RSS

Thursday, July 30, 2009

Buta ke Romantik?

www.coolchaser.com/themes/

Saya tergelak apabila membaca entry bertajuk ‘pegang tangan itu romantik?’( bak kata suami saya yang suka melawak; romantik takdak romantaik ada!) sewaktu bertandang ke ‘rumah’ Rose Harissa @ che rose,.

Membaca celoteh beliau mengingatkan saya tentang fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Kata orang, orang Melayu susah untuk menunjukkan affection. Memang susah untuk melihat pasangan veteran Melayu berjalan berdua berpegangan tangan. Malah, kalau kedapatan, ramai pula yang memandangnya ‘semacam’.

Namun di kalangan pasangan yang sedang bercinta, adegan pegang memegang ini suatu yang lumrah. Sebab itu banyak perkara yang diperkatakan mengenai fenomena sebelum dan selepas kawin. Kalau sebelum kawin berjalan berpimpin tangan, lepas kawin sorang di depan sorang di belakang.

Teringat saya kepada kisah sewaktu di kolej dahulu. Lecturer yang mengajar subjek Bahasa Melayu namanya Encik Ismail Rajab (sewaktu itu, tak tahulah kalau sekarang sudah ada title prof atau dr. dsb). Katanya.. “memang betullah agaknya bila remaja sekarang kata cinta itu buta…sebab tu saya tengok mereka yang bercinta ni jadi buta. Berjalan kena berpimpin tangan, nak melintas jalan kena berpimpin tangan. Biasanya orang buta sahaja yang berpimpin-pimpin. Tapi bila dah kawin ramai yang celik yer!” Hmm.. logik juga lawak yang dicetuskan beliau hahaha…

Begitu juga dengan komunikasi selepas perkahwinan, khasnya bentuk panggilan. Sebelum kawin bersayang-sayang, selepas kawin maknya dan paknya sahaja jadi panggilan (tentang panggilan ni..pada saya terpulanglah kepada keselesaan masing-masing tanpa mengabaikan rasa hormat dan disenangi pasangan, sesuai dengan ajaran Islam iaitu memanggil seseorang dengan nama yang disukainya).

Perkara ini juga mengingatkan saya kepada pensyarah saya tadi, sewaktu memberi penerangan mengenai variasi. Contoh yang diberikan sangat lucu tetapi bernas. Mengenai pasangan bercinta. Katanya mesti ada penyesuaian dan saling memahami. Begitu juga dalam berkomunikasi perlu ada keserasian, pemahaman atau disebut variasi. Bentuk komunikasi, ada yang verbal atau non-verbal. Sentuhan dan bahasa badan juga menjadi satu bentuk komunikasi.

Yang menariknya, analogi yang diberikan itu membuatkan kami ketawa tak kering gusi.
“Kamu bayangkan sepasang kekasih sedang bercinta memadu kasih di tepi kolam. Si jejaka dari fakulti sastera, si gadis dari fakulti sains.. berkata si jejaka..sayang cuba lihat air tasik tu tenang dan mendamaikan..jawab si gadis, mana ada air itu tenang, molekul-molekulnya sentiasa bergerak berlanggar sesama sendiri!” Hheheh.. begitulah jadinya kalau tiada persamaan atau variasi dalam komunikasi!

Apapun semoga hubungan suami isteri yang terjalin kekal mewangi, saling memahami dan kekal bervariasi!

Monday, July 27, 2009

Sebat??

Saya pasti berita mengenai seorang model, Kartika Sari Dewi Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan meminum arak di khalayak ramai; di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987), mengejutkan ramai pihak.

Secara peribadi, saya juga terkejut kerana rupa-rupanya ada hukuman sebegitu di dalam undang-undang syariah di negara kita. Dan lebih memeranjatkan lagi ada pula hakim yang sangat berani menjatuhkan hukuman tersebut! Alhamdulillah..

Saya terbaca akhbar harian Metro Jumaat 24 Julai (kalau tidak silap saya) mengatakan yang pesalah tersebut meminta supaya disegerakan hukuman kerana beliau telah insaf. Dalam akhbar yang sama, Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, juga memuji tindakan Kartika yang menginsafi dan mengakui kesalahannya biarpun ada yang beranggapan ianya sesuatu yang memalukan.

Saya sebenarnya berasa bersyukur kerana dalam pada kita tidak punya undang-undang hudud, masih ada rupa-rupa hukuman yang seakan dengannya. Perlaksanaan hukuman sebatan itu biarpun hanya enam sebatan (hudud 40 sebatan malah ada ulama yang berpendapat 80 kali sebatan) pada saya, jika dilaksanakan atas dasar menegakkan hukum Allah, pasti akan memberikan natijah yang positif.

Memang apabila mendengar hukum Islam, ramai yang tidak faham beranggapan ianya zalim. Pancung kepala, potong tangan, sebat 100 rotan, memang kedengaran zalim. Namun sama ada kita sedar atau tidak, hukuman dalam Islam bertujuan memberi pengajaran dan gertakan. Apabila dilaksanakan, ia akan menerbitkan perasaan gerun di hati orang lain agar tidak membuat perkara keji.

Jangan samakan hukuman sebatan yang akan dikenakan kepada Kartika dengan sebatan yang dikenakan oleh mahkamah sivil terhadap kesalahan perogol dan pengedar dadah. Islam ada garis panduannya yang tersendiri dalam melaksanakan hukuman tersebut. Saya percaya apabila hakim menjatuhkan hukuman tersebut, maka sudah tentu cara perlaksanaannya juga telah difikirkan agar pesalah tidak dizalimi (sebatan tidak sebagaimana yang diajar oleh Islam adalah satu kezaliman!).

Malah prosedur untuk menjalankan hukuman sebat di Negeri Pahang ada dinyata dan diperincikan secara jelas melalui Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 melalui Seksyen 125 dan 126 Enakmen itu.

Antara lain seksyen ini menyebut :-
1. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat daripada rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter
2. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
3. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan.
4. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.
5. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
6. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
7. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
8. Pegawai Perubatan Kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

Dari sudut yang berbeza pula, saya amat bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Mufti Perak. Pernyataan mengaku salah oleh Kartika Sari Dewi dan meminta agar hukuman segera dijalankan, adalah satu contoh yang baik dan ‘akhlak yang mulia’.

Ia mengingatkan saya kisah yang berlaku di zaman Nabi, di mana seorang wanita (pernah berkahwin) datang bertemu Rasulullah dan memberitahu bahawa dia telah berzina. Rasullulah menolak pengakuannya lalu menyuruh beliau balik. Setelah datang bagi kali ketiga dan menyatakan yang dia sudah mengandung akibat perbuatan zina itu, barulah baginda menerima pengakuannya. Namun beliau disuruh balik sehingga melahirkan anak tersebut. Setelah selamat melahirkan bayinya, dia datang lagi..Rasullullah menyuruhnya datang setelah anaknya habis menyusu. Seterusnya beliau datang lagi setelah tempoh penyusuan tamat, baginda menyuruhnya datang semula apabila anaknya sudah pandai makan sendiri. Tidak lama kemudian wanita itu datang semula sambil membawa anaknya. Di tangan anaknya itu diletakkan sekeping roti dan ternyata anaknya itu sudah pandai makan sendiri. Barulah Rasullullah menyuruh agar hukuman rejam dijalankan ke atas wanita tersebut. Sebaik sahaja wanita itu meninggal dunia, Jibril datang mengkhabarkan kepada Nabi bahawa wanita itu telah lama dosanya diampunkan Allah, sejak kali pertama dia datang menemui Nabi.

Justeru, seandainya Kartika Sari Dewi benar-benar menginsafi kesalahan yang dilakukannya, saya rasa tindakannya itu wajar kita jadikan contoh. Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan dosanya dan hukuman yang dilaluinya nanti akan menerbitkan kesedaran kepada orang lain yang berhajat melakukan kesalahan serupa.

Mudah-mudahan perlaksanaan undang-undang ini akan memberikan natijah yang baik dan diikuti oleh negeri-negeri lain. Walaupun hudud tidak mampu ditegakkan sepenuhnya, namun hukuman yang hampir seperti ini wajar disambut baik, tanpa sebarang pra-sangka.

Friday, July 24, 2009

'Kem' Latihan Bakal Bermula!

Lebih kurang tiga minggu dari sekarang, kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadan. Ramadan bererti kita akan menjalani ibadah puasa. Baru-baru ini saya berkesempatan menemubual Dr. Johari Mat, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra atau KIAS.

Pada entry kali ini saya ingin berkongsi ilmu bersama sahabat semua. Semoga dengannya nanti diharapkan Ramadan kita pada kali ini lebih bererti dan lebih baik daripada sebelumnya, insya-Allah.

Semua kita sedia maklum, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar saddiq hinggalah terbenamnya matahari.

Tapi rupa-rupanya bagi saya yang tak tahu ini, Ramadan itu sendiri ada maknanya. Ramadh bermaksud terbakar. Justeru dengan kata lain, Ramadan bermaksud bulan di mana Allah membakar dosa hamba-Nya yang mukmin. Hmm...mendengar sahaja maksud tersebut, terasa betapa Maha Pengasihnya Allah terhadap hamba-Nya, kan...?

Selalunya apabila tibanya Ramadan, kita akan mempersiapkan diri untuk berpuasa. Lazimnya, di bulan Rejab dan Syaaban kita berpuasa sunat atau di waktu itu baru sibuk mengganti puasa yang tertinggal! Hmm..fenomena biasalah tu.

Menurut kata Dr. Johari, ada 2 perkara penting yang perlu kita titikberatkan sewaktu untuk menyambut Ramadan, iaitu takhliyah wa tahliyah.
Takhliyah bermaksud kita membersihkan diri daripada segala dosa-dosa sebelum melaksanakan ibadah puasa, manakala tahliyah pula ialah kita membanyakkan amalan yang soleh sebelum ketibaan Ramadan. Dengan kata lain Ramadan adalah kemuncak bagi segala amalan soleh.

Sebab itu dalam satu hadis riwayat Abu Daud menyatakan, Rasulullah banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban. Malah Aisyah juga menceritakan bahawa Rasullah tidak pernah berpuasa sebanyak baginda berpuasa di bulan Syaaban.

Justeru, kalau sebelum ini kita tidak tahu mengenai perkara ini, rasanya masih belum terlambat untuk kita memulakannya sekarang.

Seperti kebanyakan kita tahu, di bulan Ramadan segala amalan soleh yang dilakukan akan dilipatgandakan. Namun antara perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah solat fardhu secara berjemaah, membanyakkan sedekah, membaca, mentadabbur (memahami) al-Quran serta mengamalkan dan menyebarkannya.

Solat fardhu jika dapat dilakukan secara berjemaah selama 30 hari di bulan Ramadan dan ditambah sebanyak 10 hari lagi menjadikannya 40 hari (khasnya bagi orang lelaki) maka Allah menjanjikan perlepasan dua perkara iaitu perlepasan daripada azab neraka dan terlepas dari sifat nifaq (sifat munafik).

Mengenai membanyakkan membaca Quran, sebenarnya kedatangan Ramadan membawa signifikan yang cukup besar iaitu Allah telah menginstitusikan Ramadan sebagai bulan membaca. Ini kerana di bulan inilah turunnya al-Quran yang sememangnya untuk dibaca, difahami dan diamalkan dan turunnya ayat pertama dengan lafaz 'bacalah..' Mungkin perkara ini tidak begitu kita sedari selama ini.

Selain itu sedar atau tidak, Ramadan yang kita sambut setiap tahun, merupakan kem latihan bagi kita untuk melatih nafsu ke arah kebaikan supaya ia kekal baik di bulan-bulan yang lain. Amatlah tidak wajar, jika kita masuk pusat latihan tentera tetapi kita keluar sebagai seorang biasa! Begitulah analogi di bulan Ramadan, nafsu kita 'disekolahkan' namun ia tetap tidak 'menjadi' untuk memimpin kita di bulan-bulan lain. Jika mengumpat itu haram di bulan Ramadan maka ia tetap haram di bulan lain. Tetapi, malangnya setelah berakhir Ramadan semua itu turut hancur. Malah 'kehancuran' itu bermula sebaik sahaja kita menyambut hari raya. Malangnya kerana kita tidak merasakan hari raya itu juga ibadah sebagaimana kita merasakan puasa itu ibadah.

Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu ini, akan menjadikan puasa kita lebih bermakna daripada ibadah puasa kita sebelum ini, insya-Allah..

Monday, July 20, 2009

Usaha Yang Kecil

Dalam membuat kerja menerbitkan majalah, bahagian yang paling mencabar ialah mencari penghias kulit atau cover girl. Hampir setiap bulan, isu cover ini menjadi hambatan. Tambahan pula bagi majalah Islam yang ruang lingkupnya agak terhad.

Kalau sebelum ini, kami menetapkan hanya golongan bertudung sahaja yang dipilih menjadi cover girl. Namun, memikirkan faktor dakwah, perubahan strategi perlu dibuat. Bermula tahun 2007, Muslimah mula mengambil golongan yang tidak bertudung, khasnya dari kalangan artis menghiasi kulit depan majalah.

Memang pada mulanya, pelbagai reaksi yang diterima. Ada yang menyangka artis tersebut benar-benar telah bertudung. Ada juga yang tidak berpuas hati kerana merasakan kami ‘bersubahat’ dan sebagainya.

Namun, apa yang selalunya saya jawab ialah apa salahnya jika kita memberi mereka peluang merasai pengalaman bertudung walaupun sekadar untuk sesi fotografi. Manalah tahu, dengan berkat usaha kecil tersebut, Allah memberi mereka hidayah untuk terus mengekalkan tudung dan mereka kekal menutup aurat. Dakwah kecil kita secara lembut buat mereka sebenarnya. Malah setiap mereka yang pernah saya temui, menyatakan hasrat untuk bertudung satu masa nanti. Semoga Allah segera membuka hati mereka melaksanakannya.

Bukan senang bagi mereka yang bergelar artis ini untuk ‘menyahut’ pelawaan menjadi penghias majalah dalam keadaan menutup aurat. Mereka perlu memikirkan ‘risiko’ yang terpaksa dihadapi setelah muncul di majalah. Mungkin ada yang bertanya benarkah mereka sudah mengambil jalan tersebut dan sebagainya. Sebab itu tak semua yang di ‘offer’ menjadi cover girl ini bersetuju menerima tawaran kami!

Teringat kali pertama saya mencuba nasib, mempelawa Vanidah Imran sebagai cover girl untuk Muslimah. Kebetulan saya dijemput menghadiri majlis pelancaran novel oleh Alaf 21 dan Vee diundang sebagai tetamu kehormat. Sebaik sahaja majlis pelancaran tamat, saya terus mendapatkan beliau dan menyatakan hasrat tersebut.

“Tak sangka ada juga majalah sebegini yang ingin menjadikan Vee sebagai cover girl ya. Tentu makcik-makcik Vee gembira tengok Vee berpakaian macam ni. Vee pun teringin kak nak pakai macam ni,” itulah yang terlahir daripada mulut Vee.

Sebenarnya perkara tersebut membuatkan saya terfikir, kalau kita tidak mendekati golongan sebegini, siapa lagi yang harus mendekati mereka. Saya tidak mengatakan mereka jahat atau sebagainya, tetapi alangkah baiknya jika mereka dapat menghayati dan melaksanakan perintah menutup aurat sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Teringat komen yang diberikan oleh seorang editor majalah wanita Islam yang terkenal. Katanya Muslimah berani mengambil risiko menyiarkan golongan yang tidak bertudung sebagai penghias majalahnya. Kalau di majalahnya, pasti ia menjadi isu yang sangat sensitif dan pasti akan dibambu. Jawab rakan saya yang kebetulan bersamanya, itulah bentuk dakwah yang cuba dan terdaya kami lakukan.

Kalau diikut komplen pembaca, memang boleh berasap telinga dibuatnya. Namun perlu diingat, bertudung bukan milik golongan tertentu sahaja…betul kan? Tentu tidak! Atas kesedaran itulah kami cuba menghampiri mereka sekadar yang terdaya.

Tidak dinafikan, kebanyakan mereka bukan tidak faham langsung tentang agama, cuma kadang kala mereka terkeliru dengan konsep mencari rezeki yang halal. Atau merasakan apa yang dilakukan sekadar mencari rezeki atau karier mereka. Mereka tidak nampak sumber rezeki lain selain menyanyi atau berlakon.

Teringat saya panggilan telefon yang pernah saya terima tidak lama dulu daripada seorang wanita yang bekerja di sebuah hotel terkenal di Kuala Lumpur. Beliau bertanya tentang konsep majalah dan penghias kulit. Setelah bercerita serba sedikit (sebagaimana yang saya nyatakan di atas), tiba-tiba beliau memberitahu satu kisah tentang seorang penyanyi terkenal tanah air

Katanya, satu hari penyanyi ini telah memasuki sebuah kedai kasut dan mencuba sepasang kasut. Kebetulan anak beliau bersama rakannya juga berada di kedai yang sama. Demi terpandangkan kasut yang dipakai penyanyi tersebut, rakan anaknya terus menegur kerana setahunya kasut yang dicuba itu dilapisi kulit babi (kebetulan baru diwarwarkan). Namun jawapan yang diberikan oleh penyanyi tersebut cukup membuatkan mereka terdiam. Katanya, “alar dik, bukannya kita nak makan cuma dipakai di kaki sahaja!”

Justeru, tugas siapakan untuk menyedarkan golongan sebegini?

Saturday, July 18, 2009

Macam-macam!

Kata orang mengajar anak kecil umpama mengukir di atas batu. Sekali diukir akan kekal selamanya. Manakala, mengajar orang dewasa ibarat menulis di atas pasir, datang ombak habis terpadam.

Selama hampir lima bulan dimasukkan ke tadika, anak saya Effa sudah banyak berubah. Kalau dua bulan pertama, mesti menangis apabila tiba di pintu pagar sekolah, sebab katanya, ‘adik nak nangis jugak’. Pernah kerana berasa geram, saya mengugut untuk memberhentikan dia dari sekolahnya. Menangis juga kerana katanya dia mahu ke sekolah! Sabar je lah..

Walaupun umurnya baru empat tahun, tetapi dia belajar bersama-sama kanak-kanak berusia lima tahun. Kesnya, dia tidak suka belajar di tingkat atas! Sampaikan pengetua tadika bertanya sama ada kami kisah atau tidak dengan pencapaiannya kerana dia tidak belajar banyak sebagaimana rakan empat tahunnya. Pada saya apa yang penting ialah dia belajar bersosial terlebih dahulu. Tak perlulah dibebankan dengan peperiksaan dan sebagainya.

Dalam menangis dan buat perangai ke sekolah itu, banyak juga perkara yang dipelajarinya. Ada doa baru lagu, lagu baru dan macam-macam. Saya diberitahu cikgunya iaitu Cikgu Ita, yang Effa sangat suka mengaji. Diam tak diam dia sudah boleh menghafaz sehingga ke surah Al-Qariah.. walaupun ada yang tak begitu lancar.

Setiap hari ada saja celotehnya tentang doa yang dipelajarinya. Doa makan, doa sebelum belajar, doa masuk dan keluar tandas dan bermacam-macam lagi. Walaupun sudah lama belajar doa-doa tersebut, namun seminggu dua ini dia nampaknya begitu bersungguh-sungguh ‘mengamalkannya’. Pendek kata setiap kali makan habis semua orang disuruh membaca doa sekuat hati sebagaimana yang dibuatnya. Yang selalu jadi mangsanya kakngahnyalah, si Iman.

“Dikman ko tak baca doa, dosa masuk api neraka!” (Iman selalu bengang sebab si Effa memanggilnya Dikman dan membahasakan dirinya kak Effa, mesti dibalasnya, bila masa pulak ko jadi kakak aku?)

Dan seperti biasa balas si Iman, “akak baca perlahanlah, mana ko dengar!”

Pernah satu hari, sewaktu saya ingin menarik tangannya masuk ke bilik air untuk memandikannya, Effa tiba-tiba berhenti depan pintu bilik air.

“Sekejap umi,” katanya. Ingatkan kenapa, rupa-rupanya dengan suara yang kuat dia membaca doa masuk tandas!

Waktu nak keluar bilik air pun dia menepis tangan saya yang ingin menariknya keluar. Tujuannya nak baca doa keluar tandas..Hish..ada pulak baca doa dalam bilik air..! Becok mulut saya menegurnya. Tunggulah keluar dulu dik.

Paling tak tahan apabila bercerita tentang hantu..(kakak-kakaknya suka tengok cerita keliwon). Katanya “alah kalau nampak hantu kata ALLAHUAKBAR.. (dengan menjerit) nanti hantu larilah…!”

Siapa yang mengajarnya? Abah si Effa lah!!!

Tuesday, July 14, 2009

Kunjungan Sahabat Dari Guangzhou


Hujung minggu baru-baru ini, kami menerima kunjungan sahabat dari Guangzhou, China, Yusoof Ma dan isterinya Zainab, bersama dua orang anak mereka, Muhammad, 10 dan Ramadhan, 7.

Mereka merupakan kenalan suami saya. Agak unik perkenalan bersama keluarga Ma ini kerana suami saya terlebih dahulu mengenali ayahnya iaitu Nordin Ma dan anak saudaranya Hussin. Perkenalanan berlaku pada tahun 2007, sewaktu Nordin dan cucunya itu mengunjungi Masjid Negara untuk menunaikan solat Jumaat, sementara suami saya pula berniaga di situ.

Melihat barangan yang dijual suami, Nordin berkata, kalau di negaranya barang tersebut boleh didapati dengan harga yang sangat murah. Suami saya yang memang suka melayan foreigner apatah lagi yang beragama Islam, terus berbual-bual dengan mereka berdua.

Kebetulan Nordin sedang bercuti dan mencari tempat pengajian untuk cucunya. Perkenalan tersebut tidak terhenti setakat itu. Selama dua bulan di Malaysia, sempat juga suami saya bertemu dengan anaknya Ali dan isteri yang datang kemudian. Sebelum meninggalkan Malaysia, Nordin memberikan alamat dan nombor telefonnya di Guangzhou dengan pesanan, kalau kami ke sana jangan lupa hubunginya.

Entah bagaimana pada bulan Ramadhan 2007, suami saya tergerak hati untuk ke sana. Beliau cuba menghubungi keluarga Ma ini dan ternyata mereka sangat gembira mendengar khabar suami saya akan mengunjungi mereka.

Awal-awal lagi Nordin menyuruh anaknya Ali menjemput suami saya di Macau, tetapi disebabkan penerbangan mengalami kelewatan, Ali terpaksa balik semula ke Guangzhou setelah menunggu hampir 5 jam. Bagaimanapun, suami saya selamat juga sampai ke kediaman mereka walaupun bersendirian.

Keluarga Ma ini merupakan usahawan berjaya di Guangzhou. Mereka menjalankan perniagaan jentera berat yang dieksport ke Iran, Rusia dan beberapa buah negara lagi. Sepanjang berada di sana, suami saya dibawa berjalan oleh anak dan cucu Nordin.

Ternyata ukhuwah yang terjalin tidak terputus biarpun jarak yang memisahkan.! Walaupun sudah lama tidak bertukar khabar, ingatan tetap tersemat di sanubari. Kedatangan Yusoof sekeluarga kali ini juga untuk bercuti. Apabila dipelawa ke rumah, ternyata mereka tidak keberatan. Agak kelam kabut juga dibuatnya kerana saya tidak tahu apa yang hendak dihidangkan. Mereka tidak makan makanan pedas dan manis. Setelah puas berfikir, akhirnya saya memasak mee sup untuk mereka sekeluarga.

Sewaktu hidangan dihidang, tiba-tiba Muhammad memberitahu yang dia tidak suka sup dan daging ayam. Akhirnya dia makan mee sahaja. Kasihan pula saya melihatnya. Saya bercadang untuk memasakkan sesuatu yang lain tetapi ditegah oleh Yusoof dan isterinya. Sempat pula Muhammad memberitahu, delicious aunty! (apalah delicious nya mee kuning tanpa dibubuh apa-apa).

Kami diberitahu, sepuluh hari lagi Nordin akan tiba dari Guangzhou. Nampaknya kali ini kalau mereka sudi datang ke rumah lagi, saya perlu lebih berhati-hati menyediakan hidangan. Susah juga bila berlainan budaya rupanya! Hahaha…

mp5-buah tangan dari Zainab untuk Kak Long

gelang jade bertali ini pula untuk Iman dan Efa.

Sesi Tag dan Award

Ada beberapa sahabat yang menganugerahkan saya award dan menyuruh saya menjawab tag. Kepada yang tercicir tu.. saya minta maaf banyak-banyak. Maaf sangat2 yer..(do remind me)

Award dari Hanny


Award dari doc Ina


Ni pula tag dari aJa...

1.Your view on yourself.
happy go lucky

2.The type of boyfriend you are looking for.
like my hubby lar.. who else!

3.Your readiness to commit to a relationship
i'm already in a relationship, very complicated!

4.The seriousness of your love.
the very the serious meh!

5.Your views on education.
Very important

6.The right job for you.
what I’m doing now!

7.How do you view success.
as long as I’m happy (subjective lorr)

8.What are you most afraid of.
not knowing…

9.Who is your true self.
A practicing and pious muslim in a making..(trying to improve every day lorr)

Saturday, July 11, 2009

Salah Siapa?

(pic dari blog Kak Haiza_haizanajwa.blogspot.com)

Dalam tempoh sebulan ini, saya sempat membaca beberapa novel. Salah satu novel yang agak mengesankan ialah Novel Kalimah Jiwa oleh Haiza Najwa, yang berkisar tentang kisah seorang wanita dijadikan pelacur oleh suaminya. Mengesankan kerana ia mengingatkan saya kepada golongan kelkatu malam ini. Sepanjang kerjaya saya, saya pernah come across satu kisah wanita yang berasal dari negeri Perak, dijadikan pelacur oleh bapa saudaranya, setelah kematian ibu bapanya. Beliau anak tunggal, yang kemudiannya 'dikendurikan' oleh bapa saudaranya sebelum dijual kepada seorang bapa ayam.

Hiduplah dia sebagai pelacur, jatuh dari satu tangan ke satu tangan sehinggalah dijual kepada seorang taukey di Singapura. Nasibnya agak baik kerana akhirnya dia telah dibebaskan, setelah diberitahu kisah sebenarnya. Dia kemudian berhijrah ke ibu kota dan bekerja di sebuah firma. Malangnya, ada yang mengetahui kisah hidupnya (bekas pelanggan) dan bermulalah episod sedih. Dia diganggu, di'harrash', diugut dan akhirnya kerana tidak tahan, dia mengambil jalan singkat kembali ke lorong hitam.

Kisah hidupnya dikongsi dalam satu seminar (pada tahun 1996), oleh Pink Triangle sebuah NGO yang menjaga kebajikan golongan pelacur dan golongan Mak Nyah.

Berhadapan dengan kes sebegini memang menyentuh perasaan. Siapa yang harus kita salahkan? Bagaimana peranan yang harus kita mainkan untuk menarik mereka keluar dari cara hidup menyimpang daripada lunas agama ini?

Begitu juga dengan kisah pelacur kelas pertama, yang terdiri daripada pelajar universiti. Mereka mengambil jalan singkat untuk menikmati kemewahan atau jalan penyelesaian masalah kewangan di kolej dengan menjadi call girl.

Itu belum lagi masalah keruntuhan akhlak remaja perempuan. Teringat sewaktu melawat pusat pemulihan di Negeri Sembilan. Ada satu kes seorang gadis berusia 15 tahun yang ditahan di situ, apabila mendengar kisahnya..tak tahu siapa yang harus saya salahkan. Kata Aishah (bukan nama sebenar), dia dimasukkan ke situ kerana ditangkap dalam satu operasi. Dia anak tunggal dalam keluarga yang agak berada, dibesarkan oleh nenek sehingga berumur 12 tahun. Kemudian diambil oleh ibu bapanya untuk tinggal bersama. Disebabkan kebosanan sering ditinggalkan sendirian, dia mula berkawan dengan kawan-kawan yang merupakan school drop-out. Juga sebagai protes kerana berpisah dengan nenek. Dia mula menjadi liar, melepak di rumah kawan. Tidak balik ke rumah sehari dua. Ibu bapa tidak mengambil pusing. Lalu beliau menghilangkan diri selama seminggu melepak di Central Market dengan kawan yang tidak tentu arah. Sewaktu itulah dia hilang mahkota kegadisannya setelah tidak sedarkan diri diberi minum oleh seorang rakan lelaki. Kehilangannya dikesan oleh ibunya dan kemudiannya dibawa balik ke rumah. Dia memberitahu perihal keadaan dirinya yang dinodai rakan. Jawapan mudah daripada ibunya, tunggu sama ada dia mengandung atau tidak. Setelah tidak mengandung, dia kembali bebas keluar rumah. Hingga akhirnya dia ditangkap dalam satu operasi dan dihantar ke pusat itu.

Begitu juga dengan kisah remaja-remaja terlanjur di Raudhatussakinah. Mereka bukan sahaja dari kalangan yang tidak habis belajar, malah ada di kalangan penuntut universiti. Dek kerana terpesona janji manis teman lelaki, akhirnya tergadai body.

Dalam menemubual mereka, tersangat sukar sebenarnya untuk mengungkap pertanyaan, "Bagaimanakah kamu boleh ternoda" atau "Adakah kamu telah tercemar".. walaupun saya sudah berkahwin dan beranak-pinak tak tergamak untuk diluah pertanyaan sebegitu!

Namun melihat perut mereka yang membengkak, terbit rasa sedih dan kesal... mengapa dik kamu biarkan dirimu menjadi mangsa?

Teringat kata-kata pentadbir rumah tersebut kepada 'anak-anak jagaannya', "jangan kamu rasa kamu tak mengandung kamu bernasib baik atau bijak, sekurang-kurangnya kawan kamu yang mengandung ini lebih bernasib baik kerana diberi ingatan oleh Allah agar tidak mengulangi perbuatan yang dibenci-Nya. Kalau kamu rasa kamu bijak, kamu tak akan menjadi penghuni di sini."

Thursday, July 9, 2009

Nasib Baik Ummi Gemuk…!

Anak-anak sememangnya bermacam ragam. Setiap seorang berlainan kerenahnya, walaupun lahir dari perut yang satu. Kalau ada sepuluh, maka sepuluh jenislah kelakunya.


Bercerita mengenai anak ini, kadang kala terasa lucu ada, nak marah pun ada. Anak yang sulung, jenis makngot. Serba serbi lambat. Mandi kalau tidak sejam, bukan dialah. Pendek kata sampai habis air setangki. Kalau Maghrib, kami akan suruh dia masuk bilik air akhir sekali, kalau tidak, ada yang terlepas waktu solat.


Yang kedua pulak, terlampau cool dan rileks. Sampaikan naik pening dibuatnya, terutama kalau bab belajar. Pendek kata nak suruh belajar, kena pegang rotan dan duduk di sebelahnya. Baru dia akan membaca (untuk exam). Pernah sekali, saya yang membacakan buku untuknya dan suruh dia mendengar sahaja. Kemudian saya menyoalnya.
Bagaimanapun alhamdulillah, Allah beri dia kelebihan mudah faham dan dapat mengingat. Dalam ketidakyakinan kita dengan usahanya, alhamdulillah daripada 15 matapelajaran, dia berjaya mendapat 13A, 1B dan 1C (B untuk subjek pendidikan seni dan C untuk tajwid).


Anak yang ketiga pula, namapun yang bungsu (setakat inilah hehehe), manjanya bukan main. Dia dengan si kakngahnya, memang agak kamceng. Itulah kawan bermain dan itulah kawan bergaduhnya. Masa kamceng, yang terdengar gelak mengekek keduanya. Tapi bila bercekau, sekejap bunyi menjerit, merengek. Kadangkala berbulu jugak telinga mendengar!

Si adik ni, sesuai dengan sifat manjanya, kalau hendak ke sekolah di waktu pagi memang agak liat. Setiap pagi terpaksa dipujuk dan didukung ke bilik air. Tak boleh angkat suara, nanti diugutnya kita, katanya tak mahu ke sekolah (tapi ummi dia ni tak ambik port pun.. gasaklah). Bayangkan, umur sudah empat tahun, nak kena berdukung lagi ke bilik air, mandikan dan sesudah mandi berdukung lagi untuk dipakaikan baju!

Dalam kita duduk membebel pada dia, kata adik dah besar, asyik nak kena dukung lagi, boleh dijawabnya, “adik letih la. Nasib baik ummi GEMUKkan..boleh angkat adik!”

Hai! Sabar jelah.. Apapun, itulah kerenah anak. Kalau sabar mengundang pahala, hilang sabar, kita yang tanggung dosa! Dan yang penting adanya mereka inilah menambah keceriaan, kegembiraan serta kebahagiaan hidup kita. Semoga mereka kekal menjadi anak yang solehah dan bukan onak di masa hadapan.

Wednesday, July 8, 2009

Kalau Tak Pandai Berdakwah…

Saya sebenarnya masih lagi teringat peristiwa dalam bas dengan Aci tempoh hari. Perbualan singkat dengan beliau, membuatkan saya berfikir dan merenung kembali tanggungjawab tersandang di bahu.

Tambah pula, pada petang sebaik sahaja menulis entry kisah saya bersama Aci tersebut, saya berkesempatan berchatting dengan seorang sahabat. Perbualan kami juga berkisar tentang entry saya itu. Namun, ada satu kisah yang diselitkan olehnya yang ingin saya kongsikan bersama para sahabat semua. Andai kata kita terpaksa berdepan dengan soalan seumpaman ini, insya-Allah boleh diambil iktibar.

Kata sahabat saya yang bernama Sham ini, sewaktu umurnya 15 tahun, dia berjumpa dengan seorang lelaki Cina yang berniaga berhampiran dengan rumahnya. Katanya, kalau ke kedai tersebut, dia selalu bersembang dengan lelaki Cina yang berfahaman atheist itu. Lelaki itu rajin mengembara.

“Dia selalu kata, dia tak percaya mana-mana agama. Tapi dalam banyak-banyak agama, dia nampak agama Buddha agak terbukti kesohihannya, sebab sejarah Buddha di mana-mana dia pergi pun tetap sama versinya. Sebaliknya kalau Islam, dari satu negara ke satu negara lain versinya. Sham terkedu juga kak bila dengar cakap dia.”

Tapi menurut Sham, ada satu soalan yang ditanya oleh lelaki tersebut yang agak menguji dirinya yang masih muda. Namun, apabila saya membaca coretan Sham, saya kagum dengannya kerana dalam usia semuda itu dan bukan pelajar dari sekolah agama, dia berjaya berhujah dengan lelaki Cina tersebut.

Kata lelaki Cina itu, “Boleh awak buktikan Allah tu wujud?”
Jawab Sham, “Boleh awak buktikan udara yang awak sedut itu wujud?”
Lelaki itu tersenyum mendengar jawapan Sham.
Tanya Sham, “Kalau awak cakap Buddha tu tuhan, kenapa yang melahirkan Buddha itu seorang manusia?” Lelaki tersebut terdiam dengan pertanyaan Sham.
Kemudian Sham tanya lagi tentang bagaimana bumi ini wujud. Lelaki Cina itu mengeluarkan teori bing bang. Lalu Sham ambil sebatang pen, kemudian dia suruh lelaki itu berpaling ke arah lain. Kemudian Sham jatuhkan pen tersebut. Apabila lelaki itu memandang semula ke arahnya, Sham bertanya, “boleh awak percaya pen tu terjatuh dengan sendirinya?”
Jawab lelaki Cina itu, “Mana boleh. Tak logik satu-satu benda tu boleh jatuh dengan sendiri.”
Lalu jawab Sham, “Mana logik bumi ini wujud dengan sendiri? Setiap benda ada pencipta, setiap perkara ada pelaku.”
Lelaki Cina itu terduduk dan berfikir mendengar hujahan Sham.

Begitulah, kisah yang ingin saya kongsikan kali ini. Sebenarnya setiap kita adalah pendakwah. Jika tidak masakan Nabi bersabda, “sampaikan dariku walau sepotong ayat”. Memang ramai yang berhujah, ayat tersebut tidak boleh diambil sebarangan oleh orang yang tidak berkelayakan. Namun apa yang saya ingin nyatakan di sini, sampaikanlah perkara yang baik itu kepada semua. Ramai yang akan berkata, manalah kita alim tentang agama. Tak boleh nak berhujah, tak ada ilmu, baca Quran pun tak lancar.

Jangan lupa dakwah dalam Islam ini ada dakwah bil lisan (berdakwah dengan kata-kata, pengajaran, perdebatan dsb) dan dakwah bil hal (perbuatan, akhlak dsb). Kalau tidak ada ilmu untuk disampaikan, berakhlak baiklah dengan semua makhluk. Sabda Nabi s.a.w, sekecil-kecil sedekah, membuang duri di jalanan. Atau lebih mudah lagi, lemparkanlah senyuman. Dan natijahnya, tidak akan ada lagi yang mudah melemparkan kata-kata keji terhadap Islam atau mengata-ngata betapa buruknya Islam!

Jika kita lihat dalam sirah nabawiyah, ramai yang masuk Islam disebabkan oleh dakwah bil hal ini. Tentu kita semua maklum, kisah seorang Yahudi buta yang masuk Islam akhirnya, hanya kerana dia selalu disuapi oleh Rasulullah s.a.w, biarpun sewaktu itu mulutnya tidak berhenti memburuk-burukkan Baginda. Hanya setelah kewafatan Baginda barulah diketahuinya bahawa orang dikutuk itulah yang sering menyuap makanan ke mulutnya, lantas terus dia beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Baginda.

Ramai di kalangan kita yang merasakan bahawa kerja dakwah ini milik ustaz, ustazah dan pegawai jabatan agama. Seharusnya, kita mengikis fahaman sebegitu kerana setiap daripada kita bertanggungjawab. Paling tidakpun tanggungjawab memelihara ahli keluarga daripada siksaan api neraka! Wallahua’lam.

Monday, July 6, 2009

Kalau Tuhan Ada Di Hati

Sudah teramat lama rasanya bertapa daripada menulis blog! Sejak balik dari Kota Bharu, saya benar-benar diselubungi penyakit malas (heheh macam diselubungi misteri la plekk!). Serba serbi malas, hinggakan terasa seperti nak duduk dan tidur sahaja sambil layan novel (tapi mana boleh kan?? Amanah mesti dijalankan). Walaupun sebenarnya terlalu banyak yang ingin dicoretkan untuk berkongsi dengan para sahabat semua, tetapi dek ketiadaan mood, hari ini barulah dapat saya mengerjakan sesuatu.

Pada hari Khamis minggu lepas saya telah menaiki bas untuk ke pejabat. Alhamdulillah, orang tidaklah ramai, hanya saya dan dua orang wanita India di perhentian bas berhadapan masjid di Karak Highway itu.

Tak sampai lima minit menunggu, bas U2 dari stesen bas Greenwood berhenti di hadapan kami. Setelah memasukkan duit ke dalam mesin, saya segera mencari tempat duduk single. Bas tersebut tidak ramai penumpang, maklumlah telah lama waktu sesak berlalu. Setelah melabuhkan punggung, saya segera mengeluarkan novel untuk mengisi masa perjalanan. Kalau naik bas, saya memang suka membaca. Pertama untuk mengelakkan perasaan jemu dan kedua mengelakkan daripada tertidur di dalam bas!

Baru saja saya membuka buku, tiba-tiba wanita India yang naik bersama saya dari perhentian tadi menegur saya. Dia duduk di belakang tempat duduk saya. Terpaksa saya menoleh ke belakang, untuk memastikan apa yang ditanya olehnya.

Setelah menjawab, saya kembali menumpukan perhatian kepada novel di tangan. Tiba-tiba wanita tersebut bercakap lagi. Rupa-rupanya dia ingin berbual dengan saya. Katanya dia sedang memikirkan bagaimana jenazah Micheal Jackson akan dikebumikan.

“I was wondering how aaa.. they are going to bury Micheal Jackson? They said he’s a Muslim. But aaa.. my children said over there, they don’t care lah.. not like Malaysia..”

Saya hanya tersenyum mendengar celoteh Aci tersebut. Dalam hati terasa lucu pun ada. Tapi tidak dinafikan, sayapun sebenarnya tertanya-tanya bagaimana jenazah Micheal Jackson atau nama Islamnya Mikael akan diuruskan kerana tidak ada sebarang kenyataan dibuat mengenainya (sehinggalah pada Jumaat lepas, keluar berita mengatakan yang jenazahnya akan diuruskan secara Islam).

“You know, I rasa kesianlah dengan dia..”

Ya Allah! Aci ni tak habis lagi rupanya memperkatakan tentang kematian Micheal Jackson.. hahaha..! Terpaksalah saya menyengetkan kepala untuk mendengar celotehnya.

“Dia cari Tuhan tapi tak jumpa..Dia sangka masuk Islam dia akan jumpa Tuhan tapi tak jumpa. Itu sebab dia ambik dadah.” Saya hanya tersenyum memandangnya sambil membiarkan dia terus bersuara.

“I seldom go to temple…but I always teach my children every morning to thank God. Night before sleep too. Thank you for giving us life. Kita ni nothing tau,” katanya bersungguh-sungguh

Hmm.. memang betul apa yang dikatakan oleh Aci tersebut. Kita ni tiada apa, nothing!

“You cari Tuhan mana-manapun tak jumpa tau…kuil ke, church ke, masjid ke.. Tuhan ada dalam diri kita. Itu sebab Micheal Jackson tak tenang! I kalau orang tanya, I ni Hindu ke, I jawab I believe in God. Hindu, Islam, Chirstian ka, is just a religion,” ngomelnya lagi.

Saya sekadar tersenyum mendengar hujahannya. Tiba-tiba dia bertanya saya, mengapa ramai orang Islam yang melakukan perkara yang tidak baik.

“Kalau betul Islam agama baik kenapa mereka bunuh orang di Kashmir, Bali. You tau kan, ada satu hari saya naik bas. Ada dua orang perempuan duduk depan saya. Pakai tudung. Lepas tu ada satu orang tua naik. Saya tengok, itu perempuan tak bagi pun tempat duduk pada orang tua tu. Saya pun sudah ready mau panggil orang tua tu, tapi ada satu budak Melayu tak pakai tudung, dia panggil itu orang tua. Lepas orang tua tu turun, saya tanya budak itu. Apa pasal you tak pakai tudung. Dia kata panas dan dia tak ready. Tapi saya kata you baik tolong orang tua tu”

Saya agak terkedu mendengar ceritanya. Dalam hati terasa sedih pun ada, betapa setiap daripada kita sebenarnya menjadi syiar kepada agama yang kita anuti. Jika buruk perlakuan kita, maka yang ternampak buruk adalah agama kita. Sebab itu di zaman solafussoleh, akhlak para sahabat seringkali dikatakan sebagai Quran yang berjalan. Malangnya ramai di kalangan kita yang tidak sedar, perangai dan kelakuan kita jika tidak kena caranya akan menjadi fitnah kepada agama yang kita cintai.

Belum sempat saya menjawab pertanyaannya, Aci tersebut berkata lagi, “pada saya tak perlu kita tunjuk-tunjuk. Selalu pegi kuil pun tak guna kalau Tuhan tak ada dalam hati you. Itu pasal saya takde pakai tanda putih dekat dahi atau ikat tali pada tangan. No use kalau hati tak baik. Kenapa aa you pakai tudung?” tanyanya tiba-tiba.

Inilah peluang untuk aku menjawab, kata saya dalam hati. “Auntie, semua orang boleh mengaku Muslim. But there’s a difference between a Muslim and a practicing Muslim. Saya pakai tudung, sebab Islam suruh. I’m a Muslim and I tried to be a practicing Muslim, a good and pious Muslim. Kalau betul orang tu mengaku Islam dia akan ikut apa yang Islam ajar. Sama juga macam orang Hindu, mereka akan ikut ajaran Hindu. Because like you said, we believe in God. There's God in us. So we have to follow what God says, right?”

“Yeah.. you are right. Tapi saya selalu pesan dengan anak saya kalau boleh jangan kawin orang Islam. Nanti dia kena masuk Islam. Nanti dia tak boleh balik pada saya,” ujarnya lagi.

Lalu saya memberitahunya, kalau anaknya betul-betul mengamalkan ajaran Islam dan ‘menghidupkan Tuhan’ dalam dirinya, anaknya akan jadi lebih baik daripada sebelumnya.

Dia terdiam seketika. Kemudian dia terus berkata, “anak saya ada tanya kalau dia kawin orang Islam saya marah ka? Saya kata kalau sudah begitu saya tak marah. I have to accept faith. Saya tak buang dia. Tapi saya takut sebab lelaki Islam boleh kawin sampai empat.”

Hmmm..itu rupanya ketakutan yang dirasai oleh seorang ibu. Tak salah kalau dia berfikiran begitu. Dari perbualan kami, saya dapat rasakan yang dia tidak pernah mendengar cerita kebaikan Islam. Dan seperti yang saya pernah katakan dahulu, ramai di kalangan saudara baru yang saya temui menyatakan kekesalan kerana tiada siapa yang pernah memberitahu mereka tentang keindahan Islam.

Kesempatan bersama Aci tersebut juga tidak banyak yang dapat saya perjelaskan. Jangka masa yang singkat ditambah dengan kelemahan diri untuk berhujjah juga menjadi penghalang. Terfikir di waktu itu, alangkah ruginya saya kerana tidak memiliki ilmu perbandingan agama agar dapat saya berhujjah dengan Aci tersebut.

Semoga dengan sedikit hujjah yang saya berikan dapat membuka mindanya untuk terus mencari kerana seperti katanya, dia suka membaca mengenai agama-agama lain. Dalam hati, saya sempat berdoa agar Allah memberinya hidayah, sebelum kami berpisah.

Apapun saya akui kata-katanya, kalau Tuhan ada di hati, kita akan temui ketenangan dan kebaikan. Dan bagi kita yang Islam ini, di situlah letaknya peranan Iman dan Ihsan.