RSS

Friday, February 15, 2013

Rindu

Maha suci Allah yang mengurniakan perasaan kepada manusia. Setiap perasaan itu, ada kegunaannya buat manusia walau sesekali mungkin kita akan bertanya perlukah ada perasaan sebegitu.

Sebagai contoh, perasaan marah; walaupun ada hadis Nabi saw yang mewasiatkan seorang lelaki yang ingin menjaga kesejahteraan hatinya dengan pesanan "Laa Taghdab" atau "Jangan kamu marah"..Memang perasaan marah ini tidak disukai agama. Apatah lagi kalau diiringi dengan sifat panas baran. Tapi ada masa ia perlu kerana dengan adanya perasaan marah dan benci ini, barulah nahi mungkar dapat dilaksanakan (dengan cara yang berhikmah semestinya).

Begitu juga perasaan benci, iri hati dan sebagainya..walaupun kedengaran negatif tetapi dalam situasi yang tertentu ia diperlukan demi melahirkan sesuatu yang positif.

Rindu juga perasaan unik yang dianugerahkan Allah SWT untuk insan. Adanya rasa rindu makhluk yang taat akan berusaha bersungguh-sungguh beribadat kerana ingin bertemu dengan Khaliknya. Adanya rasa rindu kepada Nabi saw maka umat akan bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah baginda agar di sana nanti mendapat syafaat dan bersama-sama baginda di jannah.

Dan sebagai manusia biasa, kita juga akan dilanda perasaan rindu apabila berpisah dengan orang yang kita sayang. Tidak kira perpisahan abadi atau perpisahan sementara. Dan sebagai manusia alangkah indahnya jika masa yang berlalu dapat diputar semula walaupun mustahil kerana kita ingin kembali melalui saat-saat yang dirasakan indah dalam hidup. Bagi yang sudah merasai kehilangan pasti kalau boleh ingin kembali ke masa lalu kan???

Rindunya saya pada arwah mak, arwah ayah dan sahabat saya Ayu...Allahumaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fuanhum. Dan rindu juga pada seorang kakak yang telah lama tak bersua..kita dekat tapi jauh, moga doa sentiasa mengikat hati kita.

Thursday, February 14, 2013

Dekat tapi jauh....

Hubungan sesama manusia sangat unik. Kalau disingkap kisah para sahabat, pasti terlihat betapa unik, rapat dan mesra hubungan silaturrahim yang terjalin antara mereka dengan Rasulullah dan sesama mereka. Mereka bukan bersaudara dalam ertikata punya pertalian darah. Tetapi persaudaraan yang terikat atas ukhuwah Islamiyah membuatkan mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi sebuah silaturrahim.

Bukan perkara pelik kalau kita baca kisah seorang sahabat yang setiap pagi mesti singgah di hadapan rumah Rasulullah saw semata-mata untuk melihat kelibat Baginda sebelum keluar bekerja dan apabila pulang akan singgah lagi di hadapan rumah Baginda atas tujuan yang sama. Sehinggalah beliau ditanya oleh Baginda mengapa setiap hari tingkahnya begitu. Lalu dijawabnya, beliau sangat merindui Baginda dan takut kalau-kalau tidak dapat lagi melihat Baginda satu hari nanti. Kepada sahabat ini, Baginda saw memberi khabar gembira, kerana kecintaannya beliau akan dapat melihat Baginda di akhirat kelak..subhanallah. 

Demikianlah satu contoh, biarpun tiada pertalian darah namun disebabkan ukhuwah yang terjalin, yang jauh terasa dekat. Bukan sahaja hubungan antara pesuruh Allah dan umatnya malah banyak kisah antara sahabat yang sanggup menggalang ganti diri mereka demi sahabat seakidah.

Namun suasana kehidupan manusia hari ini, sangat berbeza. Ikatan ukhuwah kian longgar. Usahkan yang tiada pertalian darah, yang lahir seperut ibu yang sama pun bertelagah. Masing-masing nafsu-nafsi. Material dijadikan ukuran. Kalau ada yang mengambil berat, dituduh menjaga tepi kain atau mahu menumpang senang.

Dan sahabat yang suatu masa berkongsi segalanya juga akhirnya seperti sudah hilang rasa. Tidak lagi berkongsi bahasa yang sama, terasa seperti ada jurang yang sangat dalam. Lalu yang dekat terasa jauh, yang mesra terasa asing. Di manakah salahnya..adakah kerana kesibukan, urusan kerja, keluarga atau perbezaan taraf hidup akhirnya membuatkan ukhuwah juga terlerai? Lalu bagaimanakah mahu mengaplikasi hadis Junjungan Besar saw.."Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"? Oh..dunia sudah semakin tua dan semakin tiba ke penghujungnya!


Wednesday, February 13, 2013

KISAH PENGORBANAN YANG INDAH

Saya terbaca kisah ini di wall Datuk Dr. Maznah Hamid...memang benar kehidupan ini akan jadi indah jika kita berkongsi. Moga ia menjadi motivasi untuk diri yang sentiasa lupa ini. Ya Allah.. jadikanlah diri ini hamba yang sentiasa memberi dalam melalui kehidupan yang sementara ini.

Telah dua bulan musim hujan berlalu,  pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

"Apa khabar daun hijau," katanya.

Tersentak, daun hijau menoleh ke arah suara yang datang

"Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau.

"Aku hampir tidak mendapat dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.

"Tentu.. tentu.. dekatlah ke mari." Daun hijau berfikir, "Jika aku memberikan sedikit daripada tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Cuma aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah."

"Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah makan dengan kenyang, ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini, namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang, ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.

Apakah moral kisah di atas?

Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri untuk orang lain memang tidak mudah, tetapi indah. Namun ketika berkorban diri menjadi seperti daun hijau yang berlubang, ia sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, kita akan tetap hijau, Tuhan akan tetap memberkati dan memelihara kita.

Bagi "daun hijau", berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat yang lain dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai "daun hijau". Suatu hari ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Justeru, isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.

*** Berkorbanlah ketika 'ada' dan masih punya waktu untuk melakukannya. Hidup lebih indah jika memberi.***