RSS

Monday, April 28, 2014

Perjalanan yang masih panjang...

Tersangat lama saya tidak menulis di blog ini. Ini merupakan enty pertama bagi tahun 2014 yang sudahpun melepasi suku pertamanya.

Sabtu 26 April, kami sekeluarga ke Sekolah Agama Menengah, Jeram, sempena majlis graduasi anak sulung saya Nurul Huda yang telah menamatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Sememangnya pelajar-pelajar STAM di semua sekolah agama Selangor diraikan dengan majlis graduasi, sementelah sijil tersebut setaraf dengan diploma.

Peperiksaan yang berlandaskan sistem al-Azhar itu, memang sangat perit bagi pelajar yang mendudukinya. Dengan 10 mata pelajaran yang kesemuanya dalam bahasa Arab dan sistem satu subjek gagal akan gagal keseluruhan peperiksaan,  memang sangat mencabar calon. Ditambah tempoh pengajian yang singkat iaitu 10 bulan sahaja,sememangnya peperiksaan STAM menyaksikan drama air mata calon. Dan bagi yang lulus peperiksaan ini, 10 bulan yang getir itu sangat berbaloi dirasakan (bukan sekadar menjawab peperiksaan malah dengan hafazan 4 surah dan 33 hadis).

Sebagai ibu, saya sangat bersyukur anakanda saya ditakdirkan lulus peperiksaan tersebut. Anakanda saya bukanlah seorang yang genius, namun berkat tunjuk ajar guru dan doa yang tak putus dipanjatkan, alhamdulillah kejayaan berpihak kepadanya. Dengan result keseluruhan Jayyid Jiddan (3 subjek lulus dengan pangkat mumtaz, 5 jayyid jiddan dan 2 jayyid), memang besar harapan anakanda agar dirinya terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pula nanti, insya-Allah.

Sememangnya tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan harapan seorang ibu untuk melihat anak berjaya di dalam pelajaran. Namun dari perspektif saya sebagai seorang ibu, saya sering mengingatkan anak-anak tentang tujuan menuntut ilmu itu sendiri. Sedari kecil, saya telah terapkan kepada Along bahawa menuntut ilmu itu bukan untuk mendapat kerja yang bagus. Menuntut ilmu adalah kerana ia fardhu kepada mereka yang bergelar muslim. Kerja yang baik dan jawatan yang baik yang dipegang selepas tamat belajar itu adalah bonus daripada kesungguhan menuntut ilmu.

Sebab itulah juga saya selalu berpesan kepada anak-anak agar sentiasa menghormati murabbi mereka, kerana keberkatan ilmu itu terletak kepada redha guru. Walau sekalipun kita tidak suka dengan cara pengajaran mereka, jangan dicerca pada guru yang mengajar. Itulah adab belajar di samping rajin bangun untuk beribadat di malam hari memohon dipermudahkan urusan pembelajaran.

Teringat bicara anakanda saya, katanya umi, apa yang Along dapat ini, bukanlah sebab usaha along, tapi pertolongan Allah. Kalau nak diikutkan usaha rasanya memang tak akan dapat seperti yang tertera ini. Terima kasih sebab doakan along.

Ramai juga yang bertanya mengapa saya menghantar anak ke sekolah agama (dan sekolah tahfiz: menghafaz al-Quran semata-mata). Adakah sebab anak saya minat? Sebagai ibu, seperti ibu-ibu lain, saya inginkan yang terbaik untuk anak-anak saya. Dan pendidikan agamalah pendidikan yang terbaik kerana hanya dengannya manusia akan kenal Penciptanya dan tahu akan tujuan mereka dijadikan di bumi ini.  Ditambah zaman yang semakin mencabar, hanya agama yang dapat menjadi benteng daripada terjebak dengan perkara yang tidak diingini.

Memang benar, tidak semua pelajar sekolah agama itu baik-baik dan terjamin daripada terjebak dengan gejala tidak sihat. Memang benar ada pelajar agama lebih teruk perangainya daripada pelajar 'sekolah biasa'. Namun bagi saya dan suami, kami cuba memberikan yang terbaik, di rumah dan di sekolah. Selebihnya kami serahkan kepada Allah SWT supaya melindungi anak-anak. Juga berdoa agar tidak berikan ujian yang tidak mampu kami tanggung dengan kerenah anak-anak.  Semoga usaha kami ini dipandang oleh Allah sebagai amal soleh.

Buat anak-anak, semoga ilmu yang kalian miliki bukan hanya tercatat di atas sekeping sijil. Ia adalah amanah yang perlu kalian laksanakan kerana pastinya ilmu itu akan ditanya di mana kalian manfaatkan. Doa umi dan abah sentiasa mengiringi hidup kalian.








6 comments:

Azura Abdullah said...

Tahniah Puan dan anakanda. Didoakan memberi manfaat kepada agama dan masyarakat.

NIk Fauziah Nik Hussin said...

Azura..terima kasih. Sebagai ibu itulah doa kita untuk anak2 kan? Moga begitu juga untuk anak2 Azura.

Anonymous said...

Tahniah anakanda dan bondanya juga. Dulu tengok gambar along masa kecik sekarang dah remaja puteri - kak ida

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Blogger said...

v

seucarro said...

That's a very nice blog and article, I found it informative and useful, thank you for kindly share it with us, best regards and take care

God bless

Sandro from Nomes