Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada sahabat semua. Agak lama blog Kembara Seorang Penulis ini tidak dikemaskinikan. Kalau ditamsilkan dengan sebuah rumah, sudah jenuh untuk menyapu segala sawang!
Kesibukan mengejar ‘tarikh kojol’ (hehehe…deadline lah) ditambah dengan tahap kemalasan yang berganda, membuatkan idea juga terasa kering. Terlintas juga untuk mencorat-coret beberapa ‘isu’, namun lintasan tersebut terpendam begitu sahaja.
Walau bagaimanapun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat-sahabat yang sudi meninggalkan pesanan di shoutmix, mengirim sms atau menjenguk di tingkap YM (esp. Kak HaizaNajwa, aJa, Ain, Dhan – alhamdulillah Dhan dah sampai rumah akak! Shelly, Kak Asma dan lain-lain).
Hari raya kali ini, saya sekeluarga menyambutnya di KL dan Kedah. Pagi hari raya, kami berada di Gombak. Sempatlah saya memasak ketupat segera Adabi, rendang kerang resipi Kak Yati Berahim, kuah kacang dan ayam kuzi (resipi wajib orang Kelantan, pertama kali mencuba sebenarnya!).
Sebenarnya, hajat di hati ingin merasa beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga (saya pernah berhari raya di KL pada tahun 1992). Ingin merasai suasana beraya di bandar besar. Sewaktu menyatakan hasrat tersebut, beberapa sahabat bertanya, tak sunyi kah beraya di KL?
KL sekarang bukannya seperti 10 atau 20 tahun dahulu. Apabila hari raya boleh 'tergolek dog' di atas jalan raya. Sudah ramai generasi baru yang menetap di Kuala Lumpur, menjadi wargakota setelah orang tua tiada lagi di kampung halaman. Apatah lagi di kawasan Gombak ini, hari raya meriah juga sambutannya.
Selain itu saya juga ingin membiasakan diri, andai satu masa nanti saya tidak lagi kembali ke kampung. Suka atau tidak saat itu akan datang juga insya-Allah. Pastinya KL ini menjadi ‘kampung’ anak-anak. Sepertimana saya sewaktu kecil, boleh dibilang dengan jari beraya di kampung halaman (di Terengganu dan Kelantan). Malah istilah kampung bagi kami ialah di mana ada ayah dan emak. Setiap Felda ayah ditugaskan, di situlah kampung kami. Hanya setelah menyambung pengajian di peringkat menengah dan universiti serta berkahwin barulah ada istilah balik kampung – balik ke rumah mak dan ayah!
Justeru raya kali ini, sempatlah juga beraya di KL sekejap. Tepat jam 3 petang kami sekeluarga berangkat balik ke Gurun, Kedah. Jam 9 malam sampai di rumah abang suami di Taman Gurun Jaya, di kaki Gunung Jerai.
Tidak dinafikan beraya di Kedah juga amat menyeronokkan. Dapat menziarahi saudara mara sebelah suami yang telah lama tidak berjumpa, malah yang tak pernah berjumpa sejak mendirikan rumah tangga. Sampai juga saya ke Jeniang di rumah kakak sepupu suami, Kak Zauyah, dan bersua buat pertama kali dengan Kak Chik; anak arwah Pakwa yang bongsu!
Sempat juga bertemu anak-anak Paksu yang sudah besar-besar. Kali terakhir bertemu, mereka masih di sekolah rendah. Sekarang sudah besar panjang. Masih sempat bergurau dan bertanya tentang Tomato Man (anak saya kaklong – kami pernah membawa kaklong ke rumah Paksu sewaktu umurnya dua tahun dan dia memakai baju bergambar tomato lalu digelar tomato man!).
Dari rumah Kak Zauyah, sempat menziarahi keluarga mentuanya dan kemudian ke rumah Makcik Sofiah, adik arwah mak mentua saya, di Guar Chempedak. Dari situ, ke rumah tokwan Ahmad di Kangkung. Anak-anak memang menunggu untuk ke sana, apa lagi - untuk bermain mercun dan aktiviti memancing. Disebabkan sudah maghrib, tak dapat mereka ke tali air.
Di rumah tokwan Ahmad, kami dijamu meehoon sup. Sup kepala lembu! Pertama kali makan sup kepala lembu, hmm sedaplah jugak! Tapi tak adalah rupa kepala tu lagi, semua dah dilapah.
Hari raya keempat kami balik semula ke KL. Cadangnya hendak singgah di Pondok Pokok Sena menziarahi Toksu dan keluarga sepupu suami yang lain. Teringat juga nak menziarahi Kak Mawar, sahabat maya, tapi sudah agak terlewat. Dalam merancang nak balik awal, jam 3 petang juga baru kami bertolak dari Gurun. (Sempat lagi singgah membeli cendawan daripada simen untuk hiasan tepi kolam ikan.. hehehe)
Keadaan lalu lintas yang sesak menghalang niat kami untuk menyinggah. Sampai di rumah, jam telah menunjukkan angka 11 malam. Penat tak terkata dibuatnya. Baki cuti seminggu dihabiskan di rumah sahaja, berehat dan buat apa yang patut!
ps i: Anak-anak sibuk ajak naik ke Gunung Jerai.. tapi malas pula rasanya. Begitu juga ke Teluk Kechai, tak dapat disempurnakan sebab cuti raya. Kata Abang Am, anak saudara suami saya, meehoon sup di Simpang Empat dekat Kangkong sedap! Tak dan jugak nak merasa sebab raya. Kesimpulannya, itu agenda cuti sekolah nanti, insya-Allah!
ps ii: Gambar-gambar ni diambil dengan kamera baru - NIKON. Kalau imej kurang memuaskan tu, maaflah baru nak serasi. Kamera lama suami tercicir masa pergi China..(tak puas hati betul!)
Kak Zauyah bersama suami dan cucunya.
senja di Penang (on the way nak ke Kedah)
Di rumah Kak Zauyah
beraya di rumah makcik
Me and Makcik - makcik maintain lawa walau sudah melebihi 60 tahun umurnya. Masa muda-muda macam Maria Menado!
Dikwah (Khairun Nadwah) dengan 'sebahagian' anak-anaknya. Terakhir berjumpa, 2 orang anak..sekarang sudah 6 orang, tapi still maintainnnn! (ditepi2 tu abaikan - abang dan adik-adik Dikwah; Hasnan, Wan dan Iqbal - sibuk enterframe)
(anak-anak dengan Tokcik depa)
Dhan, che Nafis dan Tiya - sempat datang beraya ke rumah
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
4 days ago