang yang dituduh. Justeru, berhati-hatilah dalam menapis tiap berita dan cerita yang kita terima. Lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan dosa seperti zina dan liwat. Kita memohon agar ALLAH membersihkan umat kita daripada sikap-sikap yang tidak sihat ini.

Thursday, May 31, 2012

HIJAU....




Hijau ialah warna yang biasa dinampak dalam alam semula jadi, khususnya tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan berwarna hijau, terutamanya kerana tumbuh-tumbuhan mempunyai klorofil, sejenis sebatian yang terlibat dalam proses fotosintesisSo kira warna hijau lambang parti bulan tu warna alam la ye dan perhimpunan HIJAU di stadium Darul Aman esok meraikan kembali kita kepada fitrah 

Jom...kita layan HIJAU

Tuesday, May 29, 2012

Ukhuwah Fillah..



" Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh " - Saidina Umar Al-Khattab

Hanya yang memiliki sahabat sejati sahaja yang faham nikmat bersahabat.
- "Mengapa sayang saya?"
+ "Takde jawapan"
- "Kalau sayang mesti ada sebab"
+ "Kasih sayang hanya boleh dirasa tapi tak boleh diungkap"
- "Kenapa begitu?"
+ "Sebab saya sayang awak kerana Allah"
- "Saya tak sempurna dan tak baikpun"
+ "Kalau kita ikhlas bersahabat dan berkasih sayang kerana Allah, kita akan terima sahabat kita seadanya dan kita akan saling melengkapi antara satu sama lain."
- "Terima kasih ye awak sebab sayang saya...saya tahu dan saya dapat rasakan kasih sayang itu"

Saya dapati kewujudan kasih sayang itu dan saya akan pegang sungguh-sungguh, sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab. 


Tuesday, May 22, 2012

Entry berangan

Bayangkan kalau dalam kehidupan ini  kita ada butang-butang ajaib yang boleh ditekan untuk:
1. Delete peristiwa yang kita tak suka
2. Pause peristiwa yang kita tak ingin berganjak darinya
3. Rewind peristiwa yang kita ingin lalui semula.
4. Fastforward peristiwa yang sedang dilalui dan kita tak menyukainya..

Bahagiakah hidup kita? Tapi kita takkan ada KENANGAN. 

Saturday, May 19, 2012

Ke makam bonda

Pusara ayah, mak dan Abg Man

Alhamdulillah..setelah sekian lama, akhirnya Allah izinkan juga saya menjejakkan kaki ke Tanah Perkuburan Islam Kuala Kerdau. Tempat bersemadinya jasad arwah mak, ayah dan abang ipar, Abg Man.

Telah 14 tahun arwah mak meninggalkan kami kerana menghidap penyakit barah pankreas. Memang pemergian mak mengejutkan. Kesihatan mak terganggu pada bulan Jun 1998 dan bermula dari situ mak menjalani pelbagai ujian dan pada penghujung Ogos, arwah mak menjalani pembedahan. Setelah dua minggu, kesihatan mak semakin merosot dan mak kembali menghadap Ilahi pada 15 September 1998.

Empat bulan kemudian arwah abang Man menyusul akibat kemalangan jalan raya, pada hari raya ketiga. Motor yang dinaiki arwah berlanggar dengan kereta dan arwah meninggal di tempat kejadian.

Setelah 13 tahun pemergian mak, ayah yang setia bersendirian kembali menghadap Ilahi pada bulan Disember 2011 kerana apendiks pecah dan penyakit jantung yang dihidapinya.

Alhamdulillah, Allah telah meminjamkan untuk saya mak dan ayah sehingga saya telah berkeluarga dan mempunyai anak sendiri. Namun walau setua mana pun kita, kita tetap mendambakan kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu dan ayah.

Buat mereka yang telah mendahului kita, sekalung doa dan al-Fatihah yang mampu dihulurkan. Sesungguhnya kalian telah mendahului kami  dan yang pasti kami akan menyusul jejak kalian.

Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fu'anhum.

Friday, May 18, 2012

Kuman seberang lautan...

Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak...

Pepatah yang sering kita dengar. Memang benar. Kita yang memilih untuk melihat yang mana. Kadang kala perkara yang kecil itu lah yang kita nampak sebab hati terluka. Dan luka yang parah membuatkan kita lupa kebaikan yang banyak dicurahkan.

Bagaimana cara mudah untuk kembali merawat diri? Kata ustazah...perlu kesabaran. Kerana sabar itu ganjarannya tak terhitung. Tiada angka.. kalau solat berjemaah pahalanya 27 kali ganda. Kalau solat di Masjid Nabi pahalanya 1000 kali ganda, kalau bersolat di Masjidil Haram pahalanya 100 ribu kali ganda. Semuanya ada angka ada nilaiannya.

Tapi kalau sabar dengan ujian Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda!

Mudah-mudahan kita menjadi titis-titis air yang lembut tapi bisa melekukkan batu yang keras, kerana KESABARAN.
Mudah-mudahan 1 keburukan yang terlihat tidak menutup 10 kebaikan yang pernah dihulurkan kepada kita.
Mudah-mudahan kita sentiasa mampu berlapang dada.