RSS

Monday, October 26, 2009

Horeyyy!

Saya sebenarnya nak berkongsi kegembiraan dan lawak dengan sahabat semua!..Gembira sebab tepat jam 10.35 tadi, saya telah lulus ujian undang-undang untuk mendapatkan lesen memandu!!! Gelak guling-guling..(agaknya saya saja editor/wartawan yang takde lesen!)

Lawak sebab saya hampir terpaksa menduduki semula kursus 5 jam kerana tempoh setahun yang diperuntukkan untuk menduduki ujian undang-undang sudah hampir tamat tempohnya, tak sampai dua minggu! Semuanya gara-gara bertangguh dan kononnya takut tak lulus.

Memang jadi bahan ketawa dibuatnya. Apapun ternyata tak sia-sia berjaga sehingga jam 3 pagi kerana kononnya mengulang kaji (huh..macam nak exam waktu di universiti pulak!). Itupun puas digelakkan oleh suami kerana katanya buat malu aje kalau tak lulus.. ujian di universiti yang susah pun boleh lulus, inikan pula ujian yang telah ada soalan bocor! Iyerlah tu.. tahan ajelah telinga!.

Apapun ia membuatkan saya terfikir sendiri tentang kelemahan diri saya sejak dahulu.. suka menangguh! Last minute study! Last minute buat assignment! Biarpun stress bagai nak 'rak' tapi seronok pula... inilah yang dikatakan stress positif agaknya (gelak guling-guling).

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana saya berjaya lulus dengan 47 markah dengan sekali ambil sahaja..(hahaha..orang lain dah berzaman lulus, saya sudah berumur 40 tahun baru lulus), jadi tak payahlah saya bersengkang mata lagi!

Saya pernah ditanya tidak susahkan saya hendak ke sana ke mari tanpa lesen memandu sedangkan bidang tugas saya memerlukan saya keluar. Sebenarnya saya tidak pernah terfikirpun kesusahan tersebut, mungkin di KL ini kemudahan public transportnya efisyen. Hanya terasa susah apabila telah ditanya! Itulah agaknya mainan psikologi.

Insya-Allah kali ini saya sudah bersedia mental dan fizikal. Doakan saya berjaya ye! Dan harapnya ujian memandu nanti tidaklah sampai habis tempoh dua tahun pula sehingga perlu kursus sekali lagi!

Thursday, October 22, 2009

Biar Apapun Tafsiran Kita…

Dalam minggu ini, kita dikejutkan dengan beberapa kejadian sejadah bersolat di Kedah dan Kelantan. Lebih menggemparkan apabila 35 sejadah dikatakan bersolat siap dengan ada imamnya!

Kejadian sejadah bersolat dan mengaji pernah berlaku sebelum ini. Saya pasti ramai di kalangan sahabat pernah menerima emel atau melihatnya di internet.

Pelbagai andaian dan tafsiran dibuat mengenainya. Ada yang mengatakan ia mungkin satu bentuk sabotaj atau tindakan golongan tertentu untuk ‘bergurau’. Ada juga yang mengatakan ianya ‘mainan’ jin. Malah ada yang mengatakan ianya bukti kekuasaan Allah SWT.

Apapun tafsiran yang dibuat, sebagai seorang hamba Allah yang beriman, kita seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku. Tidak mustahil ada benarnya ia sebagai ingatan Allah kepada kita. Ingatan yang mungkin juga satu teguran dan sindiran bagi kita. Jika kita tidak lagi mahu mengimarahkan masjid atau surau, biarlah sejadah pula yang menjadi contoh. Biar sejadah bersolat, kerana manusia sudah tidak mahu mendirikan rukun Islam yang kedua itu! Alangkah malunya, sejadah yang tidak berakal boleh tunduk ke hadrat Allah sedangkan manusia yang diberi kemuliaan akal fikiran bongkak dengan pencipta-Nya.

Fenomena masjid yang kurang jemaah ini bukanlah suatu perkara baru. Malah ia menjadi petanda akhir zaman, masjid semakin banyak didirikan dan cantik sekali binaannya namun sunyi daripada kunjungan jemaah. Justeru, tidak hairanlah, ada masjid yang sekadar menjadi hiasan dan lokasi lawatan semata-mata tanpa dapat diimarahkan sepenuhnya untuk bersolat Jumaat!

Rata-rata, hanya warga emas yang masih setia mengimarahkan masjid. Lebih menyedihkan kalau waktu Subuh, yang berjemaah di surau atau masjid hanya tok imam, tok bilal dan tok siak! Di mana golongan muda dan anak remaja? Mengimarahkan konsert barangkali! Sedangkan jika ingin melihat Islam kembali gemilang, satu petanda ialah masjidnya penuh dengan golongan muda dan penuh dengan pelbagai program pengimarahannya. Solat Subuh jemaahnya ibarat solat Jumaat! Bilakah agaknya akan dapat kita lihat fenomena tersebut?

Nabi s.a.w pernah bersabda, umat baginda umpama buih di lautan. Namun bagaimana banyaknya buih di lautan itu begitulah juga sifatnya yang cepat rosak, tidak mampu bertahan. Ramainya umat Islam namun tidak berkualiti! Ramainya umat Islam namun kita masih belum dapat menguasai dunia. Bilakah tibanya saat untuk kita melihat Islam kembali gemilang??

“Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”

Friday, October 16, 2009

Menunggu Cinta Tuhan


Menunggu Cinta Tuhan, buah tangan terbaru Lily Haslina Nasir, baru saya terima semalam (15 Oktober ) daripada tuan empunya diri. (Thanks Lily for the free copy!)

Teringat sewaktu bersms dengan Lily, saat beliau sedang ‘bergelut’ menyiapkan naskhah tersebut. Katanya sambil ketawa, “kak, saya tengah buat novel Islamik dengan PTS…konon-kononlah. Tak tahulah menjadi atau tidak…tapi Lily nak mintak pandangan akak yer.”

Di celah-celah kesibukan, tak sempat kami berjumpa. Dan akhirnya Lily mengumumkan kelahiran ‘cahaya mata’ barunya itu. Sekali lagi beliau menghubungi saya dan meminta agar saya tidak membeli buku barunya itu kerana beliau ingin menghadiahkan kepada saya.

Kebetulan kami bersama-sama menghadiri rumah terbuka PTS dan di situ naskhah tersebut bertukar tangan. Actually I was wondering, curious and eager to find out the ‘warak’ side of Lily Haslina (gelak guling-guling). Maklumlah apabila naskhah novel Islamik, biasanya berlatar belakangkan Timur Tengah, berganti nama ana-anta-enti dan sering kali berwatakkan ustaz/ustazah (malah Lily pun mengakui agak suspen dengan percubaannya sendiri).

Lebih kurang jam 9 malam Jumaat itu, saya mula mengadap novel tersebut. Sehingga hampir jam 2 pagi masih meneleku tapi terpaksa surrender, namun kembali menyambungnya selepas solat Subuh dan habis membacanya sebaik masuk waktu dhuha. Alhamdulillah!

Saya tidak tahu apa ungkapan yang sesuai untuk digunakan tapi ia sangat menyentuh hati saya. Pada Lily saya katakan superb.. jawapan standard Lily “takde maknanya!”. Mungkin pemilihan watak dan setting novel itu sangat dekat dengan saya membuatkan saya benar-benar terpegun. Malah kalau saya berada di dalam situasi tersebut, saya sendiri tidak tahu apa yang akan saya buat!

MCT mengisahkan seorang graduan syariah yang memohon kerja sebagai wartawan hiburan di sebuah akhbar arus perdana. Terpaksa berhadapan dengan dua orang ketua yang berlainan pendapat – Muda Sulaiman, seorang yang inginkan pembaharuan dan Azrul Rasyid, tipikal orang ‘hiburan’. Ironisnya, watak Azrul Rasyid yang juga berlatar belakangkan pendidikan agama namun jauh terseret daripada apa yang dipelajari.

Di situlah bermulanya konflik antara Azrul Rasyid, si tampan bermulut puaka (Lily…dah lama akak tak dengar istilah tu..dan sangat-sangat mengembalikan nostalgia sewaktu praktikal dulu, betapa capoinya mulut orang-orang dalam line tu) dengan Khalida Atikah, graduan syariah yang mencuba nasib dalam bidang serba baru untuk dirinya. Bayangkan pertembungan nilai dan prinsip yang terpaksa dihadapi.

Menelusuri kehidupan Khalida Atikah, membuatkan saya berasa iri dan kagum dengan kekebalan mental dan keutuhan prinsip yang dipegang. Betapa apabila membandingkan dengan diri sendiri, saya tidak yakin apakah saya juga mempunyai kekuatan sebagaimana Khalida Atikah andai dihadapkan dengan situasi sedemikian.

Berada dalam media Islam biarpun sukar, namun kita telah berada dalam landasan yang mudah, cuma terpaksa berhadapan dengan sedikit sahaja kesukaran dalam menjalankan misi dakwah. Namun berada dalam 'acuan yang tidak sempurna' lebih sukar untuk berdakwah. Tentangan bukan sahaja dari luar malah cabaran dari dalam juga menjadi hambatan yang lebih menyakitkan. Tidak mustahil kualiti dakwah itu itu sendiri lebih bermakna!

Pujian harus diberikan kepada Lily kerana garapan hujah yang bernas (terserlah sisi warak Lily, wink2). Pemilihan diksi dan gaya penulisan, menyerlahkan keindahan bahasa penulis. Nilai keagamaan, profesion kewartawan dan amalan mistik yang menjadi tema karya, mentashihkan pengalaman penulis yang telah berkecimpung lebih 12 tahun dalam bidang jurnalisme.

Dan setelah menekuni novel ini, saya juga telah dapat menjawab persoalan yang dikemukakan oleh penulis kepada saya, “mengapa ada orang yang berpendidikan agama, menjaga solat dan dilihat warak, tidak tahan bila diuji?”.

Kesimpulan yang dapat saya buat ialah sekadar belajar agama dan bersolat belum tentu dapat menjamin diri andai tidak ada penghayatan dalam ibadah dan tidak mendapat rahmat Allah. Tanpa rahmat-Nya, tiada erti hidup kita! Bagaimana hendak mendapat rahmat Allah?? Mintalah belas ehsan dari-Nya kerana kita ini milik-Nya!

Saya menanti sekuel novel MCT!

Tuesday, October 13, 2009

Nilaian Manusia - Nilaian Allah...

Saya ditanya oleh seorang sahabat, mengapa ada orang dikenali beragama, warak, bangun solat malam dan sebagainya, tetapi apabila datang satu ujian (khasnya diuji dengan wanita) dia seolah-olah hilang pedoman. Apakah jawapan saya dari sudut keagamaan dan kemanusiaan?

Soalan tersebut membuat saya terfikir seketika, adakah perbezaan dari segi keagamaan dan kemanusiaan? Bukankan jika tasawur kita jelas, maka seharusnya tiada perbezaan bukan? Mungkin kelemahan saya sebagai orang yang cetek ilmu tidak dapat memberi hujjah yang baik!

Apapun setelah berfikir-fikir seketika, saya teringat sepotong firman Allah SWT, yang lebih kurang bermaksud, jangan kamu kata kamu beriman sehingga kamu diuji. Apakah warak yang kita nilai dengan nilai warak di sisi Allah itu sama atau sebaliknya. Mungkin apa yang kita sangka baik itu sebenarnya tidak baik di sisi Tuhan! Wallahu a’lam.

Bercerita mengenai fitnah wanita ini pula, sememangnya wanita merupakan anak panah Iblis yang sangat berkesan sebagai senjata melumpuhkan kaum Adam. Malah Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud, “ku tidak tinggalkan selepasku (sepeninggalanku) fitnah yang lebih mudarat ke atas kaum lelaki daripada wanita."

Dalam hal ini, bukanlah bererti wanita itu jahat atau seumpama dengannya, tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

Berbalik kepada soalan mengapa orang yang dianggap warak itu boleh terjerumus, maka teringat saya satu kisah tentang seorang abid yang memang sangat taat beribadat tetapi akhirnya tersungkur dalam pelukan wanita dan akhirnya terjebak dengan zina. Itu kisah seorang abid. Maka kalau dibuat perbandingan antara si abid (yang di tahap wali) dengan si ‘warak’ pada nilaian manusia, maka ia bukanlah sesuatu yang pelik sebenarnya. Maka atas kehendak-Nya jua segala ketentuan. Siapa yang dipilih untuk diuji lalu berjaya atau kecundang, kerana kita ini milik-Nya.

Ia juga mengingatkan saya sepucuk surat yang pernah saya terima lama dulu daripada sepasang pelajar Pengajian Islam sebuah universiti meminta pandangan tentang apa yang harus dilakukan kerana mereka telah terlanjur. Sekali terlanjur dan seterusnya diulang-ulang lagi sehingga ibarat pasangan suami isteri… Kisah benarkah? Iya..memang kisah benar yang menakutkan!

Begitu juga seorang graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan yang akhirnya jatuh tersungkur di pelukan seorang perempuan yang belum dinikahinya. Biarpun sebelum ini beliau seorang yang sangat aktif berusrah dan diakui kewarakannya! Kisah benarkah itu? Iya..kisah benar yang menyedihkan!

Dan menjawab persoalan seterusnya, andai nilai kewarakan tersebut benar-benar diaplikasi dalam kehidupan maka sudah tentu kita akan menjaga dari awal sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Islam itu agama yang mencegah sebelum parah. Justeru usah pelik andai sesudah melakukan kesilapan kita sukar temui penyelesaian dalam Islam. Sengkarut yang kita buat tidak mengikut Islam, bagaimana kita mengharapkan Islam menyelesaikan. Memang sukar!.

“Ya Allah peliharakanlah diriku daripada azab kubur dan azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah masihi Dajjal”

Monday, October 12, 2009

Yang Mudah dan Indah

Tudung atau jilbab, bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Daripada sekecil-kecil anak hinggalah kepada wanita dewasa dan warga emas, memakai tudung sudah menjadi satu kebiasaan yang diterima semua. Tidak kira atas dasar berfesyen (ikut-ikutan) atau menyedari ianya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan, bertudung sudah menjadi amalan.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi apabila kita dapat melihat amalan bertudung ini dilaksanakan oleh kebanyakan wanita Islam di negara kita. Teringat zaman persekolahan dahulu, pemakaian tudung di sesetengah sekolah tidak dibenarkan atau boleh memilih untuk bertudung atau sebaliknya. Namun pada hari ini, kebanyakan sekolah menggalakkan pelajar wanita Islam bertudung hingga ada sesetengahnya seolah-olah menjadi ‘wajib’ pula. Walaupun seolah-olah berupa ‘paksaan’, namun tiada salahnya kerana sekurang-kurangnya ia memberi peluang bagi yang tidak pernah melaksanakannya mencuba, dengan harapan ia menjadi satu kerelaan kelak.

Menutup aurat itu wajib, sebagaimana wajibnya mendirikan solat. Jika solat itu perlu ‘dipaksa’ sejak kita berusia 7 tahun, (bermula dengan suruhan, kemudian dipukul apabila berumur 10 tahun), maka ‘paksaan’ juga seharusnya dibuat dalam hal menutup aurat kerana daripada paksaan inilah menjadi kebiasaaan yang akhirnya membentuk pemahaman. Sekiranya kita boleh menerima unsur ‘paksaan’ dalam urusan solat dan puasa, maka seharusnya dalam urusan menutup aurat ini juga kita tidak bersikap berkecuali. Kalau dalam solat kita boleh menutup aurat, maka seharusnya signifikan dalam solat ini dibawa keluar dalam kehidupan seharian!

Bercerita mengenai bertudung ini, ramai juga di kalangan kita bertudung ketika keluar bekerja atau keluar bersiar-siar bersama keluarga, alhamdulillah. Namun ramai juga yang terlepas pandang dan tidak mengenakan tudung apabila melangkah keluar rumah untuk menyidai pakaian, berkebun atau sekadar melangkah ke halaman. Atau tatkala berhadapan dengan ipar duai, sepupu dan dari kalangan yang sama. Begitu juga apabila menerima tetamu yang bukan mahram di rumah!

Kenapa begitu? Adakah kita merasa tidak apa kerana berada di persekitaran rumah sahaja atau dikelilingi oleh orang yang kita kenali? Mungkin kita terlupa sebenarnya aurat itu tetap haram dilihat oleh kaum ajnabi tidak kira di mana situasinya.

Alhamdulillah, kita telah faham sedikit sebanyak tentang aurat, maka lebih baik lagi penghayatan tersebut ditonjolkan melalui perlaksanaannya. Jika sebelum ini kita terlepas pandang, selepas ini sama-samalah kita perbaiki diri. Tanda adanya peningkatan iman, insya-Allah. Memang mula-mula terasa pelik, tapi alah bisa tegal biasa. Jika dihayati dan dilaksanakan akan terasa mudah dan indah.

Tutup aurat bukan sekadar menutup daripada pandangan yang tidak berhak, tetapi signifikan menutup aurat juga wajib dihayati. Menutup segala akhlak yang buruk dengan akhlak yang mulia. Tutup aurat dan serlahkan akhlak dan keperibadian muslimah solehah, insya-Allah!

Monday, October 5, 2009

Layakkah kita??


Islam sebagai agama yang syumul, mencakupi seluruh aspek kehidupan. Daripada sebesar-besar perkara hinggalah kepada sekecil-kecilnya, ada diajar dalam agama ini. Ada perkara yang dikatakan sunnah, iaitu perkara yang dilakukan dan diajar oleh Rasulallah s.a.w.

Sebagai contoh yang mudah, apabila sahaja kita celik mata di pagi hari, maka digalakkan kita membaca doa bangun tidur, diikuti doa masuk tandas. Ada doa istinja’, doa sesudah keluar tandas dan doa selesai berwudhuk. Bahkan cara-cara untuk membuang air juga ada diajar, sehinggalah kepada perkara-perkara lain dalam kehidupan seharian kita.

Tidak dinafikan perkara-perkara kecil seperti ini, ramai dari kalangan kita yang tidak tahu atau tahu, tapi tidak mengamalkannya. Perkara sunnah yang sebenarnya jika kita lakukan mendapat pahala mudah dan percuma. Sekadar meniru/mengamalkan apa yang diajar oleh Nabi s.a.w dengan kesedaran bahawa ia perkara yang diajar oleh Nabi dan kita menurutinya kerana ingin mencontohi Baginda. Sebagaimana sabda Baginda, “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Namun, perkara mudah ini sering membuatkan kita terlepas pandang. Dek terlampau mudah, maka kita tidak ambil peduli atau memandang enteng malah tidak tahu langsung mengenainya!

Pun begitu, bukan perkara yang pelik kerana pernah disebut di akhir zaman ini, perkara sunnah jika dilaksanakan akan dipandang aneh oleh masyarakat malah, percubaan untuk mengamalkan apa diajar oleh Islam itu ibarat menggenggam bara api.

Contoh yang mudah, orang tidak pelik kalau dalam jamuan buffet, ada makanan yang sengaja dibazirkan. Ambil berlebih-lebih daripada yang boleh dimakan, kemudian ditinggalkan begitu sahaja. Sedangkan jelas dalam al-Quran Allah swt menyebut, “Sesungguhnya orang-orang yang membazir (boros) itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (surah al-Israak: 26)

Tetapi kalau dimakan sampai licin atau dimakan dalam dulang beramai-ramai, akan terdengar kata-kata seperti kuat melantak atau geli makan berlaga tangan.

Teringat saya satu peristiwa sewaktu berziarah ke rumah seorang saudara. Kami sekeluarga dijemput menghadiri jamuan makan keluarga. Duduk beramai-ramai makan bersila. Anak-anak saya memang sudah terbiasa di sekolah duduk makan setalam dengan rakan-rakan. Malah diajar pula duduk mengikut sunnah oleh ustaz dan ustazah mereka (duduk di atas telapak kaki kiri - seperti dalam tahyat awal dan kaki kanan dilipat dan ditegakkan. Justeru kalau menyuap nasi, tangan kanan ibarat memeluk lutut, manakala tangan kiri pula menongkat di sebelah paha kiri).

Memang bagi yang tidak biasa, agak susah juga untuk duduk sedemikian, tambahan pula kalau badan agak ‘gumuks’ (macam maknya nih hehehe..tapi bolehlah diganti dengan bersimpuh macam dalam tahyat). Ada hikmah duduk sedemikian sebenarnya, perut menjadi cepat kenyang, jadi tidaklah kita makan terlalu banyak. Maka komposisi keseimbangan dalam perut akan terjaga; 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 untuk udara dan 1/3 lagi untuk air.

Namun sebagaimana yang dinyatakan, bukan semua orang tahu perkara kecil yang memberikan bonus mudah ini. Lantas anak-anak saya ditanya kenapa duduk sebegitu? Sakit lututkah? Anak-anak bulat matanya memandang ke arah saya dan tersenyum-senyum. Aduh…susah juga untuk menjawabnya. Mujurlah pandai pula anak-anak menjawab, ‘dah biasa duduk makan macam tu kat sekolah’.

Begitu juga saya dan suami ditegur mengapa makan sisa anak, kerana memakan baki nasi yang tidak habis dimakan oleh anak-anak. Takut nanti anak-anak akan melawan cakap atau tidak mendengar cakap ibu dan ayah. Entahlah, saya tak pasti benarkah begitu. Tapi bagi kami berdua, yang lebih penting jangan membazir. Bimbang menjadi saudara syaitan. Cubalah setakat yang terdaya, walaupun ada kalanya terbabas atau bersekutu juga dengan makluk bertanduk itu! (astaghfirullahal azim).

Bukan tujuan untuk ‘showing off’, cuma sekadar mencatat betapa kita di akhir zaman ini tidak lagi mengamalkan sunnah mudah yang diajar oleh Baginda s.a.w. Bukan hanya anda, saya yang mencatat ini juga sering alpa!

Justeru, bagaimanakah kita ini hendak mengaku diri umat Nabi Muhammad tatkala mengharapkan syafaat Baginda di hari perhitungan nanti?? Tak malukah kita mengaku umat Baginda sedangkan sewaktu di sini kita tak pernah mahu menelusuri sunnah Baginda? Layakkah kita memohon syafaat Baginda?? (astaghfirullah!)

Allahumma salli 'ala Muhammad